#7005: Imam al-Syafi‘i Dalam Perut Ibu Selama 4 Tahun?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ingin bertanya, benarkah kisah yang mengatakan Imam al-Syafi‘i berada dalam kandungan ibunya selama 4 tahun?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Imam Muhammad bin Idris al-Syafi‘i merupakan salah seorang Imam yang Agung sepanjang sejarah Tamadun Islam bahkan beliau merupakan seorang Mujaddid pada kurun beliau. Mazhab beliau merupakan mazhab yang dibina berpandukan manhaj Ahli Hadith yang sejati, tulus mengikuti Sunnah Rasulullah SAW dalam setiap urusan. Imam al-Syafi‘i digelar Nasir al-Sunnah yang bermaksud “Pembela Sunnah.”

Bagi menjawab persoalan di atas, suka untuk kami mulakan dengan membawakan kalam Ilahi sebagai pedoman dan tuntunan kita bersama. Allah SWT berfirman dalam al-Quran al-Karim:

وَوَصَّیۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ بِوَ ٰ⁠لِدَیۡهِ إِحۡسَـٰنًاۖ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ كُرۡهࣰا وَوَضَعَتۡهُ كُرۡهࣰاۖ وَحَمۡلُهُۥ وَفِصَـٰلُهُۥ ثَلَـٰثُونَ شَهۡرًاۚ

Maksudnya: “Dan Kami telah mewasiatkan kepada manusia untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya secara sukar dan melahirkannya dengan penuh kesukaran juga. Tempoh hamil dan detik berpisah susunya adalah hampir tiga puluh bulan.”

(Surah al-Ahqaf: 15)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Firman Allah SWT: ‘Tiga puluh bulan,’ maksudnya adalah tempoh minimum bagi kehamilan adalah sebanyak enam bulan, manakala tempoh maksimum bagi menyusu adalah dua puluh empat bulan.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 7/257).

Tempoh kehamilan yang paling maksimum di sisi muktamad mazhab al-Syafi‘i adalah sebanyak 4 tahun. Imam Yahya bin Abu al-Khair al-‘Imrani berkata dalam al-Bayan: “Mazhab kita (al-Syafi‘i): tempoh kehamilan paling maksimum adalah 4 tahun. Manakala, Ibn Syihab al-Zuhri, Rabi‘ah al-Ra’yi, al-Laith bin Sa‘d berpendapat 7 tahun. Mazhab al-Auza‘i, al-Thauri, Abu Hanifah dan ‘Uthman al-Batti mengatakan 2 tahun, dan ia juga merupakan pendapat Aisyah. Daripada Malik pula ada 3 riwayat; salah satunya sama seperti mazhab kita (4 tahun), pendapat kedua adalah seperti pendapat al-Zuhri dan itulah pendapat yang sahih daripada beliau (Malik), pendapat ketiga pula adalah sama seperti mazhab Abu Hanifah. Manakala pendapat keempat pula adalah apa yang dipegang oleh Abu ‘Ubaid bahawa tiada tempoh had maksimum bagi kehamilan. Dalil bagi mazhab kita adalah bahawa setiap perkara yang disebut/ditetapkan oleh syarak secara mutlak dan tidak diletakkan had/takrifnya dari sudut bahasa mahupun syarak, maka rujukan untuk menetapkan hadnya adalah kepada keadaan yang wujud, dan kewujudan itu telah terbukti/sabit sebagaimana yang kami katakan.” (Lihat al-Bayan Syarh al-Muhazzab, 11/12)

Imam Syihabuddin al-Ramli al-Kabir juga menegaskan perkara ini (berkenaan berapakah tempoh hamil paling maksimum): iaitu empat tahun; berdasarkan kajian yang menyeluruh. Imam Malik bin Anas pernah berkata: Jiran kami, isteri Muhammad bin ‘Ajlan merupakan seorang wanita yang jujur, suaminya juga lelaki yang jujur. Isterinya mengandung kandungan itu buat ketiga-tiga anak mereka selama 12 tahun; seorang anak memakan masa 4 tahun. (Lihat Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Raslan, hlm. 235)

Berhubung soalan di atas, kami tidak menemui sebarang riwayat yang sahih daripada mana-mana karya biografi Imam Muhammad bin Idris al-Syafi‘i yang muktabar seperti kitab-kitab Manaqib al-Imam al-Syafi‘i yang ditulis oleh imam-imam semisal Imam Abu Hatim al-Razi, Imam Abu Bakr al-Baihaqi, Imam al-Fakhr al-Razi mengatakan bahawa beliau dikandungkan ibunya selama 2 tahun atau melebihi 9 bulan 10 hari. Setakat ini, kami tidak menemui asalnya melainkan hanya cerita-cerita yang berlegar dalam kalangan masyarakat sahaja.

Namun, kejadian ibu mengandungkan anak melebihi 9 bulan bahkan mencapai 2 tahun dikatakan pernah berlaku sebagaimana disebutkan di dalam kitab-kitab para Fuqaha’. Wallahu a‘lam

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang pembersih, dan jadikan kami dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Wallahu a‘lam.