#7188: Empat Perkara Dilawan dengan Empat Perkara

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, kenyataan Imam Ghazali yang menyebut empat perkara yang membinasakan dan cara untuk kita menegahnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Imam al-Ghazali dalam membincangkan isu ini telah menyebut dalam kitabnya Minhaj al-’Abidin dengan panjang lebar, yang terkait dengan hati. Kami nyatakan di sini beberapa nas terlebih dahulu yang terkait dengan hati.

Iblis menentang Allah dan enggan menghormati Nabi Adam AS.

أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَـٰفِرِینَ

Maksudnya: “(Iblis) enggan dan menyombong serta dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang kufur.

(Surah al-Baqarah: 34)

Al-Syaukani berkata: Yakni dia tidak mahu untuk bersujud dan merasakan dirinya lebih mulia. (Lihat Fath al-Qadir, 1/223)

Ia takabbur dan menjadi kafir, yang membuatnya tidak mahu mengesakan Allah SWT dan melakukan kekufuran.

Perhatikan pula firman Allah mengenai Bal’am,

وَلَـٰكِنَّهُۥۤ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ

Maksudnya: Akan tetapi dia (Bal’am) memilih untuk kekal hina di kerak bawahan, kerana telah menuruti hawa nafsunya.

(Surah al-A‘raf: 176)

Al-Syaukani berkata: Yakni condong kepada dunia, mencintainya dan lebih memilihnya daripada akhirat. (Lihat Fath al-Qadir, 2/331)

Bal’am bin Ba’ura’[1] yang menuruti hawa nafsu sehingga hatinya tunduk kepada desakan nafsu. Hal itu menjadikannya hina-dina.

Juga firman Allah:

وَنُقَلِّبُ أَفۡـِٔدَتَهُمۡ وَأَبۡصَـٰرَهُمۡ كَمَا لَمۡ یُؤۡمِنُوا۟ بِهِۦۤ أَوَّلَ مَرَّةࣲ وَنَذَرُهُمۡ فِی طُغۡیَـٰنِهِمۡ یَعۡمَهُونَ

Maksudnya: Kami bolak-balikkan hati dan penglihatan mereka seakan-akan mereka adalah orang-orang yang tidak pernah beriman langsung, dan Kami biarkan mereka di dalam keadaan kacau bilau kebingungan di dalam kesesatan mereka tersebut.

(Surah al-An‘am: 110)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Yakni, kamu juga tidak akan dapat merasakan bahawa mukjizat itu telah tiba (kepada mereka) kerana Kami akan membolak-balikkan hati mereka dengan pemikiran yang sia-sia, dan mengalihkan pandangan mereka dengan khayalan, sehingga mereka tidak mempercayai mukjizat itu sebagaimana mereka tidak mempercayai al-Qur’an ketika Rasulullah mengajak mereka untuk mempercayainya. Dan Kami membiarkan mereka dalam kesesatan. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 336)

Maka oleh yang demikian, wahai pembaca yang budiman, kita perhatikan keadaan sekalian hamba Allah yang terpilih, bagaimana keadaan mereka sangat takut jika hati mereka menyimpang dan tergelincir. Sehingga, mereka menangis dan berusaha sekuat tenaga menjaga dan memelihara hatinya.

Menjawab persoalan di atas, empat penyakit yang dimaksudkan oleh Imam al-Ghazali adalah:

  • Berkhayal, seakan-akan masih usia masih panjang.
  • Serba terburu-buru, tanpa pertimbangan.
  • Iri dan dengki terhadap orang lain.
  • Takabbur

Sedangkan empat yang menjadi benteng dan lawannya serta mencegah daripada sifat empat yang mazmumah tersebut adalah dengan cara:

  • Mengingati mati.
  • Berhati-hati dalam segala perkara.
  • jujur
  • Tawadhu‘ (tidak sombong). (Lihat Minhaj al-’Abidin, 213-214)

Kami huraikan dalam kitab kami Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam dengan panjang lebar dan beberapa kitab yang lain. Semoga Allah pelihara kita dari sebarang sifat yang mazmumah dan menjadikan kita di kalangan hamba-Nya yang sentiasa berdoa memohon keampunan dan taubat, serta istighfar kepada Allah.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Nota  Hujung:

[1] Menurut Ibn ‘Abbas dan Ibn Mas’ud, beliau ialah Bal’am bin Ba’ura’, juga dikenali sebagai Na’im dari kalangan Bani Israel pada zaman Nabi Musa AS. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/319) Beliau merupakan salah seorang alim ulama’ dalam kalangan Bani Israel pada zaman Nabi Musa AS, beliaulah yang dicela oleh Allah SWT menerusi firman-Nya di dalam QS al-A’raf: 175.