#7059:  Galakan Berwasiat Dalam Agama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah syarak menggalakkan seseorang  untuk berwasiat khususnya dalam soal melibatkan kehidupan dan agama? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Wasiat

Wasiat menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kehendak yang penghabisan yang disampaikan oleh orang yang hampir meninggal dunia (berkenaan harta dan lain-lain) atau juga didefinisikan sebagai pesanan terakhir.

Menurut Sayyid Sabiq, wasiat didefinisikan sebagai hadiah daripada seseorang kepada orang lain sama ada secara ‘ain, hutang, atau manfaat supaya ianya dimiliki oleh orang yang diwasiatkan sebagai hadiah selepas kematian pemberi wasiat. (Lihat al-Fiqh al-Sunnah, 3/583)

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ ‏

Maksudnya: “Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”

Riwayat al-Bukhari (2438) dan Muslim (1627)

Dalam Syarh Riyadh al-Salihin oleh Ibn Uthaimin (3/460) menyatakan bahawa: Tidak sepatutnya seseorang itu membiarkan dua malam berlalu melainkan dia telah menulis wasiat yang ingin dia sampaikan. Sejak Ibn Umar R.A mendengar kata-kata ini daripada Rasulullah, dia tidak pernah melalui satu malam pun melainkan dia telah menulis wasiatnya.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan bahawa seseorang  yang berwasiat menunjukkan kepedulian dan tanggungjawab terhadap orang-orang yang ditinggalkannya. Wasiat bukan sahaja melibatkan harta benda tetapi juga meliputi segala aspek, sama ada yang berkaitan dengan kehidupan duniawi atau akhirat. Wasiat juga merupakan satu cara untuk menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan terhadap keluarga dan orang-orang terdekat.

Berkaitan isu ini, dinyatakan dalam Syarh al-Arb‘in al-Nawawiyyah, oleh  ‘Atiyyah Salim, (61/4) bahawa: kita kembali ke masa lalu yang jauh dan sejarah yang mulia, kepada keadaan yang dialami oleh para sahabat Rasulullah SAW. Mereka telah menyedari dengan sepenuh hati, memahami hakikat situasi, dan menyedari apa yang dihadapi oleh Rasulullah SAW, lalu mereka berkata:

كأنَّها موعِظةُ مودِّعٍ فأوصِنا

Maksudnya: “Seolah-olah ia adalah nasihat perpisahan, maka berilah kami wasiat.”

Inilah tujuan sebenar, dan inilah pemahaman serta iman yang sebenar. Mereka menyedari keadaan Rasulullah SAW yang berbeza daripada keadaan yang sebelumnya ketika bersama mereka lalu Rasulullah SAW bersabda kepada mereka:

 أوصيكُم بتقوى اللَّهِ والسَّمعِ والطّاعةِ

Maksudnya: “Saya wasiatkan  kamu semua agar bertakwa kepada Allah, dengan dan patuh (kepada para pemimpin)”

Riwayat Abu Dawud (3607) dan Tarmizi (2676)

Ia menunjukkan kepada kita kepentingan wasiat dan kedudukannya dalam Islam. Wasiat lahir dari rasa kasih sayang dan belas kasihan antara pemberi wasiat dan penerima wasiat. Ia juga menunjukkan bahawa terdapat  hubungan yang kuat  antara keduanya samada bersifat maknawi atau hissi bahkan  seluruh ajaran Islam  juga menekankan pentingnya berwasiat.

Bahkan Allah SWT telah mengkhususkan satu surah untuk menjelaskan kepentingan wasiat, berdasarkan firmannya:

وَٱلْعَصْرِ ١ إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ

Maksudnya: “Demi Masa!  Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. ”

(Surah al- ‘Asr:1-3)

Saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 24/590)

Ibn Juzai ketika menafsirkan ayat ini menyatakan: Yakni, mereka saling mewasiatkan kepada satu sama lain dengan kebenaran dan kesabaran. Kebenaran di sini merujuk kepada Islam dan segala yang terkandung di dalamnya. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/511)

Selain itu juga, Imam Syafi’i rahimahullah berkata: Sekiranya Allah tidak menurunkan hujah kepada makhluk-Nya kecuali surah ini, ia sudah memadai bagi mereka. (Lihat Tafsir al-imam al-Syafi‘i, 3/461)

Justeru, jelaslah kepada kita bahawa amalan berwasiat, sama ada kepada keluarga atau kenalan, adalah amalan yang sangat dianjurkan oleh syarak. Ini kerana ia memberikan kesan dan ingatan yang mendalam terhadap apa yang diwasiatkan, terutamanya selepas pemergian individu yang menyampaikan wasiat tersebut. Malah, wasiat yang baik boleh menjadi sumber inspirasi dan kekuatan bagi keluarga dan kenalan yang masih hidup.

Diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah Bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من ماتَ على وصيَّةٍ ماتَ على سبيلٍ وسنَّةٍ وماتَ على تقًى وشَهادةٍ وماتَ مغفورًا لَهُ

Maksudnya: ”Barang siapa yang meninggal dalam keadaan berwasiat maka dia meninggal di atas jalan yang benar dan sunnah, dia meninggal di atas ketaqwaan dan syahadah, dan dia meninggal dalam keadaan diampuni.

Riwayat Ibn Majah (2701) Ibn  ‘Adi menilai hadith ini sebagai dhaif dalam Kamil fi al-Du‘afat (5/25)

Hadith ini menunjukkan bahawa: Barangsiapa yang meninggal dunia dalam keadaan berwasiat (dalam perkara-perkara yang sepatutnya diwasiatkan), maka dia meninggal dunia di atas jalan yang lurus dan agama yang kukuh (serta mengikuti) syariat yang sah . Begitu juga, dia meninggal dunia dalam keadaan bertakwa kepada Allah Ta‘ala dengan melaksanakan perintah-Nya serta mengakui perkara-perkara agama, dan dia keluar dari dunia dalam keadaan (diampunkan) semua dosanya. (Lihat Syarh Ibn Majah, oleh al-Haruri, 15/516)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam