#6973: Isu Sahib al-Baladain

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya telah membaca bab Sahib al-Baladain (#2027). Cuma saya hendak bertanya jika kita menetap menyewa di selangor dan saya berstatus bujang, adakah rumah bapa di kampung halaman tersebut berstatus Sahib al-Baladain dan saya tidak boleh mendapat rukhsah untuk jamak dan qasar jika saya pulang ke kampung? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d;

Allah SWT berfirman:

﴿وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَلَیۡسَ عَلَیۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنۡ خِفۡتُمۡ أَن یَفۡتِنَكُمُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱلۡكَـٰفِرِینَ كَانُوا۟ لَكُمۡ عَدُوࣰّا مُّبِینࣰا﴾

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di atas muka bumi, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan dan dosa sekiranya kamu mengqasarkan iaitu memendekkan solat jika kamu takut diserang oleh golongan kafir. Sesungguhnya orang kafir itu ialah musuh kamu yang amat nyata.”

(Surah al-Nisa’: 101)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Mengqasarkan solat adalah dibolehkan menurut persepakatan para ulama. Adapun meninggalkan qasar dan melaksanakan solat secara tamam (sempurna empat rakaat) ketika bermusafir, para ulama berbeza pendapat. Sebahagian sahabat berpendapat wajib ke atas musafir untuk mengqasarkan solat, ini merupakan pendapat  ‘Umar bin al-Khattab, ‘Ali bin Abu Talib, Ibn ‘Umar, Jabir, Ibn ‘Abbas, juga al-Hasan al-Basri, ‘Umar bin Abd al-‘Aziz, Qatadah, Malik bin Anas dan ahli al-Ra’yi. Manakala, Imam al-Syafi’i pula berpendapat mengqasarkan solat bagi musafir hukumnya harus sahaja. Pendapat ini disokong oleh zahir ayat al-Quran. Perkataan “tidaklah menjadi apa-apa kesalahan” digunakan untuk memberi keringanan, bukan mewajibkan sesuatu.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 2/274-275)

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنْ الْعَذَابِ يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ وَطَعَامَهُ فَإِذَا قَضَى نَهْمَتَهُ مِنْ وَجْهِهِ فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ

Maksudnya: “Permusafiran itu adalah sebahagian daripada azab. Ia menghalang kamu daripada tidur dan makan. Apabila telah selesai menunaikan hajat daripada permusafiran tersebut, maka segeralah kembali kepada ahli keluarganya.”

Riwayat al-Bukhari (5429); Muslim (1927)

Musafir itu sejuzuk daripada kesengsaraan, yang merangkumi perasaan jiwa yang asing dengan tempat yang baharu, perpisahan dengan orang yang dikasihi dan pelbagai lagi kesukaran.

Al-Qadhi ‘Iyadh menjelaskan: “Di dalam permusafiran terdapat kepenatan dan kesusahan. Ia juga menghalang dari makan dan minum kerana terkadang itu makanan dan minuman boleh jadi ada dan boleh juga tiada ketika permusafiran.” (Lihat Ikmal al-Mu’lim Bi Fawaid Muslim, 6/178)

Mulla Ali al-Qari menyebut: “Permusafiran menyebabkan kita terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga dan sahabat, serta susahnya hidup (di permusafiran).” (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Mishkat al-Masabih, 7/414)

Bagi menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa seharusnya kita mengetahui pembahagian watan di sisi para ulama untuk memahami perbahasan Solat Musafir ini.

Watan (Negeri Yang Dihuni) dibahagikan oleh para fuqaha’ kepada tiga seperti mana yang termaktub di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah adalah seperti berikut:

Jenis Watan Takrifan dan Definisi
Watan Asli  (وَطَنٍ أَصْلِيٍّ) Tempat yang dihuni oleh seseorang bersama ahli keluarganya; sama ada tempat kelahirannya atau negeri lain, dia jadikan tempat itu sebagai tempat untuk membina rumah dan menetap di situ bersama ahli isteri dan anak-anaknya, dan tidak ada niat untuk berpindah daripadanya, bahkan berniat untuk tinggal hidup di situ selama yang boleh. Termasuklah kampung halaman isteri.
Watan Iqamah (وَطَنِ إِقَامَةٍ) Sebuah tempat yang dihuni oleh seseorang melebihi tempoh had musafir kemudian dia berniat untuk bermusafir lagi selepas itu.
Watan Sukna (وَطَنِ سُكْنَى) Sebuah tempat yang dihuni oleh seseorang kurang daripada tempoh had musafir.

Pengarang al-Mausu‘ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah juga seterusnya menyatakan:  “Dan al-Watan al-Asli boleh jadi satu sahaja atau lebih dari satu; seperti seseorang itu mempunyai isteri/keluarga dan rumah di dua negeri atau lebih.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 27/267)

Pembahagian dan keterangan di atas diambil daripada fatwa-fatwa para ulama empat mazhab dan turut dinyatakan di sisi muktamad mazhab al-Syafi‘i seperti Imam al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj (1/262).

Berhubung soalan yang diajukan kepada kami di atas, kami nyatakan bahawa:

Sekiranya tuan berpindah ke tempat baharu dan merancang dan berazam untuk menjadikan tempat itu sebagai tempat bermastautin yang baharu iaitu watan asli dan berniat tidak akan kembali ke kampung halaman kecuali tujuan ziarah sahaja, maka rumah bapa di kampung halaman tuan bukan lagi watan asli, apabila tuan pulang ke kampung dalam tempoh musafir maka tuan layak untuk menjamak dan qasar solat di kampung. Hal ini kerana, tuan mempunyai dua watan asli. Satu di Selangor, satu di kampung halaman bapa.

Namun, jika tuan berpindah ke tempat baharu secara sementara dan merancang bahawa satu ketika tuan berazam akan kembali pulang dan bermastautin semula di kampung halaman, apabila tuan tiba di kampung halaman maka tuan tidak layak untuk menjamak atau mengqasar solat di kampung halaman walaupun tuan menetap di sana dalam tempoh kurang daripada 4 hari kerana itu adalah watan asli tuan manakala rumah sewa di Selangor pula dianggap watan iqamah (tempat bermukim). Tuan wajib melakukan solat secara tamam (sempurna rakaatnya) di kedua-dua tempat.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.