#7131: Khutbah Haji Sama Rukun Dengan Khutbah Jumaat?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Adakah ketiga-tiga khutbah Haji masih tertakluk dengan rukun-rukun khutbah yang biasa iaitu memuji Allah SWT, selawat ke atas Nabi SAW, wasiat taqwa, membaca ayat al-Quran dan doa kepada Muslimin?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

 

Bagi menjawab persoalan di atas, kami dahulukan dengan membawa firman Allah SWT di dalam Muhkam al-Tanzil sebagai peringatan buat kita bersama bagi mengenang asal-usul ibadah Haji daripada leluhur kita, Nabi Ibrahim al-Khalil AS. Allah menceritakan berkenaan ini menerusi firman-Nya:

وَأَذِّن فِی ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ یَأۡتُوكَ رِجَالࣰا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرࣲ یَأۡتِینَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِیقࣲ

Maksudnya: “Dan serulah sekalian manusia untuk melaksanakan Haji, nescaya mereka akan datang menuju ke arahnya dalam keadaan berjalan kaki, serta menaiki tunggangan; mereka semua bakal datang daripada setiap pelusuk dan ceruk dunia.”

(Surah Ibrahim: 27)

Allah SWT telah mewakilkan Nabi Ibrahim AS untuk menyeru sekalian manusia untuk melaksanakan Haji di Makkah al-Mukarramah. Setiap jemaah Haji dan Umrah adalah penyahut seruan tersebut. Imam al-Hafiz Ibn Kathir al-Dimasyqi menafsirkan ayat di atas seraya berkata:

وَقَوْلُهُ: ﴿وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ﴾ أَيْ: نَادِ فِي النَّاسِ دَاعِيًا لَهُمُ إِلَى الْحَجِّ إِلَى هَذَا الْبَيْتِ الَّذِي أَمَرْنَاكَ بِبِنَائِهِ. فَذُكر أَنَّهُ قَالَ: يَا رَبِّ، وَكَيْفَ أُبْلِغُ النَّاسَ وَصَوْتِي لَا يَنْفُذُهُمْ؟ فَقِيلَ: نَادِ وَعَلَيْنَا الْبَلَاغُ. فَقَامَ عَلَى مَقَامِهِ، وَقِيلَ: عَلَى الْحَجَرِ، وَقِيلَ: عَلَى الصَّفَا، وَقِيلَ: عَلَى أَبِي قُبَيس، وَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنْ رَبَّكُمْ قَدِ اتَّخَذَ بَيْتًافَ حُجُّوهُ، فَيُقَالُ: إِنَّ الْجِبَالَ تَوَاضَعَتْ حَتَّى بَلَغَ الصَّوْتُ أَرْجَاءَ الْأَرْضِ، وأسمَعَ مَن فِي الْأَرْحَامِ وَالْأَصْلَابِ، وَأَجَابَهُ كُلُّ شَيْءٍ سَمِعَهُ مِنْ حَجَر ومَدَر وَشَجَرٍ، وَمَنْ كَتَبَ اللَّهُ أَنَّهُ يَحُجُّ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ: “لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ”. هَذَا مَضْمُونُ مَا رُوِيَ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، وَمُجَاهِدٍ، وَعِكْرِمَةَ، وَسَعِيدِ بْنِ جُبَير، وَغَيْرِ وَاحِدٍ مِنَ السَّلَفِ، وَاللَّهُ أَعْلَمُ. أَوْرَدَهَا ابْنُ جَرير، وَابْنُ أَبِي حَاتِمٍ مُطَوّلة

