#6950: Menekuni Adab Khilaf Salafus Soleh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana golongan terdahulu berinteraksi dengan khilaf dan adab yang mereka junjung?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ

Maksudnya: Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.

Surah Hud (118)

Ibn Kathir dalam tafsirnya mengatakan: Pendapat-pendapat dalam kalangan manusia dalam perkara agama, iktiqad, cara hidup, mazhab dan pandangan akan terus berlaku. Kata Ikrimah, “Manusia adalah berbeza dalam menerima petunjuk dan hidayah Allah,”. Kata al-Hasan al-Basri pula, “Perbezaan juga berlaku dalam menerima rezeki, ada yang kaya memperoleh banyak rezeki, ada yang miskin, sedikit rezekinya.” Dan pendapat masyhur yang lebih tepat adalah pandangan yang pertama. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/361)

Kata Syeikh Rasyid Redha dalam mentafsirkan ayat ini,  Allah SWT mencipta manusia sebagai makhluk yang mempunyai tingkatan ilmu yang berbeza dan mempunyai kebebasan dan pilihan dalam membuat sebarang keputusan, dan hal ini menatijahkan perbezaan dan kepelbagaian hatta dari sudut agama dan pegangan. Ini menjadi bukti kepada kuasa Allah SWT dari sudut kehendak-Nya untuk menciptakan apa sahaja perkara. (Lihat Tafsir al-Manar, 12/161)

Kami tertarik untuk menukilkan pandangan al-Qasim bin Muhammad, sepertimana dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Bar, katanya:

لَقَدْ أَعْجَبَنِي قَوْلُ عُمَرَ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيزِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: «مَا أُحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَخْتَلِفُوا؛ لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلًا وَاحِدًا كَانَ النَّاسُ فِي ضِيقٍ، وَإِنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ، وَلَوْ أَخَذَ رَجُلٌ بِقَوْلِ أَحَدِهِمْ كَانَ فِي سَعَةٍ»

Maksudnya: “Aku merasa kagum dengan kata-kata ‘Umar bin Abd al-‘Aziz: ‘Aku tidak menyukai (sekiranya) para sahabat tidak berbeza pendapat (dalam isu cabang fiqh). Ini kerana, sekiranya mereka bersepakat atas satu-satu pendapat sahaja, maka sudah tentu orang ramai akan (terikat dan) berada dalam kesempitan. Mereka (para sahabat) merupakan imam-imam (tokoh dan pemimpin) yang diikuti oleh umat. Andainya seseorang berpegang dengan pandangan salah seorang dari kalangan mereka, maka sudah tentu hal tersebut memberikan keluasan’.” (Lihat Jami’ Bayan al-‘Ilmi, 2/80)

Justeru, dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib, antara lain katanya:

Kita perlu mengajar anak-anak kita bagaimana para salafussoleh – bermula dari para sahabat Rasulullah SAW dan sepanjang zaman keemasan – ketika mereka berbeza pendapat, tetapi mereka tidak berpisah. Sejarah Islam yang panjang tidak mengenal satu mazhab pun yang dipaksakan kepada umat Islam dan diwajibkan ke atas mereka untuk mengikutinya. Para imam dan ulama’ mereka juga tidak hanya mempunyai satu kefahaman yang sama sahaja, atau satu pendapat tertentu sahaja yang diwajibkan kepada umat tanpa mengira tempat dan zaman mereka. Malah, para imam dan ulama’ Islam membiarkan setiap tempat itu berpegang dengan ijtihad ulama’ mereka sendiri, dan berpegang dengan apa yang disepakati berdasarkan pandangan serta istinbat mereka. Inilah apa yang umat Islam hari ini telah hilang, mereka terkumpul di dalam penjara kepercayaan, mazhab, dan kumpulan tertentu. Mereka menyebarkannya pada khalayak ramai setelah kesedaran mereka dipalsukan dan hati nurani mereka dibeli dengan wang, kuasa, dan pengaruh.

Dan kita semua pada zaman ini – perlu membersihkan debu kejahilan yang disengajakan dari asal-usul warisan kita yang berasaskan kepada berbilang kaum, perbezaan pendapat, dan menghormati kepelbagaian.. Khalifah al-Mansur sendiri pernah meminta Imam Malik selaku imam penduduk Madinah, untuk menulis sebuah kitab ilmu agar khalifah dapat mewajibkan semua umat Islam berpegang dengannya di semua wilayah kekuasaannya. Namun, Imam tersebut menolak dan mengungkapkan satu kata-kata, yang saya anggap sebagai satu-satunya jalan keluar daripada keadaan yang kita hadapi sekarang. Beliau berkata: “Wahai Amir al-Mukminin, janganlah lakukan demikian; kerana setiap manusia itu telah sampai kepada mereka kalam ulama’, mendengar hadith, dan meriwayatkan riwayat. Setiap kaum mengambil apa yang sampai kepada mereka, dan beramal dengannya, dan menurutinya, dari banyaknya perbezaan pendapat di kalangan sahabat Rasulullah SAW dan selain mereka. Menolak secara mutlak apa yang mereka yakini ini adalah perbuatan yang keras. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka yakini, dan biarkanlah apa yang dipilih oleh penduduk setiap kawasan untuk diri mereka sendiri.” Lalu al-Mansur berkata: “Demi umurku! jika engkau menurutiku, nescaya aku akan memerintahkan yang demikian.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’ oleh al-Zahabi, 7/78-79)

Sesungguhnya kekacauan yang disebabkan oleh perbezaan yang tidak berlandaskan garis panduan ilmu pengetahuan, serta mewajibkan kepada umat Islam untuk berpegang dengan satu mazhab tertentu dan menjauhi mazhab lain, inilah punca yang menimbulkan kecenderungan kepada sikap suka menuduh orang lain menyeleweng, mengkafirkan, dan keganasan di kalangan umat Islam, serta memberi peluang kepada pihak-pihak lain yang menunggu untuk menggoyahkan kesatuan ummah ini. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 2/210-211)

Marilah sama-sama kita mengikatkan ukhuwwah Islamiyyah sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ‎

Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-Hujurat: 10)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Persaudaraan merupakan satu ikatan yang mana Allah SWT telah mengikatnya di antara orang-orang yang beriman. Sekiranya kita mendapati sesiapa sahaja sama ada dari timur atau barat yang beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari Akhirat maka dia adalah saudara kepada orang yang beriman. Di samping itu juga, persaudaraan ini juga mewajibkan orang beriman untuk menyayanginya sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri atau sebaliknya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 800)

Marilah sama-sama kita berdoa agar sentiasa diberi petunjuk untuk mengikut kebenaran:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)