#7072: Tafsir Ayat 5 Surah Fatir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan tafsiran terhadap ayat 5 daripada Surah Fatir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۖ وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِاللَّهِ الْغَرُورُ

Maksudnya: Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).

(Surah Fatir: 5)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT berfirman: “Wahai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar,” iaitu, hari kebangkitan itu pasti akan berlaku. “Maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu,” iaitu kehidupan yang rendah berbanding dengan apa yang disediakan Allah untuk kekasih-kekasih-Nya dan para pengikut rasul-Nya, berupa kebaikan yang agung. Maka janganlah melupakan kebahagiaan yang abadi itu kerana adanya perhiasan yang fana. “Dan janganlah sekali-kali orang yang pandai menipu memperdayakan kamu tentang Allah,” iaitu syaitan. Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata bahawa janganlah kamu membiarkan syaitan menipu kamu dan memalingkan kamu daripada mengikuti para rasul Allah dan membenarkan kalimat-kalimat-Nya. Sesungguhnya syaitan itu adalah penipu, pendusta, dan pembual. Makna ayat ini seperti ayat yang ada di surah Luqman: “Maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan pula penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam menaati Allah.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/432)

Al-Syaukani berkata: Al-Syaukani berkata: (maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu), yakni janganlah perhiasan dan kenikmatan dunia memperdayakanmu daripada beramal untuk kehidupan akhirat. (Lihat Fath al-Qadir, 2/332)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkat: Wahai manusia, sesungguhnya janji Allah tentang kebangkitan dan pembalasan itu benar, tidak berubah dan pasti. Maka jangan biarkan dunia mengganggu kamu dengan perangkap-perangkap dan kelazatannya daripada amal akhirat. Jangan biarkan syaitan yang pandai menipu itu menyesatkan kamu dengan hanya berangan-angan tentang Allah dan tidak bersegera kepada-Nya.” (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 455)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan anda dengan segala kelazatan, kegemerlapan, dan tuntutannya, sehingga melalaikan anda daripada tujuan anda diciptakan, dan janganlah sekali-kali syaitan yang pandai menipu memperdayakan anda tentang Allah, iaitu syaitan, musuh anda yang sebenar, maka anggaplah ia sebagai musuh.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 632)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”