#7003: Menghadap Ke Arah Bertentangan Dengan Kiblat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, disebabkan Bumi itu bulat? Bolehkah kita solat bertentangan arah kiblat? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Menghadap ke arah kiblat merupakan salah satu syarat sah solat terutamanya solat-solat fardhu. Ia merupakan kewajiban yang mesti dilaksanakan bagi setiap Muslim yang hendak mendirikan solat. Seorang Muslim juga amat dituntut untuk melazimi arah kiblat dalam setiap ibadat tambahannya (sunat), kerana ia merupakan tempat dan arah yang paling utama dan paling banyak keberkatannya. Allah SWT berfirman dalam al-Furqan:

قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Kami telah melihat engkau (wahai Rasulullah) kerap memandang wajahmu ke langit, maka pasti akan Kami hadapkan kamu ke arah kiblat yang engkau redhai. Maka hadapkanlah wajahmu ke arah al-Masjid al-Haram dan di mana pun kalian berada; maka hadapkanlah wajah kalian ke arahnya (untuk menunaikan solat). Dan sesungguhnya orang-orang yang diberi al-Kitab pasti akan mengetahui bahawa pertukaran ini adalah benar daripada Tuhan mereka; dan Allah sama sekali tidak akan melupakan segala amalan yang mereka laksanakan.”

(Surah al-Baqarah: 144)

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas dengan tuntas di dalam al-Tafsir beliau seraya berkata:

﴿فول﴾ أي حوِّل. ﴿وجهك شطر المسجد الحرام﴾ أي نحوه وأراد به الكعبة، والحرام المحرم. ﴿وحيث ما كنتم﴾ من بر أو بحر أو شرق أو غرب. ﴿فولوا وجوهكم شطره﴾ عند الصلاة

Maksudnya: “[Maka hadapkanlah] iaitu tukarlah arah pandanganmu [ke arah Masjidil Haram] iaitu ke arahnya dan yang dimaksudkan adalah ke arah Kaabah, dan al-Haram bermaksud al-muharram iaitu yang dihormati lagi disucikan. [Dan di mana pun kalian berada] sama ada di daratan mahupun lautan, di timur atau di barat, [maka hadapkanlah wajah kalian ke arahnya] iaitu ketika hendak mendirikan solat.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/161)

Sebaliknya, berpaling dari arah kiblat adalah perbuatan yang membatalkan solat. Ini merupakan ijma‘ dalam kalangan umat Islam sejak dahulu hingga kini. Antara yang menegaskan ijma‘ dalam perkara ini adalah Imam Ibn Hazm al-Andalusi dalam kalangan mazhab al-Zahiriyyah dan Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah dalam kalangan fuqaha’ al-Hanabilah.

Imam Ibn Hazm al-Andalusi berkata:

اتَّفقوا على أنَّ مَن تحوَّل عن القِبلة عمدًا لغيرعذر- فإنَّ صلاتَه فاسدةٌ

Maksudnya: “Para ulama bersepakat bahawa sesiapa yang terpesong daripada arah Kiblat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran yang munasabah di sisi syarak; maka solatnya adalah terbatal.” (Lihat Maratib al-Ijma‘, hlm. 28)

Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyah al-Hanbali pula menegaskan:

كاستدبار القِبلة والعمل الكثير، فإنَّه لا يجوزُ لغير عُذر بالاتِّفاق

Maksudnya: “Seperti perbuatan membelakangi Kiblat dan melakukan pergerakan yang terlalu banyak (di dalam solat); semua ini tidak boleh (dilakukan di dalam solat) tanpa sebarang keuzuran (alasan yang diizinkan syarak), di sisi persepakatan para ulama.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 23/227)

Berhubung soalan yang diajukan kepada kami di atas, kami tegaskan bahawa tidak boleh untuk melakukan sedemikian rupa iaitu sepertimana yang diajukan di dalam soalan atas dasar-dasar seperti berikut:

  1. Yang diwajibkan ketika menghadap ke arah Kiblat adalah al-Istiqbal dan al-Tawajjuh

Al-Istiqbal adalah menghadap dengan menjadikan objek yang dihadapi itu berada di arah hadapan yang terdekat dan secara langsung. Hal ini tidak akan berlaku sekiranya kita membelakangi sesuatu, ia tidak dinamakan sebagai al-istiqbal. Sebaliknya, ia dinamakan sebagai al-istidbar (membelakangi).

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari memfatwakan: “[Al-Tawajjuh] ke arah Kiblat dengan dada bukan dengan wajah semata, [adalah syarat bagi solat orang yang berkemampuan] untuk melaksanakannya berdasarkan firman Allah SWT: “Hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram” iaitu menghadap ke arahnya.” (Lihat Fath al-Wahhab Syarh Minhaj al-Tullab, 1/42)

Berdasarkan nas Syeikh al-Islam di atas, dapat kita simpulkan bahawa konsep al-Tawajjuh yang diwajibkan bermaksud menghadap dengan wajah bersama dada ke arah hadapan yang berdekatan; yang paling langsung jua paling hampir dengan Kiblat. Hal ini senada dengan perbuatan Rasulullah SAW yang menghadap langsung ke arah hadapannya yang merupakan Kaabah dan berkata: “Inilah Kiblat.” Baginda tidak berpusing ke arah belakang atau mengatakan arahnya sama sahaja.

Bahkan hukum asalnya, kita diwajibkan agar menghadap ke arah ‘ain Kiblat yang berada di hadapan, bukan sekadar menghadap ke arah Kiblat sahaja. Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata:

الشرط التاسع: استقبال عين القبلة أي الكعبة فلا يكفي التوجه لجهتها

Maksudnya: “[Syarat (sah solat) ke-9: Menghadap ke arah hadapan] iaitu ke arah  ‘ain [Kiblat] iaitu Kaabah, dan (hukum asalnya) adalah tidak cukup berpada sekadar menghadap ke arahnya sahaja (mesti benar menghadap ke binaan Kaabah).” (Lihat al-Minhaj al-Qawim Syarh Masa’il al-Ta ‘lim, hlm. 116)

Maka jelaslah, yang diwajibkan adalah berhadapan dan bermuka dengan ‘ain (esensi/kewujudan) Kaabah; yang memerlukan menghadap ke arahnya secara berdepan, bukan sekadar menghadap ke arahnya yang juga boleh dilakukan dengan menghadap ke arah membelakanginya.

Apabila kita sudah dapat mengetahui arah Kiblat dengan apa-apa sahaja cara ijtihad dan kita meyakini kesahihan arah Kiblat tersebut, maka kita diwajibkan untuk menghadap ke arahnya. Inilah yang wajib dilaksanakan, iaitu yang boleh dilaksanakan dengan mudah. Kita tidak dituntut untuk mencari sudut/penjuru yang lain. Di dalam kitab fuqaha al-Hanafiyyah, Imam al-Babarti memfatwakan:

فَفَرْضُهُ إصَابَةُ جِهَتِهَا هُوَ الصَّحِيحُ لِأَنَّ التَّكْلِيفَ بِحَسَبِ الْوُسْعِ

Maksudnya: “Yang wajib ke atas orang yang bersolat adalah menghadap ke arah Makkah dengan tepat, inilah pendapat yang sahih; kerana yang diarahkan adalah menghadap berdasarkan kemampuan/apa yang termudah bagi seseorang.” (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 1/270)

 

  1. Tidak boleh menyelisihi cara yang disepakati oleh umat Islam keseluruhannya

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran al-Karim melarang perbuatan ini:

وَمَن یُشَاقِقِ ٱلرَّسُولَ مِنۢ بَعۡدِ مَا تَبَیَّنَ لَهُ ٱلۡهُدَىٰ وَیَتَّبِعۡ غَیۡرَ سَبِیلِ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ نُوَلِّهِۦ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصۡلِهِۦ جَهَنَّمَۖ وَسَاۤءَتۡ مَصِیرًا

Maksudnya: “Sesiapa yang mengingkari Rasul selepas nyata jelas akan kebenaran dan menuruti jalan yang selain daripada jalan orang-orang yang beriman, Kami akan palingkan ia ke arah kesesatan yang dia pilih itu dan Kami akan bakar dia dalam neraka Jahannam, seburuk-buruk tempat kembali.”

(Surah al-Nisa’: 115)

Manakala, perbuatan membelakangi Kiblat meskipun dengan hujah akan menghadap ke arah yang sama kerana Bumi itu bulat; pasti akan menyelisihi amalan majoriti masyarakat umat Islam dan ini diancam keras oleh Allah SWT di dalam Wahyu yang suci.

Kesimpulannya, kami tegaskan di sini bahawa tidak boleh menghadap ke arah yang bertentangan dengan Kiblat kerana ia bakal menyebabkan kita menghadap ke arah membelakangi Kiblat dan menyelisihi pengamalan majoriti umat Islam. Meskipun barangkali akan tetap menghadap ke arah Kiblat kerana faktor Bumi berbentuk sfera; namun yang diwajibkan ketika menghadap Kiblat adalah al-tawajjuh iaitu menghadap ke arah hadapan yang paling langsung dan dekat, manakala jika bertentangan dengan Kiblat dipanggil sebagai menghadap ke arah al-istidbar dan ini dilarang di dalam solat.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ الهُدَى والتُّقَى والعَفَافَ وَالغِنَى

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dari-Mu; petunjuk, ketakwaan, sifat menjaga diri daripada sebarang kehinaan, dan sifat tidak memerlukan selain-Mu.”

Wallahu a‘lam.