#6952: Solat Sunat Qabliyyah Maghrib

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sebenarnya, solat sunat qabliyyah Maghrib ada atau tidak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, solat sunat qabliyyah termasuk dalam solat sunat rawatib. Ini kerana solat sunat rawatib adalah solat-solat sunat yang didirikan sebelum ataupun sesudah solat fardhu lima waktu. Hikmah pensyariatannya ialah bagi menyempurnakan segala kekurangan sewaktu mengerjakan solat fardhu, seperti tidak khusyuk atau tidak mentadabbur ayat-ayat yang dibaca. (Lihat al-Iqna‘, 1/115; Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 1/413-414).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, di sana terdapat solat sunat qabliyyah Maghrib. Namun, ia termasuk dalam jenis solat sunat rawatib yang tidak mu’akkad.

Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 285) dan Matla’ al-Badrain (1/132-133) yang memasukkan dua rakaat sebelum Maghrib sebagai solat sunat rawatib yang tidak mu’akkad.

Dalil disyariatkan solat sunat sebelum Maghrib adalah berdasarkan kepada keumuman sabda Rasulullah SAW:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ ثَلاَثًا لِمَنْ شَاءَ

Maksudnya: “Di antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah) ada solat (sunat) – Baginda mengulanginya hingga tiga kali- bagi yang menghendakinya.

Riwayat al-Bukhari (624)

Bahkan di sana terdapat dalil khusus yang menyebutkan berkenaan solat sunat qabliyyah Maghrib. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

كَانَ الْمُؤَذِّنُ إِذَا أَذَّنَ قَامَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبْتَدِرُونَ السَّوَارِيَ حَتَّى يَخْرُجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُمْ كَذَلِكَ يُصَلُّونَ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْمَغْرِبِ وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ شَيْءٌ

Maksudnya: “Biasanya apabila muazzin mengumandangkan azan, maka sekelompok daripada sahabat-sahabat Nabi SAW bangun dan segera menghampiri tiang-tiang, sehinggalah Nabi SAW keluar dan mereka masih dalam keadaan sedemikian, mereka solat dua rakaat sebelum Maghrib, dan tidak ada sesuatu di antara azan dan iqamat.

Riwayat al-Bukhari (625)

Selain itu, terdapat juga hadith daripada Abdullah al-Muzani bahawa Baginda bersabda:

صَلُّوا قَبْلَ صَلاَةِ المَغْرِبِ، قَالَ: فِي الثَّالِثَةِ لِمَنْ شَاءَ كَرَاهِيَةَ أَنْ يَتَّخِذَهَا النَّاسُ سُنَّةً

Maksudnya: “Solatlah kamu (solat sunat) sebelum solat fardhu Maghrib.” Baginda menambah pada sabdaannya kali ketiga: “Bagi sesiapa yang ingin melakukannya,” kerana Baginda bimbang manusia menganggapnya sebagai suatu sunnah (yang wajib).

Riwayat al-Bukhari (1183)

Lebih-lebih lagi, di sana terdapat riwayat yang menunjukkan para sahabat amat menitikberatkan solat sunat sebelum maghrib. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Yazid bin Abu Habib, dia berkata:

أَتَيْتُ عُقْبَةَ بْنَ عَامِرٍ الجُهَنِيَّ، فَقُلْتُ: أَلاَ أُعْجِبُكَ مِنْ أَبِي تَمِـيمٍ يَرْكَعُ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ المَغْرِبِ؟ فَقَالَ عُقْبَةُ: إِنَّا كُنَّا نَفْعَلُهُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ»، قُلْتُ: فَمَا يَمْنَعُكَ الآنَ؟ قَالَ: الشُّغْلُ

Maksudnya: “Aku mendatangi ‘Uqbah bin Amir al-Juhani lalu aku berkata: ‘Adakah kamu tidak hairan melihat Abu Tamim? Beliau mengerjakan solat dua rakaat sebelum solat Maghrib?’ Lalu Uqbah berkata: ‘Sesungguhnya kami selalu melakukannya di zaman Rasulullah SAW.’  Maka aku berkata kepadanya: ‘Apa yang menghalangimu untuk melakukannya sekarang?’ Beliau menjawab: ‘Kesibukan.’”

Riwayat al-Bukhari (1184)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:  Mengenai ungkapannya, ‘فَقَالَ عُقْبَةُ: إِنَّا كُنَّا نَفْعَلُهُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ»، قُلْتُ: فَمَا يَمْنَعُكَ الآنَ؟ قَالَ: الشُّغْلُ.’ Hal ini dijadikan dalil lamanya waktu Maghrib. Akan tetapi sebenarnya hal ini tidak dapat dijadikan hujjah bagi hal tersebut, sebagaimana telah kami jelaskan di awal bab. Sebahagian mengatakan; hanya saja dua rakaat tersebut dianjurkan bagi mereka yang suci dan menutup aurat agar tidak mengakhirkan Maghrib dari awal waktunya. Tidak diragukan lagi bahawa melaksanakannya pada awal waktu adalah lebih utama. Begitu juga bahawa waktu disukainya melaksanakan kedua rakaat tersebut adalah selama belum dilaksanakannya solat. (Lihat Fath al-Bari, 6/377).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan penjelasan di atas, kami berpendapat dan tegaskan sekali lagi bahawa solat sunat qabliyyah Maghrib adalah dibolehkan (disyariatkan) tetapi ia termasuk dalam solat sunat rawatib yang tidak mu’akkad.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”