#6924: Al-Quran daripada Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara kita ingin mengisbatkan al-Quran daripada Allah dan menolak fahaman Orientalis dan sekutunya yang al-Quran daripada Muhammad SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الم (1) تَنزِيلُ الْكِتَابِ لَا رَيْبَ فِيهِ مِن رَّبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Alif, Laam Miim. Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

(Surah al-Sajdah: 1-2)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Akbar Dr. Ahmad al-Tayyib, antara lain katanya:

Manusia tidak berselisih mengenai fakta bahawa Al-Quran ialah kitab yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW pada abad keenam Masihi di Jazirah Arab. Beliau menyampaikannya kepada manusia pada masa itu, di dalam dan di luar Jazirah Arab. Fakta ini merupakan titik persetujuan di antara umat Islam dan bukan Islam, kerana ia telah terbukti oleh semua dengan jalan yang mutawatir, yang merupakan cara mensabitkan  semua peristiwa sejarah, wahyu-wahyu ilahi, dan tokoh-tokoh besar. Contohnya, seperti kewujudan Nabi Musa dan Nabi Isa, Buddha, Konfusius, Alexander the Great, sejarah negeri-negeri dan kerajaan-kerajaan, dan lain-lain. Untuk peristiwa-peristiwa seperti ini, kita tidak mempunyai bukti kebenaran kecuali bukti kesepakatan yang merupakan penceritaan oleh ratusan, ribuan, atau jutaan orang, dan persetujuan mereka sepanjang masa dan tempat mengenai kebenaran kejadian itu. Walaupun demikian, ramai bukan Muslim, walaupun mereka mengakui keperibadian Nabi Muhammad SAW dan pengakuannya bahawa beliau membawa kitab bernama Al-Quran, namun,  mereka tetap meragui sumbernya, dan bagi mereka ia bukan seperti yang dikatakan oleh orang Islam sebagai ‘kata-kata Allah’ yang Muhammad SAW mendengarnya dengan kedua telinganya dan menerimanya sebagai lafaz dan makna dari wahyu tersebut, kemudian menyampaikannya kepada manusia seperti yang diterima dan difahaminya. Di sinilah mereka yang meragui mungkin bertanya: Apa bukti bahawa Al-Quran adalah kalam Allah? Dan mengapa ia tidak ditulis dan diciptakan  oleh Muhammad SAW ?

Keraguan terhadap sumber Al-Quran  dahulu mahupun terkini , ia telah dijawab oleh Al-Quran sendiri dengan jawapan-jawapan yang tegas dan belbagai, sebagaimana kita membacanya  dalam nas-nas al-Quran,  seperti firman Allah SWT:

وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الْأَقَاوِيلِ

Maksudnya: Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan.

(Surah al-Haq qah:44)

Melalui analisis sejarah  Nabi Muhammad SAW dan kehidupannya  sebelum dan sesudah perutusan, serta dalam konteks latar belakang sosial dan budayanya, tidak memungkinkan bagi akal untuk meragui walaupun sejenak bahawa sumber al-Quran itu adalah Allah SWT. Contohnya, jika kita mengandaikan bahawa Muhammad bukanlah seorang nabi yang menerima wahyu, tetapi sebaliknya seorang pemimpin, reformis sosial, atau bahkan seorang ahli falsafah, tidakkah dalam kepentingannya untuk menisbahkan ‘Al-Quran’ yang  fasih, jelas, dan kaya dengan perisian adalah kepada dirinya sendiri; sebagai menambah kekuatan dan kekuasaanya ?

Bagaimana mungkin dia tidak berbangga  sebagai pemilik teks yang mengagumkan ini yang mencabar kefasihan semua orang Arab dan orang lain dengan kelemahan mereka untuk mendatangkan  sesuatu yang serupa dengan al-Quran ?!  Kita tahu bahwa di kalangan penulis dan pemikir ada yang menyerang karya orang lain dan mendakwa sebagai miliknya sendiri, tetapi kita tidak pernah mengatahui bahawa seorang penyair atau penulis yang menolak karya puisi atau tulisan yang indah yang dihasilkannya, dan mengaitkannya dengan orang lain,lebih-lebih lagi ketika dia sangat memerlukannya pada dirinya sendiri.

Perkara itu menjadi lebih kuat ketika Nabi Muhammad SAW membacakan ayat-ayat dari Al-Quran kepada mereka dengan apa yang mengingatkan orang-orang yang mendustakan bahawa mereka telah  mengenali  Muhammad selama empat puluh tahun sebelum Baginda memperlihatkan kepada mereka al-Quran.  Baginda merupakan seorang yang buta huruf  yang tidak boleh membaca dan menulis, serta Baginda tidak ada beza dari orang-orang yang berdusta dengan ilmu dan budaya. Bagaimana Baginda boleh mengejutkan mereka dengan teks-teks ini, membacakan kepada mereka dengan jelas, dan mencabar  mereka untuk mendatangkan  sesuatu yang serupa dengannya ?

قُل لَّوْ شَاءَ اللَّهُ مَا تَلَوْتُهُ عَلَيْكُمْ وَلَا أَدْرَاكُم بِهِ ۖ فَقَدْ لَبِثْتُ فِيكُمْ عُمُرًا مِّن قَبْلِهِ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Ia tidak memberitahu kamu akan Al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al-Quran ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?”

(Surah Yunus:16)

وَمَا كُنتَ تَتْلُو مِن قَبْلِهِ مِن كِتَابٍ وَلَا تَخُطُّهُ بِيَمِينِكَ ۖ إِذًا لَّارْتَابَ الْمُبْطِلُونَ

Maksudnya:  Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).

(Surah al-’Ankabut:48)

Kemudian ia tidak hanya cukup dengan sekadar mencabar, tetapi juga merakam kegagalan dan kekalahan mereka dalam pertempuran tersebut.[1]

Al-Quran juga berhadapan dengan orang-orang yang mendakwa bahawa Nabi Muhammad SAW  mengambil ayat-ayat Al-Quran daripada ulama Ahli Kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani yang tersebar di sekitar Semenanjung Arab, seperti Khaybar, Yathrib, dan Najran. Ini menunjukkan bahawa pada masa itu, bahasa Taurat dan Injil adalah bahasa bukan Arab, sementara bahasa al-Quran adalah bahasa Arab yang paling tinggi kedudukannya dari segi kefasihan dan balaghahnya . Bagaimana mungkin Al-Quran yang bahasanya adalah bahasa  Arab boleh bercampur dengan nas-nas selain bahasa arab ?! Seandainya  Nabi Muhammad mengetahui bahasa Ibrani atau Yunani, dakwaan sebegini mungkin mempunyai sesuatu yang logik, akan tetapi Nabi Muhammad adalah seorang yang buta huruf tidak tahu membaca dan menulis dalam bahasa ibunya, apatah lagi dalam bahasa bukan Arab yang tidak diketahui olehnya dan kaumnya di Mekah dan sekitarnya.

وَمَا كُنتَ تَتْلُو مِن قَبْلِهِ مِن كِتَابٍ وَلَا تَخُطُّهُ بِيَمِينِكَ ۖ إِذًا لَّارْتَابَ الْمُبْطِلُونَ

Maksudnya:  Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).

(Surah al-’Ankabut:48)

Dalam sejarah Kitab Suci, tidak ada terjemahan bahasa Arab yang diketahui sebelum abad kelapan Masihi. Masyarakat di Mekah pada zaman kenabian Muhammad tidak mengenali kitab-kitab ini, dan terjemahannya mula muncul sekurang-kurangnya seabad setelah kewafatan nabi.

Kemudian, terdapat perbezaan ketara yang telah mencapai titik percanggahan  dalam struktur kepercayaan, antara al-Quran dan Kitab Suci zaman terdahulu mahupun kini, terutamanya dalam isu tauhid, menyamakan tuhan dengan makhluk, penyucian Tuhan, dan kenabian, serta kisah para nabi. Mereka yang membaca dan merenung al-Quran tidak akan ragu bahawa kepercayaan kepada Tuhan dalam al-Quran  tidak boleh menjadi gema atau cerminan yang sahih tentang doktrin Tuhan sebagaimana mereka membacanya dalam Kitab Suci.

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّهُمْ يَقُولُونَ إِنَّمَا يُعَلِّمُهُ بَشَرٌ ۗ لِّسَانُ الَّذِي يُلْحِدُونَ إِلَيْهِ أَعْجَمِيٌّ وَهَٰذَا لِسَانٌ عَرَبِيٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: ” Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia”. (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.

(Surah al-Nahl:103)

Terdapat banyak bukti dalam al-Quran sendiri yang menyatakan bahawa Muhammad tidak mempunyai kaitan di dalamnya, baik dari dekat mahupun dari jauh. Antara bukti tersebut ialah terdapat banyak ayat dalam al-Quran yang mengandungi celaan dan teguran terhadap Nabi, dan dalamnya terdapat teguran  kemudian  pengampunan. Contohnya:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ ۖ تَبْتَغِي مَرْضَاتَ أَزْوَاجِكَ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ‎﴿١﴾

Maksudnya: Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Tahrim:1)

 عَفَا اللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَتَعْلَمَ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: Allah memaafkanmu (wahai Muhammad), mengapa engkau izinkan mereka (tidak turut berperang) sebelum nyata bagimu orang-orang yang benar dan (sebelum) engkau mengetahui orang-orang yang berdusta?

(Surah al-Taubah:43)

وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّهُ مُبْدِيهِ

Maksudnya: sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya;

(Surah al-Ahzab:37)

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَن يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَىٰ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

Maksudnya: (Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).

(Surah al-Taubah:113)

أَمَّا مَنِ اسْتَغْنَىٰ (5) فَأَنتَ لَهُ تَصَدَّىٰ (6) وَمَا عَلَيْكَ أَلَّا يَزَّكَّىٰ (7) وَأَمَّا مَن جَاءَكَ يَسْعَىٰ (8) وَهُوَ يَخْشَىٰ (9) فَأَنتَ عَنْهُ تَلَهَّىٰ

Maksudnya: Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran), (5) Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. (6) Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). (7) Adapun orang yang segera datang kepadamu, (8) Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), – (9) Maka engkau berlengah-lengah melayaninya.

(Surah ‘Abasa:5-10)

Jika Al-Quran adalah dari perkataan Muhammad, bagaimana mungkin ia merekodkan pelanggaran ini ke atas dirinya sendiri? Dan jika Al-Quran sesuatu yang membangkitkan perasaan Muhammad, mengapa tidak menyembunyikan perasaan-perasaan ini daripada orang-orang yang mungkin mengkritik tindakannya dan perancangannya dalam memanggil orang kepada agama yang dibawanya? Bukankah menyembunyikan kritikan seperti ini adalah sikap yang lebih sesuai dan bijak bagi setiap pemimpin, pembaharu, atau ahli pemikir yang berusaha untuk meyakinkan orang lain tentang apa yang mereka katakan?

Jika Al-Quran adalah dari perkataan Muhammad, bagaimana mungkin ia merekodkan pelanggaran ini ke atas dirinya sendiri? Dan jika Al-Quran hanyalah sesuatu yang membangkitkan perasaan Muhammad, mengapa tidak menyembunyikan perasaan-perasaan ini daripada orang-orang yang mungkin mengkritik tindakannya dan perancangannya dalam memanggil orang kepada agama yang dibawanya? Bukankah menyembunyikan kritikan seperti ini adalah sikap yang lebih sesuai dan bijak bagi setiap pemimpin, pembaharu, atau orang  pintar yang berusaha untuk meyakinkan orang lain tentang apa yang mereka katakan? Jika Muhammad menyembunyikan kritikan diri ini, tiada sesiapa yang akan menemukannya, tetapi beliau tidak mampu melakukannya kerana perannya tidak lebih daripada utusan yang amanah terhadap segala wahyu yang didengarnya.Al-Quran telah menceritakan perihalnya:

وَمَا هُوَ عَلَى الْغَيْبِ بِضَنِينٍ ‎‏

Maksudnya:  Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.

(Surah al-Takwir:24)

Iaitu: Sesungguhnya, Dia tidak menyembunyikan sebahagian wahyu dan memperlihatkan sebahagian yang lain.

Diantara peristiwa tersebut adalah insiden Ifk yang dirancang oleh orang-orang munafik yang menyentuh kehormatan Nabi SAW dan keluarganya, sehingga menyedihkan beliau, dan menyebabkan Nabi dan umat Islam mengalami kesempitan selama sebulan penuh. Mereka menanti pembebasan Aisyah, wanita yang dianggap suci, dan Nabi tetap diam, tidak menambahkan apapun kecuali perkataannya:

إني لا أَعْلَمُ عنها إِلَّا خَيْرًا

Maksudnya: Sesungguhnya aku tidak mengetahui darinya kecuali kebaikan.[2]

Riwayat Bukhari(4141) dan Muslim (2770)

Keadaan tetap sedemikian hinggalah turunnya Surah An-Nur yang menyucikan wanita mulia ini, melaknat pelaku fitnah tersebut, dan mengancam mereka dengan kehinaan di dunia dan akhirat.

Persoalan:  Jika Muhammad adalah penulis Al-Quran, bagaimana mungkin dia bersabar selama sebulan penuh menghadapi malapetaka yang menimpa dirinya, keluarganya, dan rumah tangganya dengan bayangan-banyang tentera yang berdiri ? Jika baginda benar-benar adalah penulis Al-Quran, seharusnya baginda boleh menghentikan kejadian ini sesuai dengan keinginannya, bahkan  sejak saat-saat awal lagi. Namun, baginda adalah seorang nabi yang tidak berbicara atas nama Allah dan tidak berdusta kepada manusia. Al-Quran menegaskan kebenaran ini.

وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الْأَقَاوِيلِ (44) لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ (45) ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ (46) فَمَا مِنكُم مِّنْ أَحَدٍ عَنْهُ حَاجِزِينَ

Maksudnya: Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan, – (44) Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami, – (45) Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta); (46) Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya.

(Surah al-Haqqah: 44-47)

Raja Kristian yang agong dari Rom, iaitu Heraklius, telah memberi perhatian ketika Dihyah al-Kalbi mengunjunginya membawa surat dari Nabi Muhammad SAW yang mengajaknya kepada Islam. Heraklius bertanya kepada Abu Sufyan – yang belum masuk Islam pada saat itu – beberapa pertanyaan, salah satunya adalah apakah mereka menuduh Muhammad berdusta sebelum beliau mengucapkan apa yang dikatakannya. Abu Sufyan menjawab, ‘Tidak.’ Maka Heraklius berkata, Saya tahu bahwa dia tidak pernah berdusta kepada manusia sebelum ini, bagaimana mungkin dia berdusta kepada Allah.[3] (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 3/220-229)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Nota Hujung:

[1] Lihat kajian yang mendalam tentang topik ini dalam: Muhammad Abdullah Darraz: Al-Naba’ al-’Azim, ms 65 dan berikutnya

[2] Sebahagian daripada hadith yang panjang yang diriwayatkan oleh Bukhari(4141) dan Muslim (2770) dari hadith ‘Aisyah R.Anha

[3] Sebahagian daripada hadith yang panjang yang diriwayatkan oleh Bukhari(2940), (4553) dari hadith Abdullah Bin ‘Abbas R.Anhuma