#6931: Disyaratkan Berniat Ketika Memandikan Jenazah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah disyaratkan orang yang memandikan jenazah untuk berniat bagi memastikan kesahan mandian tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat itu ada ajalnya (tempoh yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka lewatkan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka awalkan (saat kematian tersebut).”

(Surah al-A‘raf: 34)

Ayat ini di atas menunjukkan bahawa bagi tiap-tiap generasi dan kurun itu tempoh masa dan waktu yang telah ditetapkan bagi ajal mereka. Apabila telah datang waktu-waktu mereka (ajal) yang telah ditentukan, mereka tidak dapat melewatkannya walaupun seketika (sesaat) atau memajukannya (lebih awal). (Lihat Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 154).

Pada asasnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya:Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20; 51).

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami bawakan terlebih dahulu jawapan yang diberikan oleh Syeikh Ahmad Syarif al-Na‘san[1] ketika beliau ditanya berkenaan seorang wanita yang mati dalam keadaan haid, apakah niat untuk memandikannya? Beliau menjawab, niat bukanlah syarat bagi kesahan taharah. Maka, jika mayat dimandikan tanpa berniat, hal itu adalah dibolehkan di sisi ulama Hanafiyyah. Bahkan, ulama Malikiyyah dan Syafi‘iyyah juga berpendapat, tidak disyaratkan untuk berniat ketika memandikan mayat kerana segala perkara yang dilakukan untuk orang lain tidak memerlukan kepada niat.[2]

Imam al-Nawawi menyatakan, berkenaan kewajipan berniat mandi, terdapat dua pendapat yang masyhur. Pengarang (al-Syirazi) menyebutkan dalil bagi kedua-dua pendapat itu. Apa yang hendak dimaksudkan dengan kedua-dua pendapat itu adalah adakah disyaratkan untuk kesahan mandi itu mesti dengan niat oleh orang yang memandikan mayat. Para ulama berbeza pendapat mengenai pendapat yang paling sahih di antara kedua pendapat tersebut. Namun, pendapat yang lebih sahih menurut kebanyakan ulama ialah niat tidak disyaratkan dan tidak wajib. Inilah yang dinaskan/dinyatakan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kes mandi seorang isteri dalam kalangan zimmi untuk suaminya yang Muslim. Di antara ulama yang mensahihkan pendapat ini ialah al-Bandaniji, al-Mawardi, al-Ruyani, al-Sarakhsi, al-Rafi‘i, dan lain-lain.

Manakala sekelompok ulama yang lain mensahihkan pendapat yang mensyaratkan niat. Di antara mereka ialah al-Mawardi, al-Furani, dan al-Mutawalli. Mereka menyebutnya dalam bab niat wuduk. Al-Mahamili dalam al-Muqni‘ dan pengarang al-Tanbih juga memutuskannya. Namun, pendapat yang sahih/betul adalah pendapat pertama — yakni tidak disyaratkan. Al-Syeikh Nasr al-Maqdisi dan pengarang al-Bayan menyebut bahawa cara niat adalah dengan niat membalikkan badan mayat ketika air bersih dicurahkan, sebagai mandi wajib. Al-Qadhi Abu Tayyib dalam al-Mujarrad menyatakan bahawa niat itu untuk mandi wajib atau fardhu atau mandi mayat. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/164-165).

Bahkan Da’irah al-Ifta’ al-‘Am turut menyebutkan, had minimum/paling kurang untuk memandikan mayat yang memenuhi kewajipan dalam mazhab al-Syafi‘i adalah dengan meratakan seluruh badan si mati dengan air, dan tidak disyaratkan niat untuk kesahan mandi mayat.[3]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa niat memandikan mayat bukanlah syarat kesahan mandi tersebut. Dalam erti kata lain, mandi jenazah itu dianggap sah jika seluruh badan si mati diratakan dengan air sekalipun tanpa niat. Namun, jika orang yang memandikan itu berniat untuk memandikan jenazah, maka tidak syak lagi, itulah yang sebaiknya dan keluar daripada khilaf mereka yang mensyaratkannya dalam mandi jenazah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Nota Hujung:

[1] Beliau sekarang bertugas sebagai khatib di Jami‘ Ahl al-Badr al-Kiram R.Anhum di Halab dan merupakan tenaga pengajar di sana. Biodata penuh beliau boleh dirujuk di https://www.naasan.net/index.php?page=YXJ0aWNsZQ==&op=ZGlzcGxheV9hcnRpY2xlX2RldGFpbHNfdQ==&article_id=Mjc=&lan=YXI=. Diakses pada 11 Julai 2023.

[2] Lihat https://www.naasan.net/index.php?page=YWR2aXNvcnk=&op=ZGlzcGxheV9hZHZpc29yeV9kZXRhaWxzX3U=&advisory_id=MTEzNw==&lan=. Diakses pada 22 Ogos 2024.

[3]  Lihat https://www.aliftaa.jo/researchfatwas/3603/الصفةالكاملةلغسلالميت. Diakses pada 21 Ogos 2024.