#7185: Tingkatan Takwa

Soalan:  

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami tingkatan takwa berdasarkan nas Ilahi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

(Surah Ali Imran: 102)

Al-Syaukani berkata: Yakni takwa yang sebenarnya, yang dengan tidak meninggalkan apa yang diwajibkan syariat atas mereka dalam mengerjakannya, dan tidak melakukan apa yang diwajibkan untuk meninggalkannya dengan mengerahkan segala kemampuan dan usaha untuk melaksanakan hal itu. (Lihat Fath al-Qadir, 3/221)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Ghazali, antara lain, katanya: Sebahagian ulama’ membahagikan tingkatan takwa kepada tiga tingkatan:

  • Membersihkan diri dari perbuatan syirik,
  • Membersihkan diri dari perbuatan bidaah,
  • Membersihkan diri dari segala perbuatan maksiat (Lihat Minhaj al-’Abidin, 192-193)

Semua itu terkandung dalam sebuah ayat al-Quran berikut:

لَيْسَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جُنَاحٌ فِيمَا طَعِمُوا إِذَا مَا اتَّقَوا وَّآمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ ثُمَّ اتَّقَوا وَّآمَنُوا ثُمَّ اتَّقَوا وَّأَحْسَنُوا

Maksudnya: Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh untuk makan apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka tetap bertakwa serta beriman, dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka masih tetap juga bertakwa dan berbuat kebajikan.”

[Surah al-Maidah: 93]

Al-Syaukani berkata: Sebab turunnya ayat ini adalah ketika telah turun ayat yang mengharamkan arak, berkatalah sebahagian sahabat: “Bagaimana dengan nasib orang yang telah meninggal dunia di antara kita, sedangkan ia dulu semasa hayatnya meminum arak dan memakan hasil perjudian, lalu mereka meninggal dunia dan dalam perut mereka terdapat arak dan hasil perjudian?” Maka Allah menjawab bahawa mereka meninggal dunia sebelum kedua-duanya diharamkan maka mereka tidak berdosa ketika meminumnya, dan mereka adalah orang-orang yang bertakwa. (Lihat Fath al-Qadir, 3/144)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Tidaklah bagi orang-orang mukmin yang beramal soleh seperti berjihad di jalan Allah itu, suatu dosa dalam memakan makanan yang mereka inginkan. Iaitu mereka telah makan atau minum arak sebelum ia diharamkan, jika mereka takut pada kesyirikan dan barang-barang haram setelah adanya pengharaman seperti arak dan hal lainnya, beriman kepada Allah, Rasulullah dan Al-Quran, dan mengerjakan amal soleh yang diredhai Allah. Kemudian mereka tetap berhati-hati terhadap apa yang telah diharamkan, tetap bertakwa, mempercayai pengharaman itu dan menambah keimanan mereka kepada Allah, kemudian menjauhi barang-barang haram berupa dosa kecil mahupun dosa lainnya, serta memperbaiki dan meneguhkan amal mereka. Dan Allah meredhai orang-orang yang baik amalnya dan membalas mereka dengan pahala yang mulia. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 332)

Syeikh al-Sa’di berkata: Ketika pengharaman arak dan larangan keras terhadapnya diturunkan, ada beberapa orang Mukmin yang ingin mengetahui keadaan saudara-saudara mereka yang telah meninggal dunia sebelum arak diharamkan, sedangkan mereka telah meminumnya. Maka Allah menurunkan ayat ini, memberitahu bahawa “tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan melakukan amalan soleh.” Maksudnya, tidak ada ancaman dan azab “kerana memakan makanan yang telah mereka makan dahulu,” seperti arak dan judi, sebelum kedua-duanya diharamkan. Apabila dosa ini dihapuskan, ia meliputi perkara-perkara yang disebut tadi dan juga yang lain, tetapi ia dibatasi dengan Firman-Nya, “apabila mereka bertakwa serta beriman, dan melakukan amalan-amalan soleh.” Maksudnya, dengan syarat mereka meninggalkan kemaksiatan, beriman kepada Allah dengan iman yang benar yang menghendaki mereka melakukan perbuatan baik, dan terus-menerus melakukannya. Jika tidak, seorang hamba mungkin memiliki kriteria tersebut hanya untuk beberapa waktu sahaja. Ini tidak mencukupi sebelum dia melakukannya sehingga ajal datang kepadanya, dia terus-menerus dalam kebaikan. Kerana Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik dalam beribadah kepada Allah dan memberi manfaat kepada makhluk. Termasuk dalam ayat ini adalah orang yang memakan harta haram dan seumpamanya selepas pengharaman, kemudian dia mengakui dosanya dan bertaubat kepada Allah, serta melakukan amalan soleh, maka Allah mengampuninya dan dosanya dihapuskan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 381)

Marilah sama-sama kita berpegang dengan nasihat Rasulullah SAW agar sentiasa bertakwa di mana sahaja kita berada:

Daripada Abu Zar al-Ghifari RA, Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Takwalah kepada Allah dimana kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan nescaya dia menghapuskannya dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.”

Riwayat al-Tirmizi (1987) dan Ahmad (21392)

Hak Allah SWT ialah takwa kepada-Nya. Hak mukallaf ialah menghapuskan kejahatan yang telah dikerjakannya. Hak hamba ialah elok pergaulan antara sesama manusia dalam masyarakat. Ketiga-tiga hak ini masuk di dalam dalam tuntutan dan pengertian takwa. Yang demikian bererti pula takwa itu tidak terhad kepada Allah SWT, tetapi meliputi juga sesama manusia. Orang yang bertakwa adalah orang yang dapat menunaikan pengertian tersebut secara keseluruhannya. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 186)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”