#7062: Maksud ‘Najd’ Pada Hadith Doa Keberkatan Kepada Syam dan Yaman, dan Najd Sebagai Tempat Timbulnya Tanduk Syaitan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan maksud ‘Najd’ pada hadith yang Nabi SAW doakan keberkatan untuk Syam dan Yaman, dan baginda menyatakan bahawa Najd tempat fitnah dan timbulnya tanduk syaitan. Hal ini kerana ada segelintir orang yang menyatakan bahawa Najd yang dimaksudkan dalam hadith adalah merupakan tempat di kawasan tengah Arab Saudi sekarang. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berdoa:

«اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَامِنَا، وَفِي يَمَنِنَا» قَالَ: قَالُوا: وَفِي نَجْدِنَا؟ قَالَ: قَالَ: «اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَامِنَا وَفِي يَمَنِنَا» قَالُوا: وَفِي نَجْدِنَا؟ قَالَ: قَالَ: «هُنَالِكَ الزَّلاَزِلُ وَالفِتَنُ، وَبِهَا يَطْلُعُ قَرْنُ الشَّيْطَانِ».

Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah buat kami negeri Syam kami dan Yaman kami.” Beliau berkata: Mereka bertanya: “Dan pada negeri Najd kami?” Beliau berkata: Baginda berdoa: “Ya Allah, berkatilah buat kami negeri Syam kami dan Yaman kami”. Mereka bertanya: “Dan pada negeri Najd kami?” Ibn Umar berkata, Baginda SAW bersabda: “Di sanalah berlakunya gegaran-gegaran (gempa bumi) dan fitnah-fitnah, dan di sana juga akan terbitnya tanduk syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (1037)

Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan bahawa tidak boleh untuk memahami hadith celaan ini kepada semua penduduk Najd, dan ia juga tidak mengandungi celaan terhadap Najd secara mutlak. Sebaliknya, celaan dan amaran terhadapnya hanya berlaku ketika terdapat fitnah dan kejahatan di sana. Tidak semestinya ini berlaku dalam setiap zaman, kerana mungkin pada suatu masa Najd menjadi sebuah tempat yang penuh ilmu, petunjuk, keutamaan, dan kebaikan.

Syeikh Abdul Rahman bin Hasan berkata: “Walau bagaimanapun, celaan hanya berlaku dalam keadaan tertentu dan pada waktu tertentu, bergantung kepada keadaan penghuninya; kerana celaan adalah terhadap keadaan, bukan tempatnya. Walaupun tempat-tempat berbeza dari segi keutamaan, ada pertukaran yang berlaku antara mereka, kerana Allah menukar keadaan di kalangan makhluk-Nya, termasuk dalam hal tempat. Tempat yang menjadi lokasi maksiat pada suatu masa mungkin menjadi tempat ketaatan pada masa lain, dan sebaliknya.” (Lihat Majmu’ah al-Rasa’il wa al-Masa’il, 4/265)

Selain itu, tidak ada dalam lafaz hadith tersebut celaan terhadap penduduk Najd atau penghuninya. Yang disebutkan hanyalah fitnah dan kejahatan yang akan berlaku dan timbul darinya, dan ini tidak bermaksud mencela semua penghuninya secara mutlak.

Dalam Sunnah Nabi juga disebutkan mengenai berlakunya fitnah di Madinah, seperti sabda baginda kepada para sahabatnya:

إِنِّي لَأَرَى مَوَاقِعَ الْفِتَنِ خِلَالَ بُيُوتِكُمْ كَمَوَاقِعِ الْقَطْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat tempat-tempat fitnah terjadi di antara rumah-rumah kamu seperti tempat-tempat jatuhnya titisan hujan.”

Riwayat al-Bukhari (1878) dan Muslim (2885)

Hadith ini tidak boleh difahami dengan celaan terhadap penduduk Madinah. Syeikh Muhammad Basyir al-Sahsawani al-Hindi dalam kitabnya: “Hadith-hadith ini dan yang lain-lainnya dalam bab ini menunjukkan bahawa fitnah akan berlaku di Madinah. Jika berlakunya fitnah di sesuatu tempat menyebabkan celaan terhadap penghuninya, maka semua penduduk Madinah perlu dicela. Ini tidak dipegang oleh sesiapa pun. Sebaliknya, Makkah dan Madinah pada suatu masa adalah tempat syirik dan kekufuran, dan tidak ada fitnah yang lebih besar daripada itu. Bahkan, setiap negara atau kampung pada suatu masa pernah atau akan menjadi tempat fitnah. Jadi, bagaimana seorang Mukmin boleh mencela semua Muslim di dunia? Sebaliknya, celaan terhadap seseorang hanya kerana dia menjadi sumber fitnah dari kekufuran, syirik, dan bidaah.” (Lihat Siyanah al-Insan ‘an Waswasa Dihlan, hlm. 500)

Maksud ‘Najd’ Pada Hadith ini

Maksud hadith tersebut adalah menyebutkan tentang fitnah dan bencana besar yang akan berlaku di kawasan Najd pada suatu tempoh dalam sejarah. Ia akan menjadi seperti gempa bumi yang melanda semua orang di sana, dan ramai penduduk di kawasan tersebut akan menjadi mangsa fitnah. Ini tidak bermakna bahawa semua penduduknya yang mencetuskan fitnah tersebut. Siapa yang memahami hadith ini dengan cara begitu, maka dia telah melakukan kesilapan dan ketidakadilan.

Syeikh Nasiruddin al-Albani berkata: “Mereka juga tidak faham bahawa menjadi penduduk suatu kawasan yang tercela tidak bermaksud bahawa orang tersebut juga tercela jika dia adalah orang yang soleh. Sebaliknya, ada ramai orang fasik dan jahat di Makkah, Madinah, dan Syam, tetapi terdapat juga para ulama dan orang-orang soleh di Iraq. Salman al-Farisi dengan bijaknya berkata kepada Abu Darda’ ketika dia mengajaknya berhijrah dari Iraq ke Syam:

إِِنَّ الْأَرْضَ لَا تُقَدِّسُ أَحَدًا , وَإِنَّمَا يُقَدِّسُ الْإِنْسَانَ عَمَلُهُ

 ‘Ketahuilah bahawa tanah suci tidak menyucikan seseorang, tetapi manusia disucikan oleh amalannya.'” (Lihat Silsilah al-Sahihah, 5/305)

Para ulama terdahulu mentafsirkan hadith ini, dan berkata bahawa fitnah yang dimaksudkan oleh Nabi SAW di Najd adalah fitnah Musailamah al-Kazzab yang mengaku sebagai nabi, serta kejahatan yang dibawanya dan apa yang berlaku selepasnya oleh para nabi palsu lainnya.

Imam Ibn Hibban sebagaimana dalam selepas meriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Umar yang berkata: “Kemudian aku melihat Rasulullah SAW menunjuk ke arah timur dan berkata: ‘Sesungguhnya fitnah itu berada di sini, fitnah itu berada di sini, dari mana munculnya tanduk syaitan.’ Abu Hatim berkata: “Timur Madinah adalah Bahrain, dan Musailamah berasal dari sana, dan kemunculannya adalah peristiwa pertama yang berlaku dalam Islam.” (Lihat Ihsan bi Tartib Sahih Ibn Hibban, 15/24)

Sebahagian ulama pula mentafsirkannya sebagai fitnah yang berlaku di Iraq, kerana ia berada di timur secara umum bagi mereka yang berada di Hijaz, dan Iraq juga adalah Najd. Mana-mana kawasan yang tinggi berbanding dengan kawasan lain dipanggil Najd, dan ada sebahagian sahabat yang memahami hadith ini sedemikian sebagaimana riwayat daripada Salim bin Abdullah bin Umar, beliau berkata: “Wahai penduduk Iraq! Betapa lemahnya kamu dalam perkara kecil dan beraninya kamu dalam perkara besar! Aku mendengar ayahku Abdullah bin Umar berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ الْفِتْنَةَ تَجِيءُ مِنْ هَا هُنَا. وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ نَحْوَ الْمَشْرِقِ مِنْ حَيْثُ يَطْلُعُ قَرْنَا الشَّيْطَانِ. وَأَنْتُمْ يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ

Maksudnya: Sesungguhnya fitnah akan datang dari sini – dan baginda menunjuk dengan tangannya ke arah timur – dari mana munculnya tanduk syaitan, dan kamu akan saling memenggal leher satu sama lain.'”

Riwayat Muslim (2905)

Maka, hadith ini merangkumi seluruh Najd: iaitu mana-mana kawasan tinggi dari tanah Hijaz di sebelah timur, yang merangkumi Najd Hijaz dan Najd Iraq.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata: “Ini adalah bahasa penduduk Madinah pada zaman tersebut, mereka menyebut penduduk Najd dan Iraq sebagai penduduk timur.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 27/41-42)

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam berkata: “Penduduk timur pada masa itu adalah orang-orang kafir, maka Nabi SAW memberitahu bahawa fitnah akan datang dari arah tersebut, dan seperti yang diberitahu, fitnah pertama datang dari arah timur, yang menjadi sebab perpecahan antara Muslim, dan itulah yang diinginkan dan disukai oleh syaitan. Begitu juga, bidaah bermula dari arah tersebut.

Al-Khattabi berkata: “Najd adalah dari arah timur, dan bagi mereka yang berada di Madinah, Najd mereka adalah padang pasir Iraq dan sekitarnya, yang merupakan timur bagi penduduk Madinah. Asal makna Najd adalah apa yang tinggi dari bumi, yang bertentangan dengan al-Ghaur, iaitu yang rendah darinya. Semua kawasan di Tihamah adalah dari al-Ghaur dan Makkah adalah dari Tihamah.”

Dan dengan ini dapat diketahui kesilapan dairpada apa yang dikatakan oleh al-Dawudi: bahawa Najd adalah dari arah Iraq, kerana dia menganggap Najd sebagai tempat tertentu, padahal tidak begitu, bahkan mana-mana tempat yang lebih tinggi berbanding dengan yang lain dipanggil Najd, dan yang lebih rendah dipanggil Ghaur.” (Lihat Fath al-Bari, 13/47)

Ulama’ besar Iraq, Mahmud Syukri al-Alusi berkata mengenai tempatnya di Iraq: “Ini bukanlah suatu perkara yang pelik, kerana tanah Iraq adalah sumber segala musibah dan bencana, dan umat Islam sentiasa mengalami kesusahan dari sana, musibah demi musibah. Penduduk Harura’ dan apa yang mereka lakukan terhadap Islam adalah sesuatu yang tidak tersembunyi. Fitnah Jahmiyyah, yang mana ramai ulama mengeluarkan mereka daripada Islam, juga muncul di Iraq. Begitu juga dengan Mu’tazilah, yang menyanggah Hasan al-Basri dan perbuatan mereka telah menjadi terkenal. Mereka muncul dan tersebar di Basrah. Kemudian Rafidhah dan Syiah, dengan sikap melampau mereka terhadap Ahlul Bait, dan kata-kata mereka yang melampau terhadap Ali dan para imam lainnya, serta celaan mereka terhadap para sahabat utama… Semua ini diketahui dan telah tersebar.” (Lihat Ghayah al-Amani, 2/148)

Syeikh Hakim Muhammad Asyraf Sindhu, mempunyai risalah yang menjelaskan perkara ini dengan tajuk: “Akmalu al-Bayan fi Syarh Hadith: Najd Qarn al-Syaitan“, yang telah dicetak. Syeikh Abdul Qadir bin Habibullah al-Sindi dalam mukadimah risalah tersebut berkata: “Tempat yang ditentukan oleh orang-orang jahil dan sesat pada hari ini [iaitu Najd yang terkenal di Arab Saudi] tidak pernah dikatakan oleh mana-mana ulama salaf atau khalaf, melainkan selepas munculnya dakwah Syeikh al-Islam Muhammad bin Abdul Wahhab, yang menghidupkan kembali ajaran agama yang murni. Melainkan mereka yang tidak memahami akidah yang sahih ini, atau sengaja tidak memahaminya, dan tidak mahu menerimanya, yang disokong oleh pihak berkuasa yang bertujuan jahat.” (Lihat Akmalu al-Bayan fi Syarh Hadith: Najd Qarn al-Syaitan, hlm. 8)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa ‘Najd’ dalam hadith yang menyebut tentang akan berlakunya fitnah dan munculnya “tanduk syaitan”,  tidak boleh difahami sebagai celaan terhadap semua penduduk Najd secara mutlak, dan juga tidak boleh difahami dengan kawasan Najd yang ada sekarang secara mutlak. Sebaliknya, celaan itu berkaitan dengan fitnah dan kejahatan yang mungkin berlaku di kawasan tersebut pada suatu masa tertentu.

Dalam hal ini, para ulama menyatakan bahawa tidak semua penduduk Najd terlibat dalam fitnah yang disebutkan dalam hadith tersebut. Maksud ‘Najd’ dalam hadith ini merujuk kepada kawasan timur dari Madinah, yang pada waktu itu termasuk Iraq dan kawasan-kawasan sekitarnya yang lebih tinggi dari tanah Hijaz. Dalam konteks hadith tersebut, ‘Najd’ bukan merujuk kepada satu tempat khusus seperti yang kita fahami hari ini seperti di kawasan tengah Arab Saudi, tetapi lebih kepada arah timur dari Madinah yang secara geografi lebih tinggi. Hadith ini menyebut bahawa di kawasan tersebut akan berlaku fitnah dan bencana besar, namun ia tidak bermaksud semua penduduk di kawasan itu terlibat dalam fitnah tersebut atau bahawa kawasan itu secara mutlak dicela. Wallahua’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”