#7058: Dorongan Memenuhi Janji dan Larangan Berlaku Khianat serta Melanggar Janji

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh jelaskan berkenaan nas-nas dalam syarak yang mendorong untuk memenuhi janji dan memberi amaran terhadap pengkhianatan serta melanggar janji. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu mengenai al-‘Ahd (العهد). Dari segi bahasa al-‘Ahd mempunyai beberapa makna, di antaranya: keamanan, perjanjian, tanggungjawab, sumpah, dan segala perkara yang dijanjikan kepada Allah. Begitu juga segala perjanjian antara manusia juga disebut sebagai al-‘Ahd. Selain itu, al-‘Ahd juga bermaksud wasiat atau perintah. Ini adalah seperti apabila dikatakan: “عهد إليه” yakni “Dia membuat wasiat kepadanya” atau “Dia memerintahkannya.” Manakala “نقض العهد” (melanggar janji) pula bermaksud merosakkan atau mengabaikan janji tersebut, dan ini disebut sebagai pengkhianatan. (Lihat Taj al-‘Arus, 8/ 454-455; 13/ 203).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Islam memuji sifat menepati janji dan memuji orang-orang yang melaksanakannya, serta menyifatkan mereka dengan sifat-sifat baik seperti kejujuran dan ketakwaan. Islam juga meninggikan kedudukan mereka di dunia dan akhirat, dan mengecam pengkhianatan serta orang-orang yang melakukannya. Allah SWT berfirman:

وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 177)

Allah SWT juga berfirman:

إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ ١٩ ٱلَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ ٱللَّهِ وَلَا يَنقُضُونَ ٱلْمِيثَـٰقَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna (19). Orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu.

(Surah al-Ra‘d: 19-20)

Dan firman-Nya lagi:

وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ ٨ وَٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمْ يُحَافِظُونَ ٩ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْوَٰرِثُونَ ١٠ ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya (8); Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya (9); Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi (10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”

(Surah al-Mukminun: 8-11)

Allah juga memerintahkan hamba-hamba-Nya agar menepati janji walaupun dengan orang bukan Islam. Firman-Nya:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.

(Surah al-Isra’: 34)

Dalam ayat-ayat ini, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya agar berpegang teguh kepada janji yang telah mereka buat dengan orang lain dan agar tidak mengkhianati mahupun melanggarnya. Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (5/74)  menjelaskan: “Iaitu, perjanjian yang kamu buat dengan orang lain dan kontrak yang kamu jalankan dengan mereka. Sesungguhnya janji dan kontrak itu, masing-masing akan dipersoalkan tentangnya.”

Begitu juga Rasulullah SAW menyebutkan bahawa sifat khianat dan memutuskan janji adalah salah satu daripada ciri-ciri orang munafik yang wajib dijauhi oleh orang beriman. Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

أَرْبَعُ خِلاَلٍ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا: مَنْ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا

Maksudnya: “Empat karakter (ciri-ciri) yang barang siapa dalam dirinya terdapat empat karakter tersebut, maka dia benar-benar munafik sejati: (Iaitu) Orang yang jika berbicara maka dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, apabila berdamai (mengikat perjanjian) dia berkhianat, apabila berbalah dia melemparkan kata-kata buruk. Barang siapa yang dalam dirinya ada satu dari karakter tersebut, maka dalam dirinya terdapat salah satu sifat kemunafikan hingga dia meninggalkannya.”

Riwayat al-Bukhari (3178) dan Muslim (58)

Ibn al-Mulaqqin menjelaskan, maksudnya adalah besarnya dosa orang yang melakukannya dan kedekatannya dengan sifat munafik, bukanlah dia benar-benar seorang munafik. Oleh itu, ditakuti bagi pelakunya akan mendekati sifat itu, atau dia adalah seorang munafik dalam sifat tersebut sahaja, bukan dalam perkara lain di mana akidahnya masih sahih. (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 15/622).

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan ini, jelaslah bahawa betapa pentingnya syarak memberi penekanan agar memenuhi janji dan begitu juga betapa kerasnya amaran atau ancaman terhadap pengkhianatan dan melanggar janji.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”