#6928: Rejam Tiada dalam al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah hukuman rejam tiada dalam al-Quran dan bagaimana pendapat Syeikh al-Azhar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukuman rejam dikaitkan dengan penzina lelaki dan perempuan yang telah berkahwin dan telah merasai persetubuhan. Inilah yang telah dinyatakan oleh Allah SWT.

Kami nukilkan pandangan Syeikh al-Azhar terkait dengan pandangan Syeikh Abu Zahrah, katanya:

Saya tunjukkan di sini pandangannya mengenai isu ‘rejam’. Beliau berpendapat bahawa amalan rejam adalah hukuman yang  diketahui dalam tradisi Yahudi dan merupakan perkara yang ditetapkan dalam undang-undang mereka, namun Al-Quran membatalkannya dengan ayat ‘al-jild’ dalam Surah An-Nur. Beliau memberikan dalil-dalil untuk pandangan ini, dan berpendapat bahawa hukuman lempar batu terhadap penzina lelaki mahupun perempuan sehigga mati tidak selaras dengan tujuan yang diutuskan oleh Nabi Islam, iaitu kasih sayang yang melibatkan keseluruhan alam.

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya:  Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

(Surah al-Anbiya’:107)

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ

Maksudya: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku adalah rahmat yang mendapatkan dan memberi petunjuk.

[Diriwayatkan daripada al-Bazzar(9205), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2981), al-Mu’jam al-Saghir (264), al-Hakim: 1/35 daripada jalur Abi Soleh dari Abi Hurairah R.A. Al-Hakim berkata: hadith sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Muslim. Diriwayatkan Ibn Abi Abi Syaibah (32442), al-Darimi (15) daripada jalur Abi Soleh secara mursal]

Inilah seperti yang disebut oleh Syeikh Dr. Ahmad al-Tayyib dalam al-Qaul al-Tayyib (3/240).

Walaupun begitu, kami pernah melihat pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi yang berkata:

“Dalam seminar ini (di Libya pada tahun 1972), Syeikh Abu Zahrah meletuskan bom fiqh (perumpamaan bahawa isu yang dilontarkan begitu mengejutkan). Anggota seminar itu menjadi terkejut apabila beliau (Abu Zahrah) mengejutkan mereka dengan pandangannya yang baru. Kisahnya adalah, Syeikh berdiri dalam seminar dan berkata: “Saya menyembunyikan satu pandangan berkenaan fiqh. Saya sembunyikan sejak 20 tahun lalu. Saya sudah mendedahkan rahsia pandangan saya itu kepada Dr. Abdul Aziz Amir. Beliau diminta menjadi saksi terhadap perkara itu. Bukankah begitu, Dr. Abdul Aziz?” Beliau menyebut: “Ya.”

Sekarang, saya akan mendedahkan rahsia yang saya sembunyikan sebelum saya bertemu Allah SWT. Lalu Dia bertanya saya: “Mengapa engkau menyembunyikan pengetahuan yang ada pada dirimu dan tidak menerangkan pengetahuan itu kepada manusia?” Pandangan ini berkaitan dengan isu rejam untuk orang yang sudah berkahwin dalam hukum had zina. Pada pandangan saya, rejam adalah ajaran Yahudi. Rasulullah SAW mengiyakannya pada mulanya, kemudian dibatalkan dengan had sebatan dalam surah al-Nur.”

Syeikh berkata, beliau mempunyai tiga dalil berkenaan pandangan beliau itu.

Pertama, Allah SWT menjelaskan:

فَإِذَا أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفَاحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى الْمُحْصَنَاتِ مِنَ الْعَذَابِ

Maksudnya: “Kemudian selepas mereka (hamba-hamba wanita itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh daripada (hukuman) seksa yang ditetapkan kepada wanita-wanita merdeka.”

(Surah al-Nisa’: 25)

Rejam adalah hukuman yang tidak bersifat separuh dan sudah tetap bahawa azab dalam ayat itu adalah apa yang disebut dalam surah al-Nur, ayat 2:

وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “…dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Nur: 2)

Kedua, Apa yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam himpunan sahih beliau daripada Abdullah bin Aufa bahawa beliau ditanya tentang rejam, “Adakah rejam itu (diturunkan) selepas surah al-Nur ataupun sebelumnya?” Lalu beliau menjawab, “Saya tidak tahu.” Suatu yang begitu berkebarangkalian untuk hukuman rejam itu sebelum turunnya ayat al-Nur yang mana ayat itu membatalkan hukuman rejam.”

Ketiga, Hadis yang mereka pegang (para fuqaha’ menyatakannya sebagai rejam). Mereka menyatakan, “Ia adalah ayat al-Quran, kemudian bacaannya dibatalkan dan hukumnya kekal.” Pandangan itu tidak diterima akal. Mengapa bacaannya dibatalkan dan hukumnya kekal? Dan apa yang dikatakan, “Ia dahulunya ada dalam lembaran, lalu al-dajin[1] datang dan memakannya.” Pandangan ini tidak boleh diterima oleh logik akal.

Syeikh tidak menghentikan pandangan beliau, walaupun kebanyakan yang hadir membantah. Sebahagian daripada mereka berdiri. Mereka yang membantah, menolak pandangan Syeikh Abu Zahrah dengan apa yang disebut dalam kitab-kitab Fiqh berkenaan dalil-dalil ini, tetapi Syeikh tetap dengan pendirian beliau.

