#7100: Melakukan Hubungan Intim Suami Isteri Menghadap Kiblat atau Membelakanginya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang lelaki menggauli isterinya dalam keadaan kedua-duanya menghadap ke arah kiblat atau sebaliknya? Begitu juga adakah terdapatnya arah yang dimakruhkan untuk dihadap ketika melakukan hubungan intim suami isteri? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya:Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.

(Surah al-Baqarah: 223)

Ayat di atas bermaksud, Isteri-isteri kamu adalah tempat kamu bercucuk tanam, melahirkan anak-anak untuk kamu; seperti tanah yang mengeluarkan buah-buahan. Maka datangilah tempat bercucuk tanam itu — iaitu faraj — dari mana-mana arah yang kamu suka dan bagaimana cara pun yang kamu suka asalkan di faraj. Dan sediakanlah untuk diri kamu dengan melakukan kebaikan, termasuklah seorang lelaki menggauli isterinya dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan berharap mendapatkan zuriat yang soleh. Bertakwalah kepada Allah dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, termasuklah apa yang telah disyariatkan kepada kamu mengenai wanita. Ketahuilah bahawa kamu akan menemui-Nya pada hari kiamat, berdiri di hadapan-Nya, dan Dia akan membalas kamu berdasarkan amalan-amalan kamu. Dan berilah berita gembira — wahai Nabi — kepada orang-orang beriman dengan apa yang menggembirakan mereka ketika bertemu Tuhan mereka, iaitu nikmat yang kekal dan melihat wajah-Nya yang mulia. (Lihat al-Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 35).

Selain itu, dalam ajaran Islam, kita disunatkan untuk membaca doa sebelum bersama atau melakukan persetubuhan dengan isteri. Hal ini adalah jelas sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata: Nabi SAW bersabda:

لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ: اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنِي، فَإِنْ كَانَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ لَمْ يَضُرُّهُ الشَّيْطَانُ، وَلَمْ يُسَلَّطْ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi isterinya dengan mengucapkan: “اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنِي” (Ya Allah, jauhkanlah aku daripada syaitan dan jauhkan syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepadaku), sekiranya mereka berdua dikurniakan seorang anak, nescaya syaitan tidak akan mampu memudaratkannya dan anak itu tidak akan dikuasai oleh syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (3283)

Begitu juga dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا فَقُضِيَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ، لَمْ يَضُرَّهُ

Maksudnya: “Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi isterinya lalu dia mengucapkan: “بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا” (Bismillah, Ya Allah jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami), maka apabila ditetapkan buat mereka berdua lahirnya seorang anak, maka syaitan tidak akan mampu memberi mudarat kepadanya.

Riwayat al-Bukhari (141)

Al-hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, di antara faedah yang terdapat pada hadith ini adalah anjuran atau galakkan untuk membaca tasmiyyah (bismillah), berdoa, dan menjaga hal tersebut dalam perkara-perkara yang melazatkan seperti hubungan suami isteri. (Lihat Fath al-Bari, 9/136).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebahagian ulama telah membincangkannya dalam bab qadha’ hajat (membuang air), dan mereka menghukumnya sebagai makruh perbuatan menghadap kiblat ketika melakukan hubungan intim, kecuali jika melakukannya di tempat yang tertutup, maka tidak mengapa.

Al-Baji dalam al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’ (1/336) menyebutkan bahawa terdapat perbezaan pendapat mengenai hubungan intim yang dilakukan dalam keadaan menghadap kiblat. Al-Qadhi Abu Muhammad menukilkan daripada Ibn al-Qasim bahawa ia dibolehkan, manakala Ibn Habib pula berpendapat makruh. Dalam kitab al-Mudawwanah, Ibn al-Qasim ditanya: “Adakah seseorang boleh bersama isterinya dalam keadaan menghadap kiblat?” Beliau menjawab: “Aku tidak mengingati/mengetahui apa-apa pendapat daripada Malik mengenai hal ini, tetapi aku berpendapat ia tidak mengapa.”

Namun Imam al-Nawawi berpendapat, tidak makruh berjimak dalam keadaan menghadap kiblat atau membelakanginya, sama ada di dalam bangunan atau di padang pasir (kawasan terbuka). (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/207; lihat juga al-Najm al-Wahhaj, 7/265).

Begitu juga Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid pernah ditanya berkenaan adakah makruh berjimak dalam keadaan menghadap kiblat di kawasan padang pasir (tempat terbuka) atau di dalam bangunan, dan adakah juga terdapat khilaf dalam keadaan ulama dalam isu ini? Beliau menjawab, tidak makruh dalam hal tersebut, tidak ketika melakukannya di kawasan padang pasir (tempat terbuka) mahupun di dalam bangunan. Inilah pendapat mazhab al-Syafi‘i dan ulama keseluruhannya, melainkan sebahagian ashab Malik (ulama Malikiyyah). (Lihat Mauqi‘ al-Islam Su’al wa Jawab, 7/992).

Demikian juga Syeikh Muhammad Isma‘il al-Muqaddam turut menyatakan, ulama Syafi‘iyyah menyebutkan, diharuskan untuk melakukan hubungan intim dalam keadaan menghadap kiblat dan membelakanginya sama ada di dalam bangunan mahupun di padang pasir (kawasan terbuka); kerana syarak hanya menyebutkan pada membuang air kecil dan besar sahaja. (Lihat Durus al-Syeikh Muhammad Isma‘il al-Muqaddam, 73/8).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa atau tidak makruh pasangan suami isteri melakukan persetubuhan atau hubungan intim dalam keadaan kedua-duanya menghadap ke arah kiblat mahupun membelakanginya, tidak kira ia dilakukan di dalam bangunan mahupun di kawasan terbuka (seperti padang pasir dan jauh dari pandangan orang ramai) sebagaimana pendapat al-Syafi‘iyyah dan majoriti ulama. Ini kerana tidak ada nas sama ada dalam al-Quran mahupun hadith yang melarang perkara tersebut.

Sebaliknya nas berkenaan larangan untuk menghadap ke arah kiblat atau membelakanginya adalah pada hal berkaitan membuang air kecil dan besar sahaja. Justeru, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu dibolehkan/diharuskan selagi mana tidak ada dalil lain atau sebab lain yang mengharamkannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”