#6956:  Tafsiran Ayat 134 Surah Ali-Imran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah tafsiran ayat 134 Surah Ali Imran pada ayat “وَالْعَافِيْنَ عَنِ النَّاسِۗ” Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”

(Surah Ali Imran:134)

Dalam menjawab persoalan tersebut, kami menyatakan bahawa manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Oleh itu, salah satu ciri orang yang beriman adalah mereka mampu untuk menahan kemarahan dan memberi kemaafan kepada mereka yang melakukan kesalahan terhadapnya. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas.

Antara tafsiran ayat “وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ” yang dinyatakan oleh mufassirin adalah sebagaimana berikut:

  • Al-Qurtubi menafsirkan ayat ini dengan menyatakan: Mengampunkan orang lain adalah bentuk kebaikan yang paling agung, di mana seseorang itu boleh memberi maaf walaupun dia berhak untuk mengambil tindakan. Sesiapa yang berhak menerima hukuman tetapi dibiarkan tanpa dihukum, maka dia telah diampunkan. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 4/207)
  • Al-Syaukani menyebutkan bahawa: Mereka yang meninggalkan hukuman terhadap orang yang bersalah kepada mereka dan layak untuk dihukum, dan ini adalah antara bentuk kebaikan yang paling mulia. Secara zahirnya, ia merujuk kepada memaafkan orang lain, sama ada mereka itu hamba atau bukan (Lihat Fath al-Qadir, 1/437)
  • Ibn Kathir menurut tafsirannya, beliau menyatakan: Selain daripada menahan diri daripada kejahatan, mereka juga memaafkan orang yang menzalimi mereka dalam urusan peribadi, sehingga tidak ada lagi perasaan dendam dalam hati mereka terhadap sesiapa pun. Ini adalah keadaan yang paling sempurna. (Lihat Tafsir al-Quran al- ‘Azim, 2/424)
  • Syeikh al-Sa‘di menyatakan bahawa: Pengampunan terhadap manusia meliputi pengampunan kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan terhadap kamu sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Pengampunan ini lebih tinggi darjatnya daripada menahan kemarahan, kerana pengampunan bermaksud tidak mengambil tindakan balas dengan hati yang ikhlas terhadap orang yang melakukan kesalahan.

Ini hanya dapat dilakukan oleh seseorang yang menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia dan menghindari daripada akhlak yang tercela. Dia juga adalah orang  yang berdagang dengan Allah dan mampu mengampuni hamba-hamba Allah kerana rahmat, ihsan terhadap mereka. Begitu juga dia membenci untuk mendatangkan keburukan kepada mereka. Dia melakukan sedemikian agar Allah mengampuninya dan agar pahalanya datang dari Tuhan yang Maha Pemurah, bukan daripada hamba yang fakir. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.148)

Justeru, berdasarkan tafsiran para ulama jelaslah kepada kita bahawa antara kesempurnaan iman seseorang itu adalah dia mampu untuk memaafkan orang yang melakukan kesalahan terhadapnya. Secara keseluruhannya, ayat ini mengajarkan nilai-nilai moral yang tinggi dan mendorong umat Islam untuk menjadi individu yang lebih baik dalam hubungan mereka dengan Allah dan sesama manusia.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بيْنَ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلَنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan ata kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu‘Alam.