#7044: Menggunakan Duit Pencen Ibu Mertua yang Tinggal Bersama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ibu mentua saya tinggal bersama saya dengan pencen sebanyak rm500 sebulan, disebabkan PKP tempohari kami hilang pendapatan kerana kami hanya berniaga dipasar malam, Isteri saya menggunakan duit tersebut untuk perbelanjaan harian termasuklah kos rawatan beliau. Soalan saya adakah kami boleh menggunakan duit tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Memegang amanah bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia merupakan beban dan tanggungjawab yang berat. Allah SWT mengarahkan agar kita bersikap jujur dan telus sepanjang memegang amanah, meskipun amanah tersebut adalah harta milik ahli keluarga terdekat sendiri.

Allah SWT berfirman:

 إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰۤ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُوا۟ بِٱلۡعَدۡلِۚ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengarahkan kalian untuk menyerahkan amanah kepada ahli yang berkelayakan menggalasnya; dan apabila kalian berhukum dalam kalangan manusia, hendaklah kalian berhukum dengan adil.”

(Surah al-Baqarah: 58)

Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Yang dimaksudkan adalah setiap pemegang amanah sama ada amanah keagamaan mahupun amanah duniawi. Dalam kalangan mufassirin ada yang mengatakan ayat ini merupakan arahan untuk orang yang berhutang agar membayar hutang, dan orang memegang serta menguruskan harta orang lain, agar menyalurkannya kepada jalan yang tepat dan baik.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Qur’an, 8/493)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan duit pencen tersebut merupakan duit mak mertua anda. Oleh itu, pada asalnya, untuk menggunakannya memerlukan izin darinya kerana itu haknya. Pada masa yang sama, kami berpandangan sebagai orang tua juga yang tinggal bersama anak dan menantu, kos-kos harian yang perlu diambil cakna adalah seperti makan minum, rawatan, ubat-ubatan dan seumpamanya. Maka, kami katakan sebaiknya perkara ini di bawa berbincang bersama bagi mempermudahkan semua pihak dan mengelakkan salah satu pihak terasa hati.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.