#7048:  Menyentuh Kawan Perempuan dengan Niat Bergurau Tanpa Syahwat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah pandangan syarak tentang menyentuh kawan perempuan dengan niat bergurau tanpa syahwat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abi Sai’d al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.”

Riwayat Muslim (338)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyarankan : “Ini adalah larangan  jika tidak ada penghalang di antara keduanya, dan di sini menunjukkan tentang haramnya menyentuh aurat orang lain di mana saja pada tubuhnya dan ini adalah perkara yang disepakati oleh para ulama. Ramai orang yang bersikap longgar dalam perkara ini dengan berkumpulnya ramai orang di dalam bilik mandi. Oleh itu, orang yang hadir di dalamnya wajib menjaga penglihatan, tangannya, dan lain-lain daripada melihat aurat orang lain, dan juga menjaga auratnya daripada dipandang oleh orang lain dan dipegang oleh tangan orang lain atau bagian tubuh lainnya. (Lihat Riyadh al-Salihin,hlm.457)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami kami menyatakan bahawa seorang lelaki tidak dibenarkan menyentuh perempuan ajnabi atau sebaliknya, iaitu yang halal dikahwini, dengan sengaja walaupun dengan niat bergurau tanpa adanya syahwat. Ini kerana hukum Syarak mengharamkan perbuatan tersebut kecuali terdapat keperluan untuk menyentuh seperti seorang doktor menyentuh pesakit perempuan bagi tujuan rawatan atau jika berlaku secara tidak sengaja.

Pengharaman menyentuh ajnabi disandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ma‘qil bin Yasar R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya: “Sekiranya dicucuk pada kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, adalah lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahram).”

Riwayat al-Tabarani (486); Riwayat al-Ruyani dalam musnadnya (1283)

Hadith di atas, jelas menunjukkan kepada pengharaman bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sekalipun zahir hadith menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya.  Mengenai perkara ini, al-Khattabi ada mengatakan:

الْخِطَاب إِذَا وَرَدَ بِلَفْظِ الذُّكُورِ كَانَ خِطَابًا لِلنِّسَاءِ إِلَّا فِي مَوَاضِعَ مَخْصُوصَةٍ

Maksudnya: “Sesuatu khitab (yakni nas) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga turut ditujukan (terpakai) kepada orang perempuan, melainkan dalam keadaan-keadaan yang tertentu.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/423).

Rasulullah SAW turut bersabda:

 إنِّي لا أُصافِحُ النِّساءَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita.”

Riwayat Ibn Majah (2341)

Larangan itu juga adalah sebagai mengambil jalan Sadd al-Zari‘ah — yakni menutup pintu atau jalan yang membawa kepada kemudaratan yang lebih besar. (Lihat Hasyiah Majmu‘ah Rasa’il fi al-Hijab wa al-Sufur, hlm. 69).

Selain itu juga, Ibn Nujaim menyebutkan bahawa: tidak dibenarkan baginya untuk menyentuh wajah perempuan dan tangannya walaupun dia merasa aman dari syahwat, Perkara tersebut dilarang  kerana adanya larangan dan tiada keperluan (yang mendesak). (Lihat al-Bahr al-Raiq, 8/219)

Justeru, Hukum Syarak menegaskan kepentingan menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ia memberikan peringatan yang jelas bahawa menyentuh individu yang bukan mahram adalah dilarang, walaupun dengan niat bergurau. Oleh itu, sebagai seorang Muslim, adalah penting untuk menghindari segala perkara yang dilarang oleh Syarak. Ini juga mencerminkan bagaimana Islam menjaga kesucian dan kehormatan individu.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu‘Alam