#7091: Kisah Nabi Musa A.S dan Samiri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan berkenaan ayat 97 dari Surah Taha, apabila Nabi Musa A.S mengatakan kepada Samiri: “Maka sesungguhnya bagimu di dalam kehidupan di dunia ini (hanya dapat) mengatakan: ‘Janganlah menyentuh (aku)’.” Adakah Samiri tidak dapat berkata perkataan lain selain ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nama Samiri ini disebutkan dalam kisah Nabi Allah Musa A.S semasa Baginda menyeru kaumnya untuk mentauhidkan Allah SWT. Disebutkan dalam firman-Nya:

وَلَقَدْ قَالَ لَهُمْ هَـٰرُونُ مِن قَبْلُ يَـٰقَوْمِ إِنَّمَا فُتِنتُم بِهِۦ ۖ وَإِنَّ رَبَّكُمُ ٱلرَّحْمَـٰنُ فَٱتَّبِعُونِى وَأَطِيعُوٓا۟ أَمْرِى (٩٠) قَالُوا۟ لَن نَّبْرَحَ عَلَيْهِ عَـٰكِفِينَ حَتَّىٰ يَرْجِعَ إِلَيْنَا مُوسَىٰ (٩١) قَالَ يَـٰهَـٰرُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوٓا۟ (٩٢) أَلَّا تَتَّبِعَنِ ۖ أَفَعَصَيْتَ أَمْرِى (٩٣) قَالَ يَبْنَؤُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِى وَلَا بِرَأْسِىٓ ۖ إِنِّى خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِى (٩٤) قَالَ فَمَا خَطْبُكَ يَـٰسَـٰمِرِىُّ (٩٥) قَالَ بَصُرْتُ بِمَا لَمْ يَبْصُرُوا۟ بِهِۦ فَقَبَضْتُ قَبْضَةًۭ مِّنْ أَثَرِ ٱلرَّسُولِ فَنَبَذْتُهَا وَكَذَٰلِكَ سَوَّلَتْ لِى نَفْسِى ( ٩٦) قَالَ فَٱذْهَبْ فَإِنَّ لَكَ فِى ٱلْحَيَوٰةِ أَن تَقُولَ لَا مِسَاسَ ۖ وَإِنَّ لَكَ مَوْعِدًۭا لَّن تُخْلَفَهُۥ ۖ وَٱنظُرْ إِلَىٰٓ إِلَـٰهِكَ ٱلَّذِى ظَلْتَ عَلَيْهِ عَاكِفًۭا ۖ لَّنُحَرِّقَنَّهُۥ ثُمَّ لَنَنسِفَنَّهُۥ فِى ٱلْيَمِّ نَسْفًا (٩٧)

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: ‘Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya; oleh itu, ikutlah daku dan taatlah akan perintahku’. (90) Mereka menjawab: ‘Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami’. (91) (Sekembalinya), Nabi Musa berkata: ‘Wahai Harun, apakah maniknya yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat’. (92) ‘Daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?’ (93) Nabi Harun menjawab: ‘Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!’ (94) (Sesudah itu Nabi Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya: ‘Apa pula halmu, wahai Samiri?’ (95) Dia menjawab: ‘Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul  (kuda tunggangan Malaikat Jibril), kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku’. (96) Nabi Musa berkata kepada Samiri: ‘Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya bagimu di dalam kehidupan di dunia ini (hanya dapat) mengatakan: ‘Janganlah sentuh (aku),’ dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap. (97)”

(Surah Taha: 90-97)

Kisah ini berlaku selepas Nabi Musa A.S dan para pengikutnya terselamat daripada Firaun dan bala tenteranya. Baginda A.S meneruskan perjalanan menuju ke bukit Tursina bersama-sama dengan para pengikutnya. Kemudian Baginda meninggalkan kaumnya di suatu tempat dan meminta saudara kandungnya, Nabi Harun A.S untuk menggantikan tugasnya sebagai ketua bagi menjaga mereka. Nabi Musa A.S pula pergi bersama tujuh puluh orang pembesar dalam kalangan kaumnya untuk bermunajat kepada Allah SWT. (Lihat al-Tafsir al-Wasit li al-Quran al-Karim, 9/136)