Saya pun menemui beliau selepas majlis itu bersurai. Saya berkata kepada beliau, “Wahai tuan guruku, saya mempunyai satu pandangan yang dekat dengan pandangan kamu. Tetapi ia lebih hampir untuk diterima.” Beliau berkata, “Apakah pandangan itu?” Saya menjawab, “Terdapat hadith sahih yang menjelaskan, ‘Wanita bujang dan lelaki bujang yang berzina, untuk mereka 100 kali sebatan dan dibuang daerah selama setahun. Manakala dua orang penzina yang sudah berkahwin, untuk mereka 100 kali sebatan dan dilempari dengan batu.’.”

Beliau berkata, “Apakah yang engkau sedang ambil menerusi hadis ini?” Saya berkata, “Tuan guru tahu, ulama mazhab Hanafi menyatakan dalam bahagian awal daripada hadis itu, ‘hukum had adalah sebatan, manakala dalam tindakan pembuangan daerah, ia terserah kepada penguasa dan menjadi takzir, diserah kepada pandangan pemerintah, namun ia bukan satu kewajipan…’.”

Tetapi, Syeikh (Abu Zahrah) tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Beliau berkata, “Wahai Yusuf, adakah diterima akal bahawa Muhammad bin Abdullah selaku pembawa rahmat dan petunjuk, membaling manusia dengan batu sehingga mati? Ini adalah syariat Yahudi…” Saya (al-Qaradhawi) bermonolog, ‘Betapa banyak pandangan dan ijtihad yang baru dan berani kekal tersimpan dalam dada pemiliknya, sehingga pandangan dan ijtihad itu pergi bersama-sama kematian mereka. Tiada seorang pun yang mendengar, tiada seorang pun yang memindahkan ia daripada mereka. (Lihat Ibnu al-Qaryah wa al-Kuttab oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Boleh juga dilihat menerusi laman sesawang www. Qaradhawi.net.)

Kami tegaskan di sini berdasarkan pengamatan kami, mengikut jumhur ulama’ bahawa hukuman rejam berdasarkan nas Ilahi yang dinasakhkan tilawah atau bacaan dan dikekalkan hukuman:

الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ نَكَالاً مِنَ اللهِ وَ اللهُ عَزِيْزٌ حَكِيْمٌ

Maksudnya: “Lelaki yang tua (maksudnya: yang sudah berkahwin) dan wanita yang tua (maksudnya: yang sudah berkahwin) jika berzina, maka rejamlah keduanya sungguh-sungguh, sebagai hukuman yang mengandung pelajaran dari Allah, dan Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” (Lihat Fath al-Bari, 12/169)

Saidina Umar R.A berkata:

إنَّ اللَّهَ بعثَ محمَّدًا صلّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ بالحقِّ، وأنزلَ عليهِ الكتابَ وَكانَ فيما أنزلَ عليهِ آيةُ الرَّجمِ فرَجمَ رسولُ اللَّهِ صلّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ ورجَمنا بعدَهُ وإنِّي خائفٌ أن يطولَ بالنّاسِ زمانٌ فيقولَ قائلٌ لا نجدُ الرَّجمَ في كتابِ اللَّهِ فيضِلُّوا بتركِ فريضةٍ أنزلَها اللَّهُ ألا وإنَّ الرَّجمَ حقٌّ على من زَنى إذا أحصنَ وقامتِ البيِّنةُ أو كانَ حَملٌ، أوِ الاعترافُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengutuskan Muhammad dengan kebenaran dan telah menurunkan al-kitab. Antara perkara yang telah diturunkan oleh Allah ialah ayat rejam. Kami baca, kami pelihara dan kami faham. Apabila Rasulullah SAW. merejam, kami juga akan merejam selepas ketiadaannya. Namun aku bimbang setelah berlalu masa, akan ada yang berkata: “Kami tidak jumpa ayat rejam dalam kitabullah (al-Quran)”. Nescaya mereka akan sesat dengan meninggalkan kefardhuan yang Allah turunkan. Ketahuilah, sesungguhnya rejam itu adalah benar terhadap sesiapa yang berzina apabila sudah muhsan dan terbukti atau berlakunya kehamilan atau pengiktirafan dari penzina.”

Riwayat al-Bukhari (6830) dan Muslim (1691)

Kami mengingati dan menginsafi apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: Daripada ‘Amr bin al-’As R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ‏‏ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: “Apabila seorang hakim melakukan hukum lalu dia berijtihad dan kemudiannya dia benar maka untuknya dua ganjaran pahala. Sekiranya beliau menghakimi dan berijtihad, kemudian dia tersilap maka baginya satu pahala.”

Riwayat al-Bukhari (7352) dan Muslim (1716)

Semoga Allah merahmati golongan yang terdahulu dengan kesungguhannya dalam memuliakan agama Allah dan meningkatkan martabatnya serta memberi kefahaman kepada ummah. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota Hujung:

[1] Antara maksud al-dajin ialah haiwan-haiwan yang jinak, sama ada haiwan seperti biri-biri, kambing, dan seumpamanya. Termasuk juga burung-burung dan lain-lain.