#7007: Hadith Bercakap-cakap di dalam Masjid Memakan Pahalanya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah benar terdapat hadith yang mengatakan, “Sesiapa yang bercakap di dalam masjid, maka ia akan memakan pahalanya seperti mana api memakan kayu bakar”? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, tidak dapat dinafikan dikatakan terdapat hadith yang menyatakan bahawa:

الْكَلَامُ فِي الْمَسْجِدِ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ

Maksudnya: “Berbual-bual di dalam masjid akan memakan kebaikan-kebaikannya (pahala) seperti mana api memakan kayu bakar.

Hasan Abu al-Asybal al-Zuhairi pernah ditanya berkenaan status hadis di atas, lalu beliau menjawab dengan menyebutkan,  hadith ini adalah dha‘if. Ini kerana percakapan yang diharuskan di luar masjid adalah diharuskan/dibolehkan juga di dalam masjid. Perbualan/percakapan yang harus tidak akan memakan kebaikan (pahala). Sebaliknya, perbualan/percakapan yang buruk lagi dilarang yang akan memakan kebaikan (pahala), tidak kira ia diucapkan di dalam masjid mahupun di luar masjid. (Lihat Syarh Sahih Muslim oleh Hasan Abu al-Asybal, 25/25).

Syeikh ‘Atiyyah Saqr juga pernah menjelaskan berkenaan status hadith di atas dalam fatwanya. Beliau menyebutkan, terdapat dalam kitab Ghiza’ al-Albab oleh al-Saffarini, katanya: “Adapun hadith yang masyhur berlegar-legar dalam kalangan orang ramai bahawa (dikatakan) Nabi SAW bersabda: ‘Bercakap-cakap di dalam masjid – sebahagian mereka ada yang menambah, perkara yang harus – ia akan memakan kebaikan (pahala) seperti api memakan kayu bakar,’ maka itu adalah suatu pendustaan yang tiada asalnya.”

Dalam kitab al-Mukhtasar dinyatakan bahawa ia tidak dijumpai. Al-Qadhi juga menyebutnya dalam kitab al-Maudhu‘at (hadith-hadith palsu), sebagaimana disebutkan juga oleh al-‘Iraqi terhadap (hadith dalam) al-Ihya’ bahawa hadith itu tiada asalnya. Namun, Ibn Hibban dalam sahihnya meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Akan datang pada akhir zaman suatu kaum yang berbicara di dalam masjid-masjid mereka, Allah tidak mempunyai keperluan terhadap mereka.” Hadith tersebut secara zahirnya menunjukkan bahawa bercakap di dalam masjid, tidak kira jenisnya, adalah dilarang. Akan tetapi, para ulama dalam kalangan ahli tahqiq mengatakan bahawa dibenarkan berbicara tentang perkara-perkara penting dalam agama dan dunia, selagi mana tidak mengandungi unsur haram atau batil.

Imam al-Nawawi juga berpendapat bahawa perbualan biasa yang disertai dengan sedikit ketawa adalah dibenarkan, berdasarkan riwayat Muslim yang menyebut bahawa Rasulullah SAW tidak bangun dari tempat solatnya selepas solat subuh sehingga terbit matahari. Apabila matahari terbit, Baginda bangun, dan mereka (para sahabat) berbicara dan mengingati perkara zaman jahiliyyah, lalu mereka ketawa, dan Baginda tersenyum.

Dalam riwayat Ahmad daripada Jabir R.A: “Aku menyaksikan Nabi SAW lebih dari seratus kali di masjid bersama sahabat-sahabatnya berbincang mengenai syair dan perkara-perkara dari zaman jahiliyyah. Kadang-kadang Baginda tersenyum bersama mereka.” Hadith ini adalah sahih, sebagaimana disebutkan dalam Nail al-Autar oleh al-Syaukani, jilid 2, halaman 166.

Maka, perbualan yang dilarang adalah perbualan yang batil dan mengganggu jemaah yang solat, atau yang mengurangkan kehormatan masjid jika dibincangkan secara berkumpulan seperti dalam bentuk bulatan, sebagaimana yang dinyatakan.

Nabi SAW juga membenarkan Hassan bin Thabit untuk menyampaikan syair di dalam masjid bagi membalas kebohongan yang diucapkan oleh kaum kafir terhadap Allah dan Rasul-Nya, sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahihain.

Seterusnya, Syeikh ‘Atiyyah Saqr menyimpulkan bahawa perbualan yang harus tidaklah diharamkan di dalam masjid. Kemudian, beliau menasihatkan agar ia dilakukan sesedikit mungkin dan hendaklah para jemaah yang berada di masjid menyibukkan diri dengan zikir kepada Allah dan ibadah, kerana itulah tujuan masjid dibina. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 9/169).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat dan tegaskan bahawa hadith yang dikatakan bahawa, “Sesiapa yang bercakap-cakap di dalam masjid, maka ia akan memakan pahalanya seperti mana api memakan kayu bakar,” adalah dha‘if dan tiada asalnya. Bahkan ada yang mengatakan ia adalah palsu. Ini kerana terdapat hadith sahih yang jelas menunjukkan bahawa perbualan biasa berkenaan perkara-perkara yang diharuskan meskipun ia berkait dengan urusan dunia, disertai dengan sedikit ketawa, selagi ia tidak mengganggu orang yang sedang solat, adalah dibenarkan dan dibolehkan.

Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Samurah R.A bahawa:

أن النبي صلى الله عليه وسلم كَانَ لَا يَقُومُ مِنْ مُصَلَّاهُ الَّذِي يُصَلِّي فِيهِ الصُّبْحَ أَوْ الْغَدَاةَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ قَامَ ، وَكَانُوا يَتَحَدَّثُونَ فَيَأْخُذُونَ فِي أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ فَيَضْحَكُونَ وَيَتَبَسَّمُ

Maksudnya: “Nabi SAW biasa tidak bangun dari tempat solatnya (yakni Baginda terus duduk) selepas solat Subuh atau Fajar sehingga matahari terbit. Apabila matahari terbit, Baginda akan bangun. Mereka (para sahabat) berbual-bual tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan zaman Jahiliyyah, dan mereka ketawa (tentang perkara-perkara tersebut) sementara (Nabi SAW) hanya tersenyum.

Riwayat Muslim (670)

Imam al-Nawawi menjelaskan, dibolehkan untuk bercakap-cakap tentang perkara-perkara yang dibenarkan/diharuskan di dalam masjid, termasuk perkara-perkara keduniaan dan perkara-perkara lain yang dibenarkan, meskipun terhasil daripada percakapan itu ketawa dan seumpamanya, selagi ia dibenarkan; berdasarkan hadith Jabir bin Samurah (di atas). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/177).

Sebaliknya, perbualan yang dilarang adalah perbualan yang mengandungi kebatilan, penipuan, dan seumpamanya. Apatah lagi, jika ia mengganggu jemaah yang sedang  beribadah di dalam masjid. Perbualan yang mengandungi unsur buruk dan kebatilan, tidak kira ia diucapkan di dalam masjid mahupun diluar masjid, ia tetap haram dan tidak dibenarkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”