Maksudnya: “Firman-Nya: [Dan serulah manusia untuk melaksanakan Haji] iaitu: panggil mereka untuk menunaikan Haji ke Baitullah ini yang Aku arahkan kamu (wahai Ibrahim) untuk membinanya. Diriwayatkan, baginda berkata: “Wahai Tuhan! Bagaimana aku hendak menyeru seluruh manusia sedangkan suaraku tidak mampu sampai kepada mereka semua?” Allah berfirman: “Seru sahaja, Aku jualah yang akan menyampaikannya.” Maka, Nabi Ibrahim pun berdiri di atas Makam Ibrahim, dan dikatakan juga berdiri di atas Hijir Ismail, dikatakan juga berdiri di atas Bukit Safa, dikatakan juga berdiri di atas Bukit Abi Qubais; seraya menyeru: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kalian telah membina sebuah Rumah-Nya, maka datanglah menziarahinya!” Dikatakan bahawa bukit-bukau semuanya tunduk supaya suara Nabi Ibrahim tersebut sampai ke seluruh penjuru bumi, dan seruannya itu turut didengari oleh setiap jiwa termasuklah yang masih berada di dalam rahim dan tulang sulbi. Seruan baginda itu didengari oleh segenap batu, tiang-tiang dan kayu-kayu pohon. Dan sesiapa yang Allah telah tetapkan untuk melaksanakan Haji sehingga hari kiamat, pasti akan menyahutnya dengan: Labbaikallahumma labbaik. Ini kisah yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, Mujahid, ‘Ikrimah, Sa’id bin Jubair dan kebanyakkan Salaf. Wallahu a‘lam, diriwayatkan oleh Ibn Jarir, Ibn Abi Hatim dengan panjang lebar.” (Lihat Tafsir Quran al-‘Azim, 5/414)

Termasuk dalam sunnah Haji adalah perlaksanaan Khutbah-khutbah Haji. Khutbah ini ada empat, disunatkan dan mesti dilaksanakan oleh pemimpin Jemaah Haji.

Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Idhah, kata beliau: “Semua sekali khutbah-khutbah Haji itu ada empat khutbah: Yang pertama, khutbah pada hari-7 (Zulhijjah) di Makkah. Kedua, khutbah pada hari Arafah. Ketiga, khutbah pada Hari Nahr di Mina. Keempat, khutbah pada hari al-Nafr al-Awwal di Mina juga. Di dalam setiap khutbah ini mestilah berisi ajaran tentang tatacara perlaksanaan Manasik Haji serta hukum-hakamnya sehinggalah tempoh khutbah seterusnya; semuanya dilakukan sebanyak satu khutbah sahaja dan selepas Solat Zohor, melainkan khutbah di Arafah; ia dilaksanakan sebanyak dua khutbah dan sebelum Solat Zohor.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 264-265)

Ringkasannya adalah seperti berikut:

  • Khutbah pada 7 Zulhijjah di Makkah al-Mukarramah
  • Khutbah pada 9 Zulhijjah (Hari Arafah) di Arafah
  • Khutbah pada 10 Zulhijjah (Hari Nahar) di Mina
  • Khutbah pada 12 Zulhijjah (Hari Nafar Awal) di Mina

 

 

Khutbah Haji Isi Kandungan Khutbah
Khutbah Hari al-Zinah (7 Zulhijjah) Khutbah untuk menyeru agar jemaah Haji bersiap sedia untuk menuju ke Mina pada esok hari, 8hb Zulhijjah; serta menjelaskan ibadah Haji yang akan dilaksanakan sehingga 9hb Zulhijjah.
Khutbah Hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) Khutbah sebelum Zohor; sama hukumnya seperti khutbah Jumaat, berpesan ke arah Taqwa dan kebaikan, menjelaskan berkenaan ibadah Haji yang akan dilaksanakan selepas itu (sehingga esok).
Khutbah Hari Nahar (10 Zulhijjah) Penjelasan tentang ibadah Haji yang akan dilaksanakan selepas itu (sehingga 12 Zulhijjah) dan soal-jawab berkenaan Fiqh Manasik Haji.
Khutbah Hari Nafar Awal (12 Zulhijjah) Penjelasan tentang ibadah Haji yang akan dilaksanakan selepas itu (hingga selesai Haji) dan soal-jawab berkenaan Fiqh Manasik Haji.

