#7198: Makan Berlebihan dan Pandangan Ulama Tasawwuf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah makan berlebihan boleh mendatangkan banyak implikasi dan akibat yang tidak baik terutamanya yang terkait dengan ibadat dan hati kita ini? Boleh terangkan kepada kami pandangan ulama tasawwuf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan pandangan Imam al-Ghazali yang menyebut, terdapat sepuluh gejala:

  • Makan berlebih-lebihan menjadikan hati keras dan memadamkan sinarnya,

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

لَا تُمِيتُوا الْقُلُوبَ بِكَثْرَةِ الطَّعَامِ وَالشَّرَابِ، فَإِنَّ الْقَلْبَ يَمُوتُ كَالزَّرْعِ إِذَا كَثُرَ عَلَيْهِ الْمَاءُ

Maksudnya: Janganlah kamu mematikan hati dengan makan dan minum berlebihan (meskipun makanan dan minuman itu halal), sebab, hati ibarat tanaman, jika terlalu banyak disiram air nescaya ia akan mati.

Riwayat Ibn Abi al-Dunya di dalam al-Ju’ (78)  menerusi perkataan al-Husain bin ‘Abd al-Rahman.

Sebahagian orang-orang soleh memberikan suatu perumpamaan, perut diibaratkan kuali, terletak di bahagian bawah hati. Apabila ia mendidih, asapnya akan mengena pada hati, dan kerana banyaknya asap, hati bakal menjadi kotor dan hitam.

  • Terlalu banyak makan dan minum menimbulkan kebimbangan dan gejolak pada anggota badan, dan akan menyeret pada perbuatan sia-sia, berlebihan, dan kerusakan.

Seseorang yang perutnya terlalu kenyang akan cenderung lupa daratan. Selalu ingin melihat hal-hal yang haram, tidak bermanfaat, dan berlebihan. Demikian pula telinga, lidah, kemaluan, dan kakinya.

Lain keadaannya di saat lapar. Seluruh anggota badannya merasa tenteram, tidak bernafsu mengerjakan hal-hal yang tidak bermanfaat, haram, atau berlebih-lebihan.

Ustaz Abu Ja’far berkata, “Sesungguhnya perut itu, jika ia lapar, ia akan membuat seluruh anggota badan tidak banyak menuntut sesuatu dan akan lebih merasa tenteram. Tetapi jika kenyang, maka anggota tubuh lainnya menjadi lapar dan banyak menuntut kesenangan yang lain.”

Kesimpulannya, perbuatan dan ucapan seseorang sangat bergantung pada makan dan minumnya. Jika yang ditelan adalah makanan yang haram, maka akan keluar dan terhasil jugalah perbuatan yang haram. Dan jika yang ditelan itu makanan yang berlebih-lebihan, keluarnya pun demikian juga. Jadi, makanan dan minuman itu ibarat benih, dan perbuatan itu merupakan tumbuh-tumbuhan yang tumbuh hasil benih tersebut.

  • Banyak makan mengakibatkan sempitnya akal,

Begitu juga sempitnya fikiran dan pengetahuan. Benar sekali yang dikatakan oleh al-Darani:

إِذَا أَرَدْتَ حَاجَةً مِنْ حَوَائِجِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، فَلَا تَأْكُلْ حَتَّى تَقْضِيَهَا؛ فَإِنَّ الْأَكْلَ يُغَيِّرُ العَقْلَ .

Maksudnya: Jika engkau menginginkan apa sahaja keinginan dunia atau akhirat, janganlah makan dahulu sebelum engkau menggapai keinginan itu, Sebab, makan akan menjadikan fikiranmu lesu.

Riwayat Ibn ‘Asakir di dalam Tarikh Dimasyq (34/154).

Hal itu nyata dirasakan oleh mereka yang pernah mengalaminya.

  • Banyak makan mengakibatkan seseorang malas beribadah.

Hal ini kerana, banyak makan menjadikan badan berat, mata mengantuk, dan anggota badan lainnya terasa lesu sehingga selalu menuruti rasa mengantuknya itu, dan ia tidur nyenyak seperti bangkai dibuang.

Ada seseorang yang mengatakan, “Jika seseorang itu berada dalam keadaan kenyang, anggaplah dirinya sedang mengalami kelumpuhan.

