#7054:  Wasiat Sebagai Saham Akhirat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, bagaimana menjadikan wasiat itu sebagai saham akhirat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Wasiat

Wasiat menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kehendak yang penghabisan yg disampaikan oleh orang yang hampir meninggal dunia (berkenaan harta dan lain-lain) atau juga didefinisikan sebagai pesanan terakhir.

Menurut Sayyid Sabiq, wasiat didefinisikan sebagai hadiah daripada seseorang kepada orang lain sama ada secara ‘ain, hutang, atau manfaat supaya ianya dimiliki oleh orang yang diwasiatkan sebagai hadiah selepas kematian pemberi wasiat. (Lihat al-Fiqh al-Sunnah, 3/583)

Pensyariatan ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا شَهَادَةُ بَيْنِكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ حِينَ الْوَصِيَّةِ اثْنَانِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 106)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: “Allah SWT memberitahu dengan perintah yang terkandung untuk meminta kesaksian dua orang terhadap wasiat, apabila seseorang itu menghadapi tanda-tanda kematian. Maka dia disarankan untuk menulis wasiatnya dan menyaksikannya dengan dua orang yang adil yang mana kesaksian mereka diakui.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.246)

Selain itu, ia berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ ‏

Maksudnya: “Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”

Riwayat al-Bukhari (2438) dan Muslim (1627)

Dalam Syarh Riyadh al-Salihin oleh Ibn Uthaimin (3/460) menyatakan bahawa: Tidak sepatutnya seseorang itu membiarkan dua malam berlalu melainkan dia telah menulis wasiat yang ingin dia sampaikan. Sejak Ibn Umar R.A mendengar kata-kata ini daripada Rasulullah, dia tidak pernah melalui satu malam pun melainkan dia telah menulis wasiatnya.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa manusia mungkin lalai dalam hidupnya terhadap amalan kebaikan dan kebajikan. Oleh itu, sebagai rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya, Dia telah mensyariatkan wasiat sebagai tambahan dalam mendekatkan diri kepada Allah dan memperoleh pahala, serta sebagai ganti bagi kekurangan yang dilakukan manusia dalam hidupnya terhadap amalan kebaikan.

Oleh yang demikian, Allah yang Maha Suci telah menjadikan bagi seorang Muslim sebahagian daripada hartanya untuk diwasiatkan sebelum kematiannya dalam amalan kebaikan yang memberi manfaat kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Ia memberikan ganjaran dan pahala kepada pewasiat, menambah amalan soleh, membalas jasa orang yang telah berbuat baik kepadanya, menyambung silaturahim dengan kaum kerabat yang bukan pewaris, dan memenuhi keperluan orang yang memerlukan. (Lihat Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami, 3/673  )

Selain itu, wasiat merupakan salah satu cara untuk menyumbang kepada kepentingan tertentu, seperti pembinaan masjid, sekolah, hospital dan seumpamanya. Ada juga di antara wasiat ini yang ditujukan kepada golongan tertentu, seperti fakir miskin, ilmuan, mahupun anak-anak yatim. Dengan ini, wasiat bolehlah dianggap sebagai suatu sistem takaful sosial dalam sistem Islam kerana faedah dan kebaikan sistem ini amat jelas. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/44)

Justeru,  syarak sangat menggalakkan umat Islam untuk berwasiat kepada perkara yang dapat memberikan manfaat dan ganjaran di akhirat yang kekal abadi, terutamanya bagi mereka yang mempunyai harta. Ini termasuklah berwasiat untuk mewakafkan harta kepada perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti pembinaan masjid, rumah anak yatim, dan perkara-perkara yang membawa pahala jariah.

Yang demikian bersesuaian dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah daripadanya amalnya kecuali dari tiga perkara; dari sedekah jariah atau ilmu yang diambil manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya.”

Riwayat Muslim (1631)

Imam al-Nawawi berkata, maksud sedekah jariah dalam hadis di atas ialah amalan wakaf. Hadith ini juga menjadi dalil sahnya amalan berwakaf serta ganjarannya yang besar. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/89)

Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadith yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, sepertimana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam