#7009: Pertandingan Lumba Siput Sedut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru tular dalam tik-tok seseorang yang mengadakan pertandingan lumba siput babi sebagai suatu hiburan bagi menghiburkan para penonton “live”nya. Soalan saya, apakah hukum pertandingan tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menerangkan terlebih dahulu secara ringkas siput sedut ini. Siput sedut atau juga dikenali sebagai belitung, siput mata merah merupakan sejenis kerang-kerangan siput air tawar yang boleh dimakan dan banyak dijual di pasar, terutama pasar tani. Nama saintifiknya adalah Cerithidea obtusa dalam famili Potamididae.

Siput sedut ini berpotensi untuk ditemui di kawasan pantai barat semenanjung Malaysia. Contoh kawasan yang mudah ditemui ialah di kawasan pantai Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sungai Besar dan beberapa negeri di Perak (kawasan pantai). Contoh terbaik mudah didapati di Pantai Bagan Nakhoda Omar, Pantai Teluk Rhu, Pantai Sg Lang, Pantai Kg. Banting. Pokok bakau minyak, kurap dan api-api memainkan peranan penting untuk habitat siput sedut ini. Makhluk air payau ini memerlukan sumber alam untuk hidup. Air yang mengalir dari bumi melalui saluran sungai ke paya bakau bersama air masin laut dari pasang surut ke pantai paya bakau sangat diperlukan siput sedut.[1]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa pertandingan lumba siput sedut adalah diharuskan selagi mana ia tidak mengandungi perkara-perkara yang menyalahi syarak seperti pertaruhan, perjudian dan sebagainya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Namun ada yang berpendapat hukumnya adalah makruh. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari bahawa memelihara burung merpati bagi mendapatkan telurnya atau anaknya atau menjinakkannya atau sebagai pembawa surat adalah diharuskan. Manakala memeliharanya bagi tujuan bermain-main dengannya dengan menerbang-nerbangkannya atau tujuan dipertandingkan adalah makruh. (Lihat Asna al-Matalib, 4/344).

Selain itu, keharusan pertandingan lumba haiwan ini juga adalah sebagaimana keumuman hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Nafi‘ daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَابَقَ بَيْنَ الخَيْلِ الَّتِي أُضْمِرَتْ مِنَ الحَفْيَاءِ، وَأَمَدُهَا ثَنِيَّةُ الوَدَاعِ، وَسَابَقَ بَيْنَ الخَيْلِ الَّتِي لَمْ تُضْمَرْ مِنَ الثَّنِيَّةِ إِلَى مَسْجِدِ بَنِي زُرَيْقٍ. وَأَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ فِيمَنْ سَابَقَ بِهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengadakan pertandingan antara kuda terlatih bermula dari al-Hafya’ hingga Thaniyyat al-Wada‘. Baginda SAW juga mengadakan pertandingan di antara kuda tidak terlatih yang bermula dari Thaniyyat al-Wada‘ hingga ke Masjid Bani Zuraiq, dan Abdullah bin Umar R.Anhuma juga ikut serta dalam perlumbaan itu.

Riwayat al-Bukhari (420) dan Muslim (1870)

Ibn al-Mulaqqin mensyarahkan hadith ini dengan menyatakan, perlumbaan antara kuda adalah dibolehkan, dan ini merupakan ijma‘ (kesepakatan ulama). Ia dianggap sebagai sunnah menurut pandangan kami. Namun, ada yang berpendapat, ia adalah diharuskan (hanya dibolehkan). Termasuk juga dalam hal ini adalah amalan melatih kuda, yang juga merupakan ijma‘. Amalan ini telah dilakukan oleh kaum jahiliyyah, dan Islam mengakuinya.

Namun, hadith ini tidak menunjukkan adanya ganjaran dalam perlumbaan tersebut, atau membenarkan/membolehkan perlumbaan selain daripada perlumbaan kuda, atau syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh para fuqaha’ dalam akad perlumbaan. Kemudian, beliau menyatakan juga, pandangan yang mengatakan keharusan hanya pada perlumbaan kuda sahaja adalah berpandukan kepada kebiasaan orang Arab. Sebaliknya, pandangan yang membolehkan perlumbaan dalam apa jua perkara, seperti yang dinukilkan daripada ‘Ata’, merujuk kepada perlumbaan yang dilakukan tanpa pertaruhan. (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 5/427-428).

Bahkan dikatakan Nabi SAW mempunyai seekor kuda yang dipanggil sebagai Sabhah (سَبْحَةُ). Kuda ini pernah dibawa menyertai pertandingan, lalu ia keluar sebagai pemenang yang membuat Nabi SAW gembira. Dinamakan sebagai Sabhah berdasarkan kepada perkataan mereka: “Kuda yang berenang,” jika ia dapat menghulurkan (melangkah) kedua kaki depannya dengan baik dalam larian. Maka, kuda yang berenang itu bermaksud pada lariannya. (Lihat Imta‘ al-Asma‘, 7/198).

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa beliau ditanya:

أَكُنْتُمْ تُرَاهِنُونَ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -؟ قَالَ: نَعَمْ لَقَدْ رَاهَنَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – عَلَى فَرَسٍ يُقَالُ لَهَا: سَبْحَةُ جَاءَتْ سَابِقَةً، فَبَهَشَ لِذَلِكَ، وَأَعْجَبَهُ

Maksudnya:Adakah kamu (para Sahabat) bertaruh di zaman Rasulullah SAW? Adakah Rasulullah SAW bertaruh? Beliau menjawab: “Ya, Baginda bertaruh (menjanjikan ganjaran) dengan berlumba kuda Baginda yang dipanggil sebagai Sabhah lalu Baginda berjaya mendahului peserta lain. Maka Baginda sangat gembira dan kagum akannya.

Riwayat Ahmad (12627) al-Darimi (2430), al-Tabarani di dalam al-Mu‘jam al-Ausat (8850) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19774). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (12627) menilai sanadnya sebagai hasan.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa perlumbaan siput sedut adalah diharuskan selagi mana ia tidak mengandungi apa-apa perkara yang bersalahan dengan syarak seperti adanya pertaruhan, perjudian, penyeksaan kepada haiwan atau seumpamanya. Ini kerana amalan mempertandingkan atau berlumba haiwan seperti kuda turut dilakukan oleh Rasulullah SAW dan juga para sahabat seperti yang kami sudah jelaskan di atas.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota hujung:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Siput_belitung. Diakses pada 27 Ogos 2024.