Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum seorang ibu melakukan sihir kepada anak menantunya supaya berlaku pergaduhan dalam rumahtangga mereka? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَانَ ۖ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ ۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ ۖ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ ۚ وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ ۚ وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ ۚ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنفُسَهُمْ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahwa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan lah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil yaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: “Sesungguhnya kami hanya cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir”. Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorangpun, kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang tidak memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahwa barangsiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 102)
Definisi Sihir
Kami kemukakan di sini definisi sihir dari sudut bahasa terlebih dahulu seperti berikut:
- Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, sihir dari sudut bahasa ialah perbuatan atau kejadian yang luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi atau ghaib yang melibatkan makhluk halus.
- Menurut al-Azhari, perkataan al-sihr ialah menukarkan sesuatu daripada hakikat yang sebenar kepada suatu yang lain. Atau mengkhayalkan sesuatu bukan pada hakikat yang sebenar.( Lihat Fath al-Mughith fi al-Sihri wa al-Hasad wa Mass Iblis, halm. 55)
- Ibn Manzur menyebut di dalam Lisan al-Arab bahawa yang dimaksudkan dengan sihir itu adalah satu amalan yang dengannya bertujuan mendekatkan diri kepada syaitan dengan memohon bantuan daripadanya.
Ibn Manzur turut menyebut bahawa orang yang melakukan sihir adalah seakan-akan memperlihatkan kebatilan dalam kebenaran dan menggambarkan sesuatu tidak seperti hakikat yang sebenarnya. Dengan demikian, dia telah menukar sesuatu daripada hakikat yang sebenarnya.( Lihat Lisan al-‘Arab, 4/348)
Manakala pada istilahnya pula, definisi sihir adalah seperti berikut:
- Ibnu Qudamah berkata: “Sihir ialah ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung.( Lihat al-Mughni, 9/34)
Ibn Qudamah turut berkata: Sihir adalah jampi atau mantera yang memberikan pengaruh sama ada zahir atau batin seperti membuat orang lain menjadi sakit atau membunuhnya. Ia bertujuan juga untuk memudaratkan emosi, fikiran atau akal manusia.(Lihat Fathul Haq al-Mubin fi ‘Ilaj al-Syar’ie wa al-Sihr wa al-‘Ain, hlm. 171)
- Ibnu Khaldun berkata: Sihir ialah ilmu untuk menghasilkan kesan negatif ke atas manusia dengan menggunakan anasir-anasir jahat serta kekuatan ghaib sama ada berperantaraan atau tidak bagi tujuan jahat yang tersembunyi. (Lihat Rawatan Sihir Akibat Sihir, halm. 3)
- Imam al-Qurtubi berkata: Sihir asalnya adalah tangkal atau tali yang berhelah iaitu tukang sihir melakukan sesuatu sehingga ia bertukar menjadi suatu yang bukan hakikatnya. Takrifan tersebut diumpamakan seperti seseorang yang berada di bawah cahaya matahari yang panas terik ketika berjalan akan melihat jauh di hadapannya bayangan air yang bergerak-gerak iaitu fatamorgana. (Lihat Fath al-Mughith fi al-Sihri wa al-Hasad wa Mass Iblis, halm. 57)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan perbuatan sihir merupakan perbuatan yang dilarang keras dalam islam. Ini kerana orang yang melakukan sihir tidak menghendaki melainkan keburukan kepada orang yang di sihir tersebut seperti kematian, perpisahan antara pasangan dan sebagainya. Oleh yang demikian juga, ia termasuk dalam dosa besar sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
Maksudnya: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”
Riwayat al-Bukhari (2766)
Ulama bersepakat bahawa mempelajari sihir, mengajar serta mempraktikkannya adalah haram. Ibn Qudamah berkata: “Sesungguhnya mempelajari sihir dan mengajarkannya adalah haram. Tidak ada khilaf padanya dalam kalangan ahli ilmu.” (Lihat al-Mughni, 8/151)
Menurut Syeikh Zakaria al-Ansari, perbuatan sihir adalah haram. Jika dia beriktikad bahawa perbuatan sihir adalah harus, maka jelas dia telah kufur. Jika dia sengaja belajar, mengajar dan melakukan sihir, maka perbuatannya itu adalah perbuatan yang dianggap dosa. Beliau menjelaskan lagi, setiap perkara berkaitan sihir adalah dosa kerana boleh mendatangkan fitnah dan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, 4/82)
Tambahan lagi, sebahagian para ulama menyatakan bahawa jika sihir tersebut boleh membawa mudarat sehingga membunuh orang lain, orang yang melakukan sihir boleh dikenakan hukum qisas. Perkara ini dinukilkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/236)
Justeru, perbuatan sihir bukan sahaja merupakan satu bentuk kezaliman terhadap orang lain, tetapi juga melibatkan amalan yang bertentangan dengan prinsip tauhid dan kepercayaan kepada Allah SWT. Sihir mengandungi unsur-unsur syirik, seperti memohon pertolongan daripada makhluk halus atau jin, yang bertentangan dengan ajaran tauhid dalam Islam.
Dalam hal ini, kami ingin menegaskan bahawa sebagai seorang ibu, adalah tidak wajar untuk melakukan kejahatan seperti menyihir anak menantu dengan tujuan memisahkan hubungan mereka. Sebaliknya, seorang ibu sepatutnya mendoakan dan mengharapkan kebaikan serta kesejahteraan untuk mereka. Ini adalah lebih selari dengan prinsip-prinsip Islam dan menunjukkan kasih sayang serta kebijaksanaan dalam membimbing keluarga.
Kami mengemukakan sebuah nas Ilahi sebagai peringatan:
وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَىٰ
Maksudnya: “Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja ia datang.”
(Surah Taha: 69)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”
Wallahu ‘Alam