Selepas pemergian Baginda ke Bukit Tursina, Allah SWT telah menguji kaum Nabi Musa A.S yang ditinggalkan bersama Nabi Harun A.S dengan satu fitnah. Ia adalah angkara al-Samiri, seorang ahli sihir lagi munafik daripada kumpulan yang menyembah patung anak lembu yang dibuat daripada emas. Sebenarnya fitnah secara dasarnya bukanlah perkara yang terkeji. Hal ini kerana fitnah bermaksud ujian. Adapun yang terkeji dan terpuji adalah keputusan daripada ujian tersebut. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/223; Tafsir al-Sya‘rawi, 15/9354)

Dalam riwayat Ibn ‘Abbas R.A, beliau menafsirkan, Samiri ini merupakan seorang lelaki dari ahli Bajarma, suatu kaum yang menyembah lembu. Samiri itu sendiri suka untuk menyembah lembu, dan dia pernah menzahirkan keislamannya semasa bersama Bani Israel. Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas R.A, dikatakan Samiri ini berasal dari Karman. Nama Samiri adalah Musa bin Zufar.

Dikatakan, Samiri ini dinisbahkan kepada salah satu kabilah Bani Israel, dan ada juga pandangan lain yang mengatakan ia adalah penisbahan kepada sebuah perkampungan bernama Samirah – sebagaimana pendapat Qatadah. Al-Qadi Abu Muhammad Ibn ‘Atiyyah berkata, Samirah kini dikenali sebagai negara Mesir. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/275; al-Nukat wa al-‘Uyun, 3/422; al-Muharrar al-Wajiz, 4/61)

Peristiwa penyelewengan kaum Nabi Musa A.S ini membangkitkan kemarahan Baginda, lalu Baginda menyoal Nabi Harun A.S serta Samiri atas peristiwa yang telah berlaku sepanjang pemergiannya. Setelah semua pihak telah diambil keterangan dan disoal siasat, maka tibalah waktunya Nabi Musa A.S menjatuhkan hukuman penyingkiran dan pemulauan kepada Samiri. Baginda menjelaskan kepada Samiri keadaannya di dunia dan di akhirat kelak dengan berkata: (فَإِنَّ لَكَ فِى ٱلْحَيَوٰةِ أَن تَقُولَ لَا مِسَاسَ), atau yang difahami secara literal “Sesungguhnya bagimu di dalam kehidupan di dunia ini (hanya dapat) mengatakan: ‘Janganlah sentuh (aku).”

Imam Fakhruddin al-Razi memperincikan tafsiran ini kepada 3 bentuk:

Pertama: Maksudnya ialah: “Aku tidak menyentuh dan tidak boleh disentuh.” Ahli Tafsir yang berpandangan demikian berkata, apabila seseorang menyentuhnya, kedua-dua yang menyentuh dan yang disentuh akan demam. Oleh itu, apabila seseorang ingin menyentuhnya, Samiri akan berteriak ketakutan kerana demam dan berkata: ‘Jangan sentuh!”

Kedua: Maksudnya adalah larangan daripada bergaul dengan sesiapa atau didekati oleh sesiapa.

Muqatil berkata: Nabi Musa A.S mengusir Samiri dari kawasan Bani Israel dan berkata kepadanya: “Keluar kamu bersama keluargamu,” lalu dia keluar sebagai orang yang diusir ke padang pasir. Al-Wahidi menentang pandangan ini dengan berkata: “Jika seseorang diusir, dia tidak akan berkata: “Jangan sentuh,” tetapi orang lain akan berkata demikian kepadanya.

