#7197: Tafsir Ayat 10 Surah al-Nisa’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan maksud ayat 10 Surah al-Nisa’? Bagaimana kaitannya dengan penjagaan perut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu memakan api hingga memenuhi perutnya.”

(Surah al-Nisa’: 10)

Syeikh al-Tantawi Rahimahullah menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa memakan harta anak yatim secara zalim itu sama ada melalui pewarisan ataupun orang yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya lalu memakannya dengan cara yang batil.  Allah SWT menggunakan kalimah zalim untuk menggambarkan kejelekan yang teramat kepada si pemakan harta anak yatim kerana anak yatim itu dizalimi dan mereka itu golongan yang lemah yang mana tidak ada kudrat dan upaya untuk membela diri mereka. (Lihat Tafsir al-Wasit,3/58)

Kami nukilkan di sini pandangan Imam al-Ghazali, antara lain katanya:

Bagi orang-orang yang hendak melaksanakan ‘ibadah, wajib ke atas mereka untuk menjaga perut dan menjadikannya sentiasa dalam keadaan baik.[1] Sebab, perut merupakan salah satu bahagian tubuh yang paling sukar diperbaiki, serta paling besar mudarat dan pengaruhnya. Perut ibarat mata air, dan merupakan sumber tenaga bagi seluruh tubuh badan.

Maka, wajib bagi kita sejak dari awal untuk memelihara perut daripada makanan yang diharamkan, selain menjaganya agar tidak berlebih-lebihan. Menjaganya daripada segenap unsur haram dan syubhat atas dasar tiga sebab:

  • Takut terhadap api neraka

Hal ini berdasarkan hadith daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ فَالنَّارُ أَوْلَى بِهِ

Maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh daripada hasil makanan haram, api neraka akan lebih cepat menyambarnya.”

Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain (4/127), Ibn Hibban di dalam al-Sahih (1723) menerusi hadith Jabir bin ‘Abdillah RA, al-Tirmidzi di dalam al-Sunan (614) menerusi hadith Ka’b bin ‘Ujrah RA.

  • Orang yang makan makanan haram dan syubhat tidak akan diberi taufik dalam beribadah

Sebab, orang seperti itu tidak layak untuk berkhidmat kepada Allah. Seperti telah kita ketahui, orang yang junub dilarang masuk ke dalam masjid. Begitu juga orang yang mempunyai hadas, tidak dibolehkan untuk memegang kitab suci al-Qur’an. Dalam masa yang sama, kita semua ketahui bahawa asbab-asbab junub dan hadas merupakan perbuatan yang mubah. Apalagi terhadap orang yang berlumuran dengan kotoran haram dan syubhat. Mana mungkin Allah akan menerima khidmatnya. Hal itu tidak mungkin terjadi! (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 210-211)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] D aripada Miqdam bin Ma’di Karib RA, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أَكَلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ، فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ، وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidaklah seorang anak Adam memenuhi satu tempat yang lebih teruk dari (memenuhi) perutnya. Cukuplah bagi anak Adam makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya, jika boleh (lebih dari itu) maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk nafasnya.”

Riwayat Ahmad (4/132), al-Tirmizi (2380), al- Nasaie (6769) (6770) dan Ibn Majah (3349). Al- Tirmizi berkata hadis ini hasan