#6946: Status Jamak Qasar: Permusafiran yang Berterusan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah terangkan syarat sah jamak dan qasar? Apakah pandangan terhadap solat jamak qasar bagi situasi berikut: dari Seremban – Ampang – Shah Alam (lebih 81km). Kemudian patah balik ke Ampang untuk bermalam selama 3 hari. Adakah dibenarkan untuk jamak qasar sepanjang tiga hari menetap di Ampang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Syarat Jamak

Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Syarat Qasar

Terdapat tujuh syarat bagi melaksanakan qasar:

  • Hendaklah permusafiran seseorang itu jaraknya dua marhalah.
  • Hendaklah musafir itu dengan tujuan yang baik.
  • Hendaklah seseorang itu mempunyai ilmu tentang bolehnya diqasarkan solat.
  • Mestilah berniat qasar ketika takbiratul ihram.
  • Hendaklah solat yang diqasarkan itu merupakan solat ruba’iyyah (empat rakaat seperti zuhur asar; maghrib isyak)
  • Berterusannya permusafiran sehingga selesai solat.
  • Hendaklah dia tidak menjadi makmum kepada orang yang solat penuh pada sebahagian dari solatnya. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 48)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam situasi anda, dibolehkan untuk anda melakukan jamak qasar kerana telah mencapai 2 marhalah yakni sekitar 81 km. Maka, tidak menjadi masalah untuk anda solat jamak qasar di penginapan di Ampang kerana tidak melebihi 4 hari sepertimana syarat di atas.

Berkenaan kedua-dua syarat di atas, hakikatnya ia lebih kurang sama, cumanya bagi mengqasarkan solat, perlu dalam keadaan musafir, manakala jamak tidak semestinya perlu dalam keadaan musafir kerana ada keadaan-keadaan yang dibenarkan syarak untuk jamak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)