#6992: Geniusnya Nabi SAW 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami betapa geniusnya Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّ‍ۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ

Maksudnya: “Dialah (Allah) yang mengutuskan di dalam golongan ummiy seorang Rasul dari kalangan mereka yang membacakan ayat-ayat-Nya ke atas mereka dan dia menyucikan mereka serta mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah sekalipun mereka sebelum ini berada di dalam kesesatan yang nyata.”

Imam al-Baghawi dalam tafsirannya ke atas ayat ini menyebut: Masyarakat Arab dahulunya merupakan umat yang ummiyyah. Umat yang tidak menulis dan tidak membaca. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 8/111)

Antara sifat yang wajib ke atas Nabi SAW adalah fatanah yang memberi makna bijaksana dan mempunyai hikmah. Dalam menjawab persoalan ini, alangkah benarnya apa yang dinyatakan oleh sasterawan Arab Professor ‘Abbas Mahmud ‘Aqqad di dalam mukadimah karyanya Kegeniusan Muhammad,.. Ketika beliau menjelaskan, bahawa jika seseorang insan tidak menyedari keagungan sesuatu yang benar agung, maka dirinya itu seakan tiada nilai langsung. Masyarakat yang mempersia-siakan yang tua, pasti akan mengabaikan yang muda juga, tanpa sebarang keraguan. Beliau, rahimahullah, berkata: “Apakah nilai seorang manusia itu lagi apabila dia sendiri buta tidak dapat melihat keagungan seorang yang benar-benar agung, apabila seseorang yang agung itu disia-siakan dalam kalangan manusia, maka bagaimana pula dengan nasib orang yang rendah tarafnya?” (Lihat ‘Abqariah Muhammad dalam Ensiklopedia Islam Al-Aqqad: 2/24)

Firman Allah SWT:

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ

Maksudnya: “Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)?”

(Surah al-Syarh: 1)

Ibn Kathir berkata: “Kami telah menerangi dadamu, iaitu dengan cahaya Kami. Dan Kami jadikan dadamu lapang, lebar dan luas.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 8/429) 

Pendapat yang sahih ialah Allah mengurniakan kelapangan dan keluasan sehingga Rasulullah dapat hidup selesa, di mana kelapangan di langit dan di bumi kerana kurniaan iman, hikmah, yakin dan cahaya hidayah. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 266)

Seterusnya kami nyatakan di sini pendapat tokoh kepada Nabi kita SAW:

  • Profesor bertaraf dunia dalam bidang kepimpinan, John Adair, memperakui Baginda SAW adalah pemimpin terbaik sepanjang zaman. Dalam bukunya ‘The Leadership of Muhammad’ antara lain mengungkapkan kata penuh jujur, “Muhammad adalah seorang tokoh luar biasa yang paling besar pengaruhnya di dunia ini.
  • Tokoh ilmuwan Barat, George Bernard Shaw menulis dalam bukunya ‘Genuine Islam’: “Muhammad adalah manusia agung yang pernah dilahirkan ke dunia. Beliau membawa satu agama, mendirikan sebuah bangsa, meletakkan dasar-dasar moral, memulakan banyak pergerakan pembaharuan sosial dan politik serta juga berjaya mendirikan masyarakat yang kuat dan berdaya dinamik bagi melaksanakan dan mewakili ajarannya.”

Sesungguhnya kecerdikan dan fatanahnya Rasulullah SAW dapat dilihat dalam pelbagai tindakan, pendapat dan ucapannya. Antaranya seperti keputusannya dalam mengiyakan perjanjian Hudaibiyah yang berlaku pada tahun 6 Hijrah. Begitu juga, apabila beliau sampai ke kota Madinah dalam hijrahnya, beliau dapat membina tamadun Islam dan membina pembina tamadun (human capital). Semoga kita sentiasa mencontohi Rasulullah SAW selaras dengan firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

(Surah al-Ahzab: 21)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”