#7031: Kemuliaan Anas bin al-Nadr Apabila Bersumpah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Anas bin al-Nadr apabila bersumpah, maka Allah akan memperkenankan hasratnya ketika itu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami pernah mengeluarkan sebuah artikel penulisan berkenaan Anas Ibn al-Nadr R.A ini dengan tajuk: “Manaqib Anas ibn al-Nadhar R.A.” Beliau ialah Anas bin al-Nadhr bin Dhamdham bin Zaid bin Haram bin Jundub bin ‘Amir bin Ghanm bin ‘Adi bin al-Najjar. Beliau ialah bapa saudara kepada Anas bin Malik. Beliau juga salah seorang yang menyertai peperangan Uhud dan syahid dalam peperangan tersebut. Tambahan lagi, beliau termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman, yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Sa‘d bin Muaz dan Anas bin Malik R.Anhum. (Lihat Ma‘rifah al-Sahabah, 1/230)

Kisah berkenaan sumpahnya itu telah disaksikan dalam beberapa hadith yang thabit. Antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَسَرَتِ الرُّبَيِّعُ – وَهْيَ عَمَّةُ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ – ثَنِيَّةَ جَارِيَةٍ مِنَ الأَنْصَارِ، فَطَلَبَ القَوْمُ القِصَاصَ، فَأَتَوُا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالقِصَاصِ، فَقَالَ أَنَسُ بْنُ النَّضْرِ عَمُّ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ: لاَ وَاللَّهِ، لاَ تُكْسَرُ سِنُّهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَنَسُ، كِتَابُ اللَّهِ القِصَاصُ. فَرَضِيَ القَوْمُ وَقَبِلُوا الأَرْشَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ مَنْ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ

Maksudnya: “Al-Rubayyi‘ – iaitu ibu saudara Anas bin Malik – pernah mematahkan gigi seorang budak perempuan daripada kalangan Ansar. Maka kaumnya pun menuntut (agar dilaksanakan) qisas. Lalu mereka datang kepada Nabi SAW. Maka Baginda memerintahkan dilaksanakan qisas. Lantas Anas bin al-Nadhr bapa saudara Anas bin Malik berkata: ‘Jangan, demi Allah! Jangan dipatahkan giginya wahai Rasulullah.’ Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Wahai Anas, ketetapan Allah adalah qisas.’ Lalu kaum keluarga reda (tidak diqisaskan) dan menerima diyat. Rasulullah SAW pun bersabda: ‘Sesungguhnya daripada hamba-hamba Allah ada yang apabila dia bersumpah di atas nama Allah nescaya akan memaqbulkannya’.”

Riwayat al-Bukhari (4611) dan Muslim (1675)

Imam al-Nawawi menjelaskan, bukanlah sumpah yang dilafazkan oleh Anas Ibn al-Nadr ketika itu dengan tujuan menentang hukum yang diputuskan oleh Rasulullah SAW. Sebaliknya, beliau hanya menyatakan keinginan untuk memohon kepada pihak yang berhak menuntut qisas tersebut agar mereka memaafkan al-Rubayyi‘, dan ia juga menyatakan keinginannya kepada Nabi SAW agar Baginda menjadi perantara dalam memohon kemaafan tersebut daripada kaum Ansar.

Adapun sumpah tersebut, ia dilafazkan atas dasar keyakinan Anas bin al-Nadr R.A kepada mereka bahawa mereka tidak akan membuatnya melanggar sumpah, atau yakin kepada rahmat serta kebaikan Allah SWT bahawa Dia tidak akan menyebabkan sumpah tersebut dilanggar, bahkan akan mengilhamkan kaum Ansar untuk memberikan kemaafan. Manakala sabda Rasulullah SAW yang berbunyi: “Sesungguhnya daripada hamba-hamba Allah ada yang apabila dia bersumpah di atas nama Allah nescaya akan memaqbulkannya,” ini bermaksud Allah SWT tidak akan membiarkan sumpah beliau dilanggar disebabkan kemuliaan-Nya ke atas Anas bin al-Nadr R.A. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/163)

Anas bin al-Nadr R.A juga merupakan salah seorang sahabat yang direkodkan syahid semasa peperangan Uhud. Semasa peperangan ini berlaku, Anas Di dalam riwayat yang lain daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

غَابَ عَمِّي أَنَسُ بْنُ النَّضْرِ عَنْ قِتَالِ بَدْرٍ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ غِبْتُ عَنْ أَوَّلِ قِتَالٍ قَاتَلْتَ الْمُشْرِكِينَ، لَئِنِ اللَّهُ أَشْهَدَنِي قِتَالَ الْمُشْرِكِينَ لَيَرَيَنَّ اللَّهُ مَا أَصْنَعُ، فَلَمَّا كَانَ يَوْمُ أُحُدٍ، وَانْكَشَفَ الْمُسْلِمُونَ، قَالَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعْتَذِرُ إِلَيْكَ مِمَّا صَنَعَ هَؤُلاَءِ – يَعْنِي أَصْحَابَهُ – وَأَبْرَأُ إِلَيْكَ مِمَّا صَنَعَ هَؤُلاَءِ، – يَعْنِي المُشْرِكِينَ – ثُمَّ تَقَدَّمَ، فَاسْتَقْبَلَهُ سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ، فَقَالَ: يَا سَعْدُ بْنَ مُعَاذٍ، الجَنَّةَ وَرَبِّ النَّضْرِ إِنِّي أَجِدُ رِيحَهَا مِنْ دُونِ أُحُدٍ، قَالَ سَعْدٌ: فَمَا اسْتَطَعْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا صَنَعَ، قَالَ أَنَسٌ: فَوَجَدْنَا بِهِ بِضْعًا وَثَمَانِينَ ضَرْبَةً بِالسَّيْفِ أَوْ طَعْنَةً بِرُمْحٍ، أَوْ رَمْيَةً بِسَهْمٍ وَوَجَدْنَاهُ قَدْ قُتِلَ وَقَدْ مَثَّلَ  بِهِ الْمُشْرِكُونَ، فَمَا عَرَفَهُ أَحَدٌ إِلَّا أُخْتُهُ بِبَنَانِهِ قَالَ أَنَسٌ: كُنَّا نُرَى أَوْ نَظُنُّ أَنَّ هَذِهِ الآيَةَ نَزَلَتْ فِيهِ وَفِي أَشْبَاهِهِ: {مِنَ المُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ} [الأحزاب: 23] إِلَى آخِرِ الآيَةِ

Maksudnya: “Bapa saudaraku (Anas bin al-Nadhr) tidak mengikuti perang Badar. Maka beliau (Anas bin al-Nadhr) berkata: ‘Wahai Rasulullah! Aku tidak sempat mengikutimu pada peperangan pertama menghadapi kaum Musyrikin. Seandainya Allah memberi kesempatan untuk aku menyertai peperangan melawan kaum Musyrikin nescaya pasti Allah akan melihat apa yang akan aku lakukan.’ Ketika perang Uhud, kaum muslimin bertempiaran. Beliau (Anas bin al-Nadhr) berkata: ‘Ya Allah, aku memohon ampun atas apa yang yang dilakukan oleh mereka itu – yakni para sahabatnya – dan aku berlepas diri kepada-Mu daripada apa yang dilakukan oleh mereka itu – yakni kaum Musyrikin – .’ Kemudian dia maju. Setelah itu, Sa’ad bin Mu‘az bertemu dengannya, lalu (Anas bin al-Nadhr) berkata: ‘Wahai Sa‘ad! Aku inginkan syurga, demi Allah, aku benar-benar dapat mencium baunya dari arah bukit Uhud.’ Sa‘ad berkata: ‘Aku tidak mampu, wahai Rasulullah, untuk melakukan seperti yang beliau lakukan.’ Anas bin Malik (perawi) berkata: ‘Kami dapati pada dirinya ada lebih daripada 80 tetakan pedang, tusukan lembing, atau panahan anak panah. Kami dapati beliau telah disyahidkan dan dipotong-potong oleh kaum Musyrikin. Tidak ada seorang pun yang mengenalinya kecuali saudara perempuannya melalui jari-jemarinya.’ Anas berkata: ‘Kami menganggap – atau menyangka — bahawa ayat ini turun mengenai dirinya,  dan orang-orang lain yang sepertinya:

مِنَ المُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ

(Maksudnya:  Dalam kalangan orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah.) [Surah al-Ahzab: 23] hingga akhir ayat.”

Riwayat al-Bukhari (2805) dan Muslim (1903)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin dalam syarahnya menyebut, lafaz “aku benar-benar dapat mencium baunya dari arah bukit Uhud” merupakan ciuman bau yang hakiki, bukannya sekadar khayalan ataupun angan-angan. Ini merupakan karamah bagi Anas bin al-Nadhr R.A kerana beliau boleh mencium bau Syurga sebelum beliau syahid. (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin, 2/110)

Kesimpulan

Dua kisah yang kami bawakan di atas terkandung di dalamnya lafaz sumpah Anas bin al-Nadr R.A, dan dapat diteliti bahawa apa yang beliau nyatakan tersebut dimakbulkan oleh Allah SWT. Allah jualah yang Maha Mengetahui dan Mengabulkan segala sesuatu. Tidaklah ia melainkan karamah dan kelebihan yang dikurniakan kepada beliau selaku hamba-Nya yang soleh.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat memberikan maklumat tambahan kepada kita. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Wallahu a‘lam