#6985: Kitab Subul al-Huda wa al-Rasyad fi Sirah Khair al-’Ibad

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami buku tersebut dan siapakah pengarangnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّ‍ۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ

Maksudnya: “Dialah (Allah) yang mengutuskan di dalam golongan ummiy seorang Rasul dari kalangan mereka yang membacakan ayat-ayat-Nya ke atas mereka dan dia menyucikan mereka serta mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah sekalipun mereka sebelum ini berada di dalam kesesatan yang nyata.”

Imam al-Baghawi dalam tafsirannya ke atas ayat ini menyebut: Masyarakat Arab dahulunya merupakan umat yang ummiyyah. Umat yang tidak menulis dan tidak membaca. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 8/111)

Menjawab persoalan di atas, kami memetik ucapan Syeikh al-Azhar, antara lain katanya:

Jika kamu mahu melihat bukti bagi perkara tersebut, maka lihatlah kepada al-Imam Muhammad bin Yusuf al-Salihi al-Syami, salah seorang ulama pada kurun ke-10 H, di dalam ensiklopedia Sirah beliau yang terkenal berjudul “Subul al-Huda wa al-Rasyad fi Sirah khaer al-’Ibad. Imam al-Salihi telah meluangkan masa umur hidupnya menulis ensiklopedia ini yang beliau sendiri nyatakan di dalam mukadimah buku beliau ini menerusi perkataan beliau: “Jika engkau merenung buku ini, ketahuilah bahawa  buku ini telah memakan tempoh seumur hidupku.” Beliau berkata lagi, bahawa beliau telah menulis buku ini bersumberkan lebih daripada 300 ratus kitab Sirah, beliau membaca dan menyaringnya supaya dapat mencapai maklumat dan kisah yang sahih daripadanya dan dimasukkan ke dalam ensiklopedia ini.[1] Kalian pasti berasa kagum dan takjub bahawa jumlah muka surat dan halaman buku ini menggapai 9,166 halaman. Dari awal hingga akhir, semua hurufnya menceritakan tentang sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Antara yang lebih mengkagumkan lagi ialah topik-topik perbahasan dalam ilmu Sirah ini merangkumi sebilangan topik yang pelbagai, tiada peribadi yang dibahaskan sebegini rupa melainkan peribadi Nabi Muhammad SAW sahaja. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 1/404)

Kami kemukakan sedikit biografi tentang pengarang kitab tersebut:

Muhammad bin Yusuf al-Salihi al-Syami adalah seorang sejarawan dari kalangan sejarawan abad ke-10 Hijrah. Kelewatan beliau (dari sudut tarikh kelahirannya) membolehkannya meneliti buku-buku sejarah dan biografi, sejak zaman penulisan awal hingga zamannya. Beliau telah mengarang sebuah ensiklopedia besar mengenai Sirah Nabawiyah yang dinamakan ‘Subul al-Huda wa al-Rasyad fi Sirah Khair al-’Ibad’.

Kitab ini beliau hasilkan melalui saduran lebih 300 buah kitab rujukan sebagaimana yang dinyatakan dalam mukadimah kitab tersebut. Beliau merupakan murid kepada al-Hafiz al-Suyuti dan Syihabuddin al-Qastalani, penulis kitab Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari.

Al-Imam Abdul Wahab al-Sya’rani menceritakan tentang beliau dalam kitab al-Tabaqat al-Sughra: Beliau seorang yang alim, soleh dan menguasai pelbagai bidang ilmu. Beliau mengarang kitab al-Sirah al-Nabawiyyah yang terkenal. Orang ramai datang untuk menyalin kitab ini daripada beliau. Beliau hidup membujang dan tidak pernah berkahwin. Jika ada tetamu yang berkunjung, beliau akan menyediakan periuk belanga dan memasak untuk tetamu tersebut. Beliau seorang yang lemah lembut dan baik tutur katanya. Beliau sangat dihormati oleh masyarakat. Beliau sangat banyak berpuasa dan bangun malam. Aku pernah bermalam di rumah beliau dan aku tidak melihat beliau tidur pada malam hari kecuali hanya sedikit.

Jika ada anak murid beliau yang meninggal dunia dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil, beliau akan mengambil alih tugas menjaga anak-anak tersebut. Beliau tidak menerima harta dan bantuan daripada penguasa. Beliau tidak makan sedikitpun makanan pemberian mereka. Akhlak beliau yang baik sangat banyak dan terkenal dalam kalangan murid-muridnya serta sahabat-sahabatnya.

Berkenaan tarikh kelahirannya, adalah tidak diketahui, tetapi apa yang dicatatkan adalah tarikh beliau meninggal dunia iaitu pada tahun 943H.

Semoga Allah merahmati pengarang kitab ini yang telah menabur jasanya dan ilmunya demi mewakafkan seluruh hidupnya untuk Sirah Nabi SAW. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Nota Hujung:

[1] Subul al-Huda wa al-Rashad, 1/6, cetakan. Kementerian Wakaf Mesir, 1973M.