 

Berhubung soalan di atas, kami nyatakan bahawa khutbah-khutbah Haji ini hakikatnya adalah suatu sesi pemberian taklimat berkenaan tentatif program dan perlaksanaan ibadah Haji beserta penjelasan hukum-hakam Fiqh Manasik Haji. Ia berbeza dengan khutbah Jumaat yang berbentuk pesanan Taqwa dan arahan melakukan amal soleh serta menghindari kemungkaran. Imam Ibn Hajar al-Haitami menegaskan sedemikian rupa menerusi perkataan beliau dalam Hasyiah atas kitab al-Idhah karya Imam al-Nawawi, Syeikh Ibn Hajar berkata:

“Iaitu kerana khutbah-khutbah ini tidak berkongsi hukum dengan khutbah Jumaat; kerana tujuan khutbah Haji adalah untuk mengajar (memberi taklimat) bukannya memberi nasihat atau mengingatkan manusia tentang azab Allah (seperti khutbah Jumaat); hal ini berbeza dengan khutbah Kusuf (gerhana Matahari), khususnya apabila bertembung antara Kusuf dengan Jumaat, dan imam pun mengingatkan tentang nasihat sempena gerhana di dalam khutbah Jumaat, maka imam boleh berpada dengan khutbah Jumaat sahaja (tidak perlu laksanakan khutbah khusus Gerhana); kerana tujuan kedua-dua khutbah adalah sama iaitu memberi nasihat dan mengingatkan tentang ancaman azab Allah. Wallahu a‘lam.” (Lihat Hasyiah Ibn Hajar al-Haitami ‘ala al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 266)

Khutbah-khutbah Haji ini mirip kepada sesi penyampaian taklimat tentang tentatif pergerakan jemaah Haji yang akan dilaksanakan dan penjelasan hukum-hakam Manasik Haji dan sesi soal-jawab bagi sesiapa yang mempunyai sebarang kemusykilan.

Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini yang menyatakan: “(Isi kandungan khutbah tersebut mestilah mengandungi) [Arahan kepada mereka supaya segera menuju ke Mina]; dan ia dinamakan demikian kerana banyaknya darah haiwan korban sempena Haji yang ditumpahkan di tempat tersebut; Khutbah (Haji) ini dimulakan dengan talbiyah sekiranya penyampai khutbah itu dalam keadaan berihram, jika tidak, maka hendaklah dia bertakbir sepertimana yang dinukilkan di dalam kitab Majmu‘ daripada fatwa Imam al-Mawardi [serta mengajar] di dalam isi kandungan khutbah tersebut [Manasik (Haji) yang akan dilaksanakan sebentar lagi].” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/258)

Khutbah ini mesti dimulakan dengan talbiyah sekiranya khatib dalam keadaan berihram, atau dimulakan dengan takbir sekiranya khatib tidak berada dalam keadaan berihram. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Khutbah (Haji) ini dimulakan dengan talbiyah sekiranya penyampai khutbah itu dalam keadaan berihram, jika tidak, maka hendaklah dia bertakbir sepertimana yang dinukilkan di dalam kitab Majmu‘ daripada fatwa Imam al-Mawardi [serta mengajar] di dalam isi kandungan khutbah tersebut [Manasik (Haji)]… Sekiranya penyampai khutbah itu mahir ilmu Fiqh (Haji), maka hendaklah membuka sesi pertanyaan/soal-jawab.” (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh al-Raudh al-Talib, 1/485)

Semua khutbah Haji ini dilaksanakan dengan satu khutbah sahaja. Pengecualian diberikan kepada bentuk khutbah pada Hari ‘Arafah, ia mesti dilaksanakan dengan dua khutbah. Imam al-Nawawi berkata di dalam kitab Majmu‘: “Para ashab kami mengatakan bahawa: Setiap khutbah-khutbah Haji yang empat ini dilaksanakan dalam bentuk satu khutbah sahaja dan dilakukan selepas Solat Zohor kecuali khutbah di Arafah; ia perlu dilaksanakan sebanyak dua khutbah dan dilakukan sebelum Solat Zohor, selepas tergelincirnya matahari.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/82)

Adapun intipati khutbah, maka secara zahirnya, khutbah Hari Arafah adalah sama sahaja seperti khutbah-khutbah sebelum ini. Ia mesti berisi taklimat tentang hukum-hakam Wukuf, anjuran ibadah dan sunnah-sunnah ketika berwukuf, taklimat pergerakan sebentar lagi untuk bermabit di Muzdalifah dan Mina, serta segala ibadah yang akan dilaksanakan sehingga esok. Ditambah juga dengan pesanan untuk memperbanyakkan ibadah seperti zikrullah dan doa.

Imam Muhyiddin al-Nawawi berkata menjelaskan kaifiat Khutbah Arafah dan intipati Khutbah Arafah: “Imam hendaklah berkhutbah sebelum menunaikan Solat Zohor dengan dua khutbah sepertimana yang telah kami jelaskan sebelum ini; menjelaskan kepada jemaah, dalam khutbah pertama, berkenaan cara kaifiat berwukuf, syarat-syaratnya, adab-adabnya, dan bilakah waktu untuk bertolak dari Arafah ke Muzdalifah dan lain-lain hukum-hakam Haji yang akan dilaksanakan sebentar lagi sehingga khutbah seterusnya iaitu esok, khutbah Hari Nahar di Mina, khutbah ini dilaksanakan selepas tergelincirnya matahari. Dan hukum-hakam serta tentatif Haji yang diajarkan di dalam khutbah ini adalah manasik yang paling banyak. Khatib juga perlu menggalakkan sekalian jemaah untuk memperbanyakkan doa, tahlil, dan lain-lain zikir dan talbiyah di tempat wukuf. Khatib perlu meringankan khutbah semampu mungkin, namun jangan terlalu pendek melebihi sehingga lebih pendek berbanding khutbah kedua. Imam al-Mawardi berkata, “Imam al-Syafi‘i berkata: Paling minimum adalah mengajarkan ibadah yang perlu dilaksanakan antara khutbah Arafah hingga khutbah Hari Nahar keesokan harinya. Jika khatib menguasai Fiqh Haji, dia boleh membuka sesi soal-jawab. Jika tidak, maka tidak perlu dia menerima soalan.”

Beliau juga menyebutkan: “Para ashab kita mengatakan: Apabila khatib selesai khutbah pertama, hendaklah imam duduk rehat sebentar selama kadar bacaan Surah al-Ikhlas kemudian hendaklah dia bangun menyambung khutbah kedua seraya meringkaskannya dengan begitu pendek. Dan muazzin memulakan azan selepas imam memulakan khutbah kedua ini, dan imam turut menghabiskan khutbah pada waktu yang sama muazzin menghabiskan azan.” (Lihat Majmu‘ Syarah al-Muhazzab, 8/86)

Khutbah kedua juga mestilah mempunyai doa kepada Allah SWT serta zikir mengenang kemuliaan dan keagungan-Nya. Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Jika ada orang mempertikaikan: ‘Azan ketika khutbah akan menghalang orang mendengar khutbah.’ Jawapannya adalah seperti yang dijawab di dalam kitab Mughni al-Muhtaj oleh al-‘Allamah al-Khatib Muhammad al-Syirbini: ‘Tujuan pengajaran dan nasihat adalah pada khutbah pertama sahaja, manakala khutbah kedua pula khusus untuk berdoa dan berzikir. Azan juga mengisyaratkan agar bersegera melaksanakan solat, wallahu a‘lam.’” (Lihat Hasyiah al-‘Allamah Ibn Hajar ‘ala al-Idhah, hlm. 273)

Kesimpulannya, kami nyatakan di sini bahawa khutbah-khutbah Haji dilaksanakan dengan satu khutbah sahaja; dimulakan dengan talbiyah sekiranya khatib berihram, atau dengan takbir seperti takbir raya sekiranya khatib tidak berihram. Kemudian, diteruskan dengan penyampaian tentatif perjalanan jemaah Haji dan penjelasan hukum-hakam Haji serta sesi soal-jawab.

Manakala, bagi khutbah Arafah pula ia dilaksanakan dengan dua khutbah; khutbah pertama berisi penjelasan hukum-hakam berwukuf dan amalan-amalan sunat sepanjang wukuf, penjelasan tentang tentatif bertolak ke Muzdalifah dan Mina serta amalan-amalan yang wajib dilaksanakan serta nasihat-nasihat ketaqwaan, kesatuan umat dan amal soleh; manakala khutbah kedua secara ringkas, dipenuhi dengan arahan untuk memperbanyakkan zikir dan doa sepanjang hari Arafah; serta nasihat umum kemudian berdoa secara ringkas untuk mengakhirinya. Menuruti rukun-rukun Khutbah Jumaat di dalam khutbah Arafah seperti pujian kepada Allah, membaca satu ayat al-Quran yang boleh difahami, berselawat ke atas Nabi adalah yang terbaik.

 

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahu a‘lam.