#7195: Perbezaan Tawaqquf dan Ta’anni dalam Ilmu Tasawwuf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah perbezaan antara tawaqquf (التَّوَقُّفُ) dan al-ta’anni (التَّأَنِّي) menurut ilmu Tasawwuf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”

(Surah al-Taubah: 105)

Ibn Kathir menukilkan bahawa Mujahid berkata: “Ayat ini membawa peringatan dari Allah kepada mereka yang menentang perintah-Nya. Perbuatan mereka akan ditampilkan kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Hal ini merupakan sesuatu yang pasti berlaku pada Hari Kiamat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/577)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Setiap manusia akan mendapat balasan atas perbuatannya. Jika perbuatan itu baik, balasannya juga baik. Jika perbuatan itu buruk, balasannya juga buruk. Amalan perbuatan itu dilihat dan disaksikan Allah, rasul-Nya dan orang-orang beriman.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/53)

Kami mulakan dengan mengemukan takrif tawaqquf (التَّوَقُّفُ) seperti berikut: Al-Tawaqquf (التَّوَقُّفُ) ertinya tidak tergesa-gesa, meneliti terlebih dahulu sebelum mengerjakan sesuatu pekerjaan. Lawan bagi al-tawaqquf adalah al-ta’assuf (التَّعَسُّفُ), ertinya sembrono, tergesa-gesa dalam mengerjakan sesuatu perkara.

Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

التَّأَنِّي مِنَ اللَّهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: “Sifat tenang itu daripada Allah SWT, manakala sikap tergopoh-gapah itu daripada syaitan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (20767). Dinyatakan hasan dalam Sahih al-Targhib (2677)

Al-San‘ani menyebutkan, ketenangan atau tetap dalam satu urusan dan melakukannya merupakan pasak yang kukuh daripada Allah dengan maksud sifat yang Allah suka kepada hamba-Nya sehingga menjadi tabiat. Sedangkan gopoh-gapah dari syaitan dengan makna ia termasuk sifat-sifat yang disukai oleh syaitan. Ia akan mengheret manusia ke arahnya kerana akan menghalangnya daripada sifat tenang. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 5/112)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan kenyataan daripada Imam al-Ghazali yang menyebut:

Syaikh kami rahimahullah mengatakan, bahawa perbezaan al-tawaqquf (التَّوَقُّفُ) dengan al-ta’anni (التَّأَنِّي) adalah: al-Tawaqquf itu, merupakan keadaan seseorang sebelum memulai suatu pekerjaan, dia terlebih dahulu diperiksa dan diteliti, sehingga nyata kebenarannya. Sedangkan al-ta’anni (التَّأَنِّي) pula, adalah memulakan pekerjaan dengan berhati-hati, sehingga segalanya berjalan sebagaimana semestinya.

Mukaddimah al-Anah (الأَنَاةُ) adalah mengingat pelbagai jenis bahaya pada setiap hal yang terjadi pada manusia, segala macam bahaya yang menakutkan dalam suatu pekerjaan, mengingat segala yang ada dalam fikiran untuk memikirkan keselamatan yang kekal berpanjangan, serta mengingat sesal dan cela yang ditimbulkan hasil sikap al-ta’assuf (التَّعَسُّفُ) dan al-isti’jal (الاسْتِعْجَالُ). (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 207)

Marilah sama-sama kita menyempurnakan amalan kita dengan sebaik mungkin dan memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”