#7053: Keutamaan Antara Hutang dan Wasiat dalam Pengurusan Harta Si Mati

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan? Dalam pengurusan harta wasiat yang mana perlu diutamakan antara melunaskan hutang si mati dan wasiat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Wasiat

Wasiat menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kehendak yang penghabisan yg disampaikan oleh orang yang hampir meninggal dunia (berkenaan harta dan lain-lain) atau juga didefinisikan sebagai pesanan terakhir.

Menurut Sayyid Sabiq, wasiat didefinisikan sebagai hadiah daripada seseorang kepada orang lain sama ada secara ‘ain, hutang, atau manfaat supaya ianya dimiliki oleh orang yang diwasiatkan sebagai hadiah selepas kematian pemberi wasiat. (Lihat al-Fiqh al-Sunnah, 3/583)

Pensyariatan ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا شَهَادَةُ بَيْنِكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ حِينَ الْوَصِيَّةِ اثْنَانِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 106)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: “Allah SWT memberitahu dengan perintah yang terkandung untuk meminta kesaksian dua orang terhadap wasiat, apabila seseorang itu menghadapi tanda-tanda kematian. Maka dia disarankan untuk menulis wasiatnya dan menyaksikannya dengan dua orang yang adil yang mana kesaksian mereka diakui.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.246)

Selain itu, ia berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ ‏

Maksudnya: “Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”

Riwayat al-Bukhari (2438) dan Muslim (1627)

Dalam Syarh Riyadh al-Salihin oleh Ibn Uthaimin (3/460) menyatakan bahawa: Tidak sepatutnya seseorang itu membiarkan dua malam berlalu melainkan dia telah menulis wasiat yang ingin dia sampaikan. Sejak Ibn Umar R.A mendengar kata-kata ini daripada Rasulullah, dia tidak pernah melalui satu malam pun melainkan dia telah menulis wasiatnya.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa antara tanggungjawab waris setelah pemergian ahli keluarga adalah menguruskan hartanya dengan baik. Antara perkara yang perlu diutamakan adalah melangsaikan hutangnya sebelum melaksanakan pembahagian wasiat dan faraid. Ini kerana dikatakan bahawa jiwa orang menanggung hutang itu akan tergantung melainkan setelah melangsaikannya. Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”

Riwayat Ibn Majah (2413), al-Tirmizi (1079), Ahmad (9677) dan al-Baihaqi (6891). Hadith ini dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (1079)

Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadis ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193)

Dalam isu ini, kewajipan melangsaikan hutang si mati daripada harta peninggalannya sebelum pembahagian wasiat adalah disandarkan kepada firman Allah SWT:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Maksudnya: (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

 (Surah al-Nisa’: 11)

Melalui ayat ini, Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa pembahagian harta hendaklah dilakukan setelah selesai urusan hutang si mati serta setelah dilaksanakan wasiat si mati. Antara pelunasan hutang dan juga pelaksanaan wasiat, pelunasan hutang mesti dahulukan ke atas wasiat. Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Ali RA, katanya:

إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الآيَةَ: {مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ} «وَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالدَّيْنِ قَبْلَ الوَصِيَّةِ

Maksudnya: “Kamu membaca ayat ini (Surah al-Nisa’ ayat 12) dan Rasulullah SAW melunaskan hutang sebelum wasiat (dilaksanakan).”

Riwayat Tirmizi (2094)

Namun begitu, Dr Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa antara sebab Allah S.W.T mendahulukan penyebutan wasiat ke atas hutang adalah kerana ia sebagai dorongan dan perintah untuk memperhatikan dan memenuhi wasiat yang ada serta larangan mengingkarinya. (Lihat Tafsir al-Munir, 4/276)

Imam al-Nawawi menyatakan : Pengurusan harta peninggalan si mati dimulakan dengan membiayai kelengkapan dan pengurusan jenazahnya, kemudian diselesaikan hutang-hutangnya kemudian dipenuhi wasiatnya (hanya satu pertiga daripadanya) kemudian baharulah diberikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak”. (Lihat Minhaj al-Talibin, 180)

Justeru, dalam Islam, pengurusan harta peninggalan si mati perlu dilakukan mengikut aturan yang telah ditetapkan oleh syariat. Hutang si mati merupakan satu kewajipan yang mesti diselesaikan sebelum sebarang pembahagian harta dilakukan, termasuk pembahagian harta wasiat dan faraid. Ini termasuk hutang kepada Allah SWT seperti zakat, nazar, atau kaffarah.

Proses ini adalah penting kerana hutang dianggap sebagai hak yang mesti ditunaikan. Jika si mati meninggalkan hutang yang belum dilangsaikan, maka kewajipan untuk melunaskan hutang tersebut jatuh ke atas waris yang bertanggungjawab.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam