#6930: Memandikan Mayat Sunat di Bawah Langit atau di Bawah Bumbung?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah disunatkan untuk memandikan jenazah di dalam bilik khas di bawah bumbung seperti di dalam rumah, bilik mandian khas di masjid dan seumpamanya atau sebenarnya sunatnya adalah memandikan jenazah di bawah langit tetapi tertutup? Mohon pencerahan. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat yang menceritakan bahawa ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ

Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain.”

Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (1206)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini menunjukkan kepada anjuran atau galakkan (sunat) untuk menyegerakan pengurusan jenazah, sekiranya kematiannya tidak berlaku secara mengejut. Ini kerana perlu dipastikan akan kematiannya terlebih dahulu atau dilewatkan disebabkan oleh maslahah supaya ramai orang melakukan solat jenazah untuknya atau kerana menunggu kehadiran kaum kerabat dan sebagainya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/163).

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa memandikan mayat adalah fardhu kifayah bagi umat Islam, dan orang yang paling berhak melakukannya adalah mereka yang paling rapat dengan si mati, iaitu waris dan saudara-maranya. Lelaki lebih utama memandikan lelaki, dan wanita lebih utama memandikan wanita. Namun, mereka juga boleh mengupah orang lain untuk melaksanakan kewajipan ini, dan dibenarkan untuk menerima upah khususnya jika meluangkan masa untuk pekerjaan ini.

Dalam Mughni al-Muhtaj (2/7-13) dinyatakan bahawa memandikan mayat, mengkafankan, mendirikan solat jenazah ke atasnya, membawanya, dan mengebumikannya adalah fardhu kifayah berdasarkan ijma‘ sebagaimana yang dinukilkan dalam al-Raudhah dan berdasarkan perintah dalam hadith-hadith sahih yang bukan berkaitan dengan pengebumian. Begitu juga lelaki lebih utama memandikan lelaki, jika ada daripada kalangan saudara-maranya yang layak untuk memandikannya, mereka yang paling berhak adalah mereka yang paling berhak untuk mensolatkannya iaitu kaum lelaki daripada kalangan ‘Asabah yang mempunyai hubungan nasab, kemudian barulah wala’, kemudian  barulah isteri mengikut pendapat yang paling sahih. Orang yang lebih faqih adalah lebih utama daripada yang lebih tua di sini (urusan memandikan), begitu juga dalam hal pengebumian. Adapun wanita lebih utama memandikan wanita, jika ada daripada kalangan saudara-maranya yang layak untuk memandikannya, mereka adalah wanita daripada kalangan keluarga yang mahram seperti anak perempuan atau anak saudara perempuan, kerana mereka lebih mengasihi berbanding orang lain.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Nawawi ada menyatakan dalam kitabnya berkenaan hukum-hakam berkaitan dengan memandikan mayat. Beliau menyebutkan, orang yang memandikan mayat itu hendaklah seorang yang amanah. Akan tetapi jika seorang yang fasik memandikan mayat tersebut, ia tetap dianggap sah dan tidak perlu diulangi. Begitu juga disunatkan untuk memindahkan mayat ke tempat yang sunyi (jauh dari orang ramai) dan melindunginya daripada pandangan orang ramai, dan ini adalah perkara yang tidak ada perselisihan mengenainya (dalam kalangan ulama).

Kemudian, beliau membawakan pula persoalan; adakah disunatkan memandikan mayat di bawah langit terbuka atau di bawah atap? Dalam hal ini, terdapat dua pendapat (dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i) yang dinukilkan oleh pengarang al-Hawi dan selainnya. Pendapat yang lebih sahih daripada kedua-dua pendapat itu adalah (disunatkan untuk memandikan mayat) di bawah atap dan tidak ada makna untuk memandikan mayat di bawah langit terbuka, walaupun terdapat dalil yang dikemukakan, ia tidak kuat. Al-Syeikh Abu Hamid, al-Bandaniji, al-Qadhi Abu Tayyib, al-Jurjani dalam al-Tahrir, pengarang al-‘Uddah, dan selain mereka memutuskan bahawa perkara yang lebih utama (afdhalnya) adalah memandikan mayat di bawah atap, dan ini adalah pendapat yang dinaskan dalam al-Umm. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/159-160).

Selain daripada Ibn Qudamah juga ada menyatakan dalam kitabnya, disunatkan supaya mayat tidak dimandikan di bawah langit terbuka, dan hanya yang membantu dalam urusan memandikannya sahaja yang hadir ketika dimandikan.

Dalam  erti kata lain, disunatkan untuk memandikan mayat di dalam rumah. Ibn Sirin menyukai rumah yang digunakan untuk memandikan mayat dalam keadaan gelap, dan hal ini disebut oleh Imam Ahmad. Jika tidak ada rumah, maka diletakkan tirai antara mayat dan langit. Ibn al-Munzir menyebut bahawa al-Nakha‘i suka mayat dimandikan dengan tirai antara mayat dan langit.

Abu Dawud meriwayatkan dengan sanadnya bahawa al-Dhahhak berwasiat kepada saudaranya, Salim, katanya: “Apabila engkau memandikan aku, letakkan tirai di sekelilingku dan letakkan juga tirai antara aku dengan langit.” Al-Qadhi menyebutkan bahawa Aisyah berkata: “Rasulullah SAW datang kepada kami ketika kami sedang memandikan anak perempuannya, maka kami letakkan tirai antaranya dan bumbung (langit). Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya disunatkan demikian itu kerana ditakuti bahawa mayat akan menghadap ke arah langit dalam keadaan auratnya terbuka.’” Begitu juga dilarang/tidak disukai orang yang tidak membantu dalam urusan permandian tersebut untuk hadir, kerana tidak disukai melihat ke mayat kecuali kerana adanya keperluan. (Lihat al-Mughni, 3/370).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelaslah bahawa memandikan mayat hendaklah dilakukan dalam keadaan auratnya tidak terdedah dan jauh daripada dilihat oleh orang ramai — yakni dalam keadaan tertutup.

Jadi, kami berpendapat bahawa memandikan jenazah di bawah bumbung yakni dalam sebuah bilik yang tertutup dari segenap sudut termasuklah dari arah atas (langit) seperti di dalam rumah atau bilik mandian khas di masjid mahupun hospital atau seumpamanya, adalah lebih afdhal dan digalakkan (sunat) kerana penjagaan aurat mayat lebih terjamin dan terpelihara daripada dilihat ketika urusan pemandian tersebut. Walau bagaimanapun, jika urusan pemandian mayat tetap dilakukan di bawah langit dalam keadaan sekelilingnya dilindungi dengan tirai dan seumpamanya, mandian itu tetap dikira sah. Akan tetapi jika dapat diletakkan/dipasangkan tirai antara mayat dengan langit, maka itu adalah lebih baik dan lebih melindungi aurat mayat itu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”