Nabi Yahya AS menceritakan bahawa baginda bertemu dengan iblis yang membawa sebuah barang berupa cangkuk. Lantas Nabi Yahya AS menanyakan, “Untuk apa barang itu?” Iblis menjawab bahawa cangkuk itu merupakan syahwat yang digunakan untuk memancing anak-cucu Adam.

Nabi Yahya AS bertanya, “Adakah padaku sesuatu yang dapat kau pancing dengan godaanmu?”

Jawab Iblis, “Tidak ada. Hanya pernah terjadi pada suatu malam, engkau makan agak kenyang, dan kami dapat menarikmu sehingga engkau merasa berat mengerjakan solat.”

Nabi Yahya AS berkata, “Kalau begitu, aku tidak akan makan terlalu kenyang lagi selama hidupku.”

Kata Iblis, “Wah, menyesal sekali aku buka rahsia ini. Lain kali, aku tidak akan menceritakan lagi rahsia ini, walau kepada siapa pun!”

Lihatlah, bagaimana halnya dengan orang yang perutnya selalu kenyang dan tidak pernah merasakan kelaparan?!

Sufyan al-Thauri rahimahullah berkata, “Ibadah itu ibarat perusahaan yang menguntungkan. Kedainya adalah khalwah dan alatnya adalah berlapar.”

  • Terlalu banyak makan akan menghilangkan manisnya beribadah,

Abu Bakar al-Siddiq RA mengatakan, “Semenjak aku memeluk Islam, belum pernah aku merasakan kenyang, kerana aku ingin mengecap manisnya beribadah. Dan belum pernah aku banyak minum, kerana kerinduanku kepada Tuhanku.”

Begitulah sifat orang yang telah sampai pada darjat mukasyafah, dan Abu Bakar al-Siddiq telah sampai kepada martabat itu. Sebagaimana yang diisyaratkan oleh Nabi Muhammad SAW:

مَا فَضَلَكُمْ أَبُو بَكْرٍ بِفَضْلِ صَوْمٍ أَوْ صَلَاةٍ، وَإِنَّمَا هُوَ بِشَيْءٍ وَقَرَ فِي صَدْرِهِ

Maksudnya: Abu Bakar tidak melebihi kalian dengan semata banyaknya solat atau puasa, namun beliau mengatasi kalian dengan sesuatu yang tersemat kukuh dalam dadanya.

Riwayat al-Hakim al-Tirmidzi di dalam Nawadir al-Usul (1299), al-’Ajluni di dalam Kasyf al-Khafa’ (2/190) menerusi perkataan Bakr ibn ‘Abdillah al-Muzani.

Manakala, (Abu Sulaiman) al-Darani berkata, “‘Ibadah yang paling manis adalah ketika perut merapat dengan punggung (berlapar dan dahaga).”

  • Banyak makan, akan menjerumuskan pada perbuatan syubhat dan haram,

Hal ini kerana, sesuatu yang halal hanya dimaksudkan sebagai bekal asas semata. Sebagaimana diriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW,

إنَّ الْحَلَالَ لَا يَأْتِيكَ إِلَّا قُوتًا، وَالْحَرَامَ يَأْتِيكَ جُزَفًا جُزَفًا

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu tidak datang kepadamu melainkan sebagai bekal asas semata. Manakala, yang haram datang kepadamu dalam keadaan melimpah ruah.”[1]

  • Terlalu banyak makan dapat mengakibatkan hati lelah, dan tubuh yang letih akibat hanya mencari nafkah.

Kelelahan untuk mempersiapkannya, misalnya harus memasak, dan pelbagai langkah penyediaan makanan. Juga, memerlukan kita untuk berfikir dan menghitung bahan dan sukatan tatkala mempersiapkan makanan. Berapa banyak garamnya, bahannya ini dan itu dan sebagainya. Adanya bermacam-macam pekerjaan juga setelah makan seperti mencungkil gigi, mencuci peralatan makan, dan sebagainya.

Banyak makan juga mendatangkan gejala-gejala atau kebiasaan yang kurang baik, seperti menjadi malas beribadah yang akan mengakibatkan: tidak mampu untuk berada dalam keadaan selalu dalam keadaan taharah dan tidak