#6943: Harga untuk Syurga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah syurga mempunyai harganya dan apakah dia harga syurga?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah: 111)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya ‘إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ’ adalah bentuk isti’arah penyertaan, di mana usaha mereka dengan jiwa dan harta, dan pemberian pahala usaha itu kepada mereka dengan balasan syurga disamakan dengan jual beli. Pada hakikatnya Allah SWT tidak mungkin membeli sesuatu kerana sesungguhnya Allah SWT adalah pemilik segala sesuatu. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/60)

Beliau berkata lagi: Di sini Allah SWT mengungkapkan usaha keras orang-orang beriman dengan jiwa dan harta mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan syurga, sebagai kemurahan, kemuliaan, dan kebaikan. Allah SWT mengungkapkan hal itu dengan jual beli dan ganti rugi, bahawa Allah SWT menerima ganti rugi dari apa yang dimiliki dan dikorbankan oleh hamba-hamba-Nya yang taat kepada-Nya. Al-Hasan al-Basri dan Qatadah berkata, ‘Allah SWT berjual beli dengan mereka, demi Allah harga mereka menjadi sangat mahal.”

Maknanya adalah sesungguhnya Allah SWT membeli daripada orang-orang beriman jiwa dan harta dengan harga iaitu syurga atau Allah SWT memberi perumpamaan tentang balasan mereka dengan syurga atas pengorbanan mereka dengan jiwa dan harta mereka di jalan Allah sebagai jual beli. Kemudian kembali Allah SWT menjelaskan apa yang dapat dilakukan dalam jual beli itu dan bagaimana mereka menjual jiwa dan harta mereka dengan harga syurga. Allah SWT berfirman, “Mereka berjihad di jalan Allah dengan memerangi musuh-musuh mereka atau mereka mati syahid di jalan Allah, sama ada mereka dapat membunuh musuh atau mereka yang terbunuh atau dapat melakukan dua-duanya, maka wajib baginya mendapatkan syurga.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/62)

Justeru, kami katakan benar sekali. Dengan sebab seseorang itu berjihad dengan jiwa raga dan harta benda, maka layaklah dia memiliki syurga Allah. Al-Hasan al-Basri pernah berkata: Ucapan ‘لَا إِلَه إِلَّا الله’ itulah harga Syurga.

Hal ini berdasarkan sebuah hadith, daripada Mu‘az bin Jabal R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Siapa yang kalam terakhirnya adalah ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, maka dia akan masuk Syurga.”

Riwayat Abu Dawud (3116) dan Ahmad (22034)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ خَافَ أَدْلَجَ وَمَنْ أَدْلَجَ بَلَغَ الْمَنْزِلَ أَلاَ إِنَّ سِلْعَةَ اللَّهِ غَالِيَةٌ أَلاَ إِنَّ سِلْعَةَ اللَّهِ الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Sesiapa yang takut (ditimpa kesusahan dalam perjalanannya), maka dia akan bertolak awal dan cergas. Sesiapa yang bertolak cergas dia akan sampai pada destinasinya. Ketahuilah bahawa barang dagangan Allah itu sangat mahal. Ketahuilah bahawa barang dagangan Allah itu syurga.”

Riwayat al-Tirmizi (2450). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Tirmizi.

Al-Mubarakfuri berkata: “Maksudnya, ganjaran bagi amalan-amalan yang kekal disebut, sepertimana dalam firman-Nya: ‘وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا’ (“Amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.) (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/124)

Kata al-Tibi: “Ini adalah perumpamaan bagi seseorang yang menempuh jalan menuju akhirat. Sesungguhnya syaitan berada di jalannya, dan nafsu serta angan-angan palsunya adalah pembantu-pembantunya. Jika dia sentiasa berjaga-jaga dalam perjalanannya dan ikhlas dalam amalannya, dia akan selamat daripada syaitan dan tipu dayanya serta daripada perompak jalanan. Akhirnya, harga bagi barang ini adalah amalan yang baik.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/123)

Marilah sama-sama kita berdoa agar kita dikurniakan kebaikan oleh Allah serta diredhai yang melayakkan kita menghuni syurga-Nya:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلكَ رِضَاكَ وَالجَنَّةَ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ واَلنَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga, dan kami berlindung kepada-Mu daripada kemurkaan-Mu dan neraka.”