#7012: Isteri Tidak Mentaati Suami yang Tidak Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Pertanyaan saya perlukah kita menghormati suami yang tidak pernah mengerjakan solat 5 waktu.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mematuhi suami juga merupakan suatu kewajiban ke atas isteri menurut Islam. Bahkan ia merupakan suatu bentuk ibadah, yang mana pelakunya akan memperoleh ganjaran, dan orang yang meninggalkan kewajiban ini akan memperoleh kemurkaan. Hukum wajib ini berdasarkan hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرَتْ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

Maksudnya: “Seandainya aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang wanita untuk sujud kepada suaminya.”

Riwayat al-Tirmizi (1159)

Ibn ‘Allan al-Makki ketika mengulas hadith di atas menyebutkan bahawa, perintah untuk sujud itu sebagai bentuk penghormatan dan menunaikan hak suami tersebut – yakni bukanlah sujud itu kerana menyembah suami -. (Lihat Dalil al-Falihin, 3/113)

Dan antara dalil yang membuktikan bahawa taat kepada suami merupakan suatu ibadah, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: اُدْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتُ

Maksudnya: “Apabila seorang wanita itu melakukan solat fardhu 5 waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya (dari melakukan zina atau lainnya), mentaati suaminya, maka akan dikatakan padanya (di hari kiamat): ‘Masuklah ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang kamu kehendaki’.”

Riwayat al-Tabarani (4715) dan Ibn Hibban (4163)

Dalam sebuah hadith lain, yang menceritakan dahsyatnya dosa tidak mentaati suami sehingga menyebabkan sembahyangnya tidak diterima oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اثْنَانِ لَا تُجَاوِزُ صَلَاتُهُمَا رُؤُوسَهُمَا؛ عَبْدٌ أَبَقَ مِنْ مَوَالِيهِ حَتَّى يَرْجِعَ، وَامْرَأَةٌ عَصَتْ زَوْجَهَا حَتَّى تَرْجِعَ

Maksudnya: “Ada 2 orang yang sembahyangnya itu tidak diangkat melebihi kepalanya walaupun hanya sejengkal (tidak diterima); seorang hamba yang melarikan diri sehingga dia kembali (kepada tuannya), seorang perempuan yang mengingkari suaminya sehinggalah dia kembali (taat kepada suaminya).”

Riwayat al-Tabarani (3628) dan al-Hakim (7330)

Al-Munawi mengatakan, mengingkari yang dimaksudkan adalah berbuat nusyuz atau selainnya, pada perkara yang asalnya wajib ditaati, nescaya solatnya tidak akan diangkat sepertimana yang disebutkan di dalam hadith. (Lihat Faidh al-Qadir, 1/150)

Sekiranya si isteri menyakiti suaminya, sama ada dengan kata-kata atau secara fizikal, maka ia pastinya jauh lebih teruk berbanding tidak mentaati suami. Mereka yang melakukan hal yang demikian akan menerima sumpahan daripada bidadari-bidadari Syurga sebagai isyarat bahawa perbuatan tersebut merupakan perbuatan yang tercela. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Mu‘az bin Jabal R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُؤْذِي امْرَأَةٌ زَوْجَهَا فِي الدُّنْيَا إِلَّا قَالَتْ زَوْجَتُهُ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ: لَا تُؤْذِيهِ قَاتَلَكِ اللهُ؛ فَإِنَّمَا هُوَ عِنْدَكِ دَخِيلٌ يُوشِكُ أَنْ يُفَارِقَكِ إِلَيْنَا

Maksudnya: “Tidaklah seorang isteri itu menyakiti suaminya di dunia, melainkan isterinya dari kalangan bidadari Syurga berkata: ‘Janganlah kamu sakitinya, Allah akan melaknat kamu. Suamimu hanya tetamu kamu, tidak lama lagi dia akan meninggalkan kamu dan datang kepada kami.”

Riwayat Ahmad (22101), al-Tirmizi (1174), Ibn Majah (2014) dan al-Tabarani (224)

Al-Mubarakfuri menyebutkan, yang dimaksudkan dengan (قَاتَلَكِ اللهُ) adalah semoga Allah mematikanmu, atau melaknatmu, atau memusuhimu. Bidadari Syurga mengatakan kepada perempuan yang menyakiti suaminya itu: “Engkau bukanlah isterinya secara hakikat pun, bahkan dia akan berpisah denganmu dan bersama dengan kami (bidadari).” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/284)

Akan tetapi, tidaklah yang dimaksudkan dengan hadith ini bahawa si isteri itu perlu sentiasa tunduk walaupun hak-hak ke atasnya diabaikan dan dia dizalimi. Ibn ‘Allan berkata, syaratnya adalah tidak terdapat sebarang keharusan syara‘ ketika perempuan itu menyakiti suaminya. Sekiranya dia meminta hak-haknya seperti nafkah sehingga mungkin membuatkan suaminya tersakiti dengan perkataannya, maka si isteri itu tidaklah termasuk dalam mereka yang dimaksudkan dalam hadith ini. (Lihat Dalil al-Falihin, 3/114)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan meskipun si suami tidak solat, tanggungjawab anda sebagai isteri perlu dijaga dan tetap perlu untuk menghormatinya kerana dia tetap suami anda. Oleh itu, apa yang boleh anda lakukan adalah dengan sentiasa menasihatinya dengan baik untuk solat. Bahkan, jika ibubapanya juga sudah tahu anaknya tidak solat, maka boleh untuk anda bersama-sama ahli keluarganya untuk membantu dan menasihatinya agar tidak tinggal solat.

Manakala, sekiranya si suami menyuruh anda suatu perkara yang bertentangan dengan syarak seperti tidak benarkan anda solat dan seumpamanya, maka boleh untuk anda tidak mematuhi arahannya kerana dalam mematuhi suatu perkara itu tidak boleh bertentangan dengan suruhan Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

لََا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِِي مَعْصِيَةِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam hal kemaksiatan kepada Allah SWT.”

Riwayat al-Bukhari (7257), Muslim (1740), Abu Dawud (2625), al-Nasa’ie (4205) dan Ahmad (1095)

Semoga kita semua beroleh manfaat dari perbincangan ringkas ini. Kami sudahi dengan doa:

اللَّهُمَّ أكْثِرْ أَمْوَالَنَا، وَأَوْلَادَنَا، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أعْطَيْتَنَا، وَأطِلْ حَيَاتَنَا عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ أَعْمَالَنَا، وَاغْفِرْ لَنَا

Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anak kami serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan pada kami. Panjangkanlah umur kami dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amal kami serta ampunilah dosa-dosa kami.

Wallahu a‘lam