#7049: Menutup Muka Mayat Ketika Memandikan Mayat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah saranan sesetengah orang agar menutup muka mayat ketika memandikannya, bagi menjaga maruah dan kehormatannya kerana berkemungkinan dia juga merasa malu dan seumpamanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat itu ada ajalnya (tempoh yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka lewatkan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka awalkan (saat kematian tersebut).”

(Surah al-A‘raf: 34)

Ayat ini di atas menunjukkan bahawa bagi tiap-tiap generasi dan kurun itu tempoh masa dan waktu yang telah ditetapkan bagi ajal mereka. Apabila telah datang waktu-waktu mereka (ajal) yang telah ditentukan, mereka tidak dapat melewatkannya walaupun seketika (sesaat) atau memajukannya (lebih awal). (Lihat Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 154).

Pada asasnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya:Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20; 51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Seterusnya, di antara perkara yang perlu diperhatikan semasa menguruskan dan memandikan mayat adalah menutup auratnya dan tidak membocorkan rahsianya; ini untuk menjaga kehormatannya dan memelihara amanahnya. Terdapat riwayat daripada Ummul Mukminin Aisyah R.Anha, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ غَسَّلَ مَيِّتًا، فَأَدَّى فِيهِ الْأَمَانَةَ، وَلَمْ يُفْشِ عَلَيْهِ مَا يَكُونُ مِنْهُ عِنْدَ ذَلِكَ، خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang memandikan mayat dan menjaga amanahnya, serta tidak membocorkan apa yang terjadi kepadanya ketika itu, dia akan keluar daripada dosanya seperti pada hari ibunya melahirkannya.”

Riwayat Ahmad (24881), Abu Ya‘la dalam al-Mu‘jam (92), al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (3575) dengan sedikit perbezaan lafaz. Menurut al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (3/24), dalam sanadnya terdapat perawi bernama Jabir al-Ju‘fi dan padanya terdapat kritikan yang banyak.

Begitu juga para ulama sepakat bahawa menutup aurat mayat semasa memandikannya adalah wajib; kerana kehormatan seseorang ketika mati adalah sama seperti ketika hidup.

Al-Hafiz Ibn Abd al-Bar dalam al-Tamhid (2/160) menyebutkan, sunnah bagi orang hidup dan mati adalah haram melihat aurat mereka, dan kehormatan orang beriman ketika mati adalah seperti kehormatannya ketika hidup dalam hal itu. Tidak boleh seseorang memandikan mayat melainkan dia harus menutupnya. Jika mayat dimandikan dengan pakaiannya, hal itu adalah baik. Jika auratnya ditutup tetapi dia ditanggalkan pakaiannya, kemudian ditutup dengan kain yang menutupi kepalanya dan seluruh tubuhnya hingga ke hujung kakinya, hal itu juga adalah baik. Jika tidak, sekurang-kurangnya yang perlu ditutup adalah auratnya. Ibn Sirin berkata: “Aurat mayat ditutup seperti aurat orang hidup.” Ibrahim pula berkata: “Mereka tidak suka memandikan mayat tanpa ada penghalang antara dia dan langit, melainkan jika ada penghalang/penutup di antaranya.”

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa apa-apa penutupan selepas penutupan yang wajib iaitu bahagian aurat mayat antara pusat ke lutut adalah termasuk dalam penutupan yang digalakkan dan disunatkan, selagi mana ia tidak mengganggu proses permandiannya, kebersihannya dan kesempurnaan bersucinya. Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa menutup muka mayat ketika proses memandikannya adalah termasuk dalam perkara yang disunatkan dan bukannya wajib.

Imam ‘Abd al-Razzaq ada meriwayatkan daripada Ayyub, daripada Ibn Sirin mengenai mayat yang dimandikan, katanya:

يُوضَعُ خِرْقَةٌ عَلَى وَجْهِهِ، وَأُخْرَى عَلَى فَرْجِهِ

Maksudnya:Diletakkan kain pada wajahnya dan satu lagi pada kemaluannya.”

Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (3/401)

Begitu juga Imam al-Nawawi menukilkan daripada Ibn al-Munzir, di mana beliau menyatakan, para ulama berbeza pendapat berkenaan menutup muka wajah mayat ketika memandikannya. Ibn Sirin, Sulaiman bin Yasar dan Ayyub al-Sakhtiyani berpendapat, digalakkan untuk menutup wajah mayat dengan kain. Manakala Imam Malik, al-Thauri dan al-Syafi‘i menyatakan, ditutup kemaluannya dan tidak ada menyebutkan mengenai menutup wajahnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/167).

Begitu juga Imam Abu Bakr bin al-Munzir dalam al-Ausat (5/327) turut menyebutkan, para ulama berbeza pendapat mengenai penutupan wajah mayat ketika dimandikan. Muhammad bin Sirin, Sulaiman bin Yasar, dan Ayyub al-Sakhtiyani berpendapat bahawa kain diletakkan pada wajah mayat, manakala Malik, al-Thauri, al-Syafi‘i, dan beberapa ulama lain berpendapat bahawa kain hanya diletakkan pada kemaluan mayat, dan tidak menyebutkan untuk diletakkan kain pada wajahnya. Imam Ahmad bin Hanbal menyebutkan, bahagian yang ditutup hanya bahagian yang biasanya ditutup semasa hidupnya.

Selain itu, al-Hafiz Ibn Abd al-Bar dalam al-Tamhid (1/378) juga ada menyebutkan, sesungguhnya Ibn Sirin berkata agar kain diletakkan pada wajah sebagai penutup kerana wajah mayat mungkin berubah menjadi hitam atau seumpamanya ketika kematian, disebabkan penyakit atau darah yang berlebihan. Orang yang tidak tahu mungkin tidak menyukai penampilan itu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”