Namun, bantahan ini lemah menurut al-Razi; kerana jika seseorang itu diusir dan terasing, apabila ditanya tentang keadaannya, dia boleh berkata: “Jangan sentuh,” yang bermaksud “Tiada sesiapa akan menyentuhku, dan aku tidak akan menyentuh sesiapa.” Bererti Nabi Musa A.S menjatuhkan hukuman kepadanya seraya berkata: “Wahai Samiri, aku menjadikan kamu dalam keadaan terbuang sehingga jika kamu ingin memberitahu orang lain tentang keadaanmu, kamu hanya akan mampu berkata: “Jangan sentuh.” Pandangan ini lebih baik dan lebih sesuai dengan wajah tafsiran Muqatil.

Pandangan pertama dan kedua ini lebih dekat dengan tafsiran Ibn ‘Abbas R.A, seperti yang dibawakan oleh Imam al-Qurtubi.

Ketiga: Pandangan yang disebutkan oleh Abu Muslim Muhammad bin Bahr al-Asfahani, bahawa ayat ini mungkin ditafsirkan dengan erti kata larangan untuk menyentuh wanita, yang menjadi sebahagian daripada azab Allah terhadapnya, menyebabkan keturunannya terputus, dan dia tidak mempunyai anak yang dapat menghiburkannya. Maka Allah SWT menjadikannya terasing daripada dua perhiasan dunia sepertimana firman-Nya dalam ayat 46 dari Surah al-Kahfi. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 16/381-382; Mafatih al-Ghaib, 22/96; Ma‘alim al-Tanzil, 5/292)

Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur berkata, ini adalah perkhabaran tentang hukuman Allah SWT terhadapnya di dunia dan akhirat. Allah menjadikan nasib dalam hidupnya untuk mengatakan: “Jangan sentuh,” yang bermaksud bahawa Allah telah merampas darinya rasa perhubungan yang ada dalam sifat kemanusiaan. Sebagai ganti, Allah menimpakan ke atasnya kegilaan, was-was, dan kesunyian. Dia menjadi terasing dari bergaul dengan orang lain, hidup sendirian, tidak membenarkan sesiapa pun mendekatinya. Jika seseorang bertemu dengannya, dia akan berkata: “Jangan sentuh,” kerana dia takut akan disentuh. Difahami dalam kata-kata Samiri itu: “Jangan sentuh aku dan aku tidak akan menyentuh kamu.” Keadaan ini adalah keadaan yang mengerikan sehingga dia menjadi bahan ejekan. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir)

Kami melihat, tafsiran yang lebih jelas untuk kita fahami adalah Samiri itu tidak akan mendekati orang lain untuk menyentuh mereka, begitu juga orang lain tidak akan mendekati dirinya untuk menyentuhnya. Hal ini boleh berlaku atas pelbagai faktor, sama ada benar orang yang menyentuhnya akan ditimpa penyakit, atau mungkin kerana statusnya selaku pesalah yang telah dijatuhkan hukuman oleh pemimpin, atau mungkin juga keadaannya yang lama terasing dari bergaul dengan masyarakat telah melahirkan bibit-bibit ketidakwarasan sehingga menakutkan orang lain.

Adapun persoalan saudara berkenaan Samiri, pada zahirnya dia tidak mampu untuk bercakap perkara lain selain dari “Jangan sentuh!” Beginilah yang disebutkan oleh beberapa ahli tafsir, termasuklah Imam al-Razi sendiri dalam kritikannya terhadap pandangan al-Wahidi. Imam Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir (3/174) juga menceritakan, ulama tafsir di negeri Syam berkata, sehinggakan pada akhir-akhir kehidupan Samiri ini dia hanya menyebut: “Jangan sentuh!”

Allah SWT juga yang lebih Mengetahui akan hakikat azab-Nya ke atas Samiri. Semoga kita beroleh manfaat dari perbincangan ringkas ini, seterusnya meningkatkan lagi keteguhan iman kita terhadap Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلكَ رِضَاكَ وَالجَنَّةَ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ واَلنَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga, dan kami berlindung kepada-Mu daripada kemurkaan-Mu dan neraka.”

Wallahu a‘lam.