#7070: Tafsir Ayat 196 Surah Ali Imran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan tafsiran ayat 196 daripada Surah Ali Imran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

 لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلَادِ

Maksudnya: “Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).”

(Surah Ali Imran: 196)

Ibn Kathir berkata: “Janganlah kamu memandang kebahagiaan, kenikmatan, dan kesenangan yang dinikmati oleh orang-orang kafir ini, kerana sebentar lagi semua itu akan hilang daripada mereka, dan mereka akan terikat dengan perbuatan-perbuatan jahat mereka. Sesungguhnya, Kami memanjangkan kenikmatan kepada mereka sebagai umpan, dan segala yang mereka miliki itu hanyalah kesenangan sementara. Kemudian tempat tinggal mereka ialah neraka Jahanam; dan neraka Jahanam itu adalah tempat yang seburuk-buruknya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/422)

Al-Syaukani berkata: Dengan melakukan perjalanan untuk berdagang bagi melapangkan kehidupan mereka, kerana itu merupakan sedikit kenikmatan yang mereka nikmati di dunia ini dan kemudian tempat kembali mereka adalah neraka Jahannam. Ikrimah berkata: Yang dimaksudkan adalah pergerakan mereka pada siang dan malam hari serta segala kenikmatan yang berlaku bagi mereka. (Lihat Fath al-Qadir, 2/521)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Wahai Nabi, janganlah engkau terpedaya dengan perpindahan orang-orang kafir yang berdagang dan berusaha. Keuntungan yang mereka peroleh hanyalah kenikmatan sementara di dunia, dan tempat kembali mereka adalah neraka Jahanam. Sungguh buruk tempat yang mereka tuju. Ayat ini diturunkan untuk orang-orang musyrik Mekah yang hidup dalam kesejahteraan dan kesenangan. Mereka berdagang dan bersenang-lenang. Sebahagian orang-orang mukmin berkata: “Yang kita lihat, musuh-musuh Allah itu hidup dalam kebaikan, sedangkan kita menderita kehausan dan kepayahan.” Maka turunlah ayat ini. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 324)

Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Maksud ayat ini adalah sebagai penghiburan tentang apa yang dicapai oleh orang-orang kafir dari kesenangan dunia ini, dan keseronokan mereka di dalamnya, juga kesenangan mereka ketika melawat ke pelbagai negara untuk urusan perniagaan. Sebenarnya, semua itu hanyalah sedikit. Sungguh, tidak ada balasan bagi mereka dan kekayaan mereka tidak akan bertahan lama. Mereka menikmati kekayaan yang amat sedikit itu, tetapi mereka akan mendapat azab yang jauh lebih panjang masanya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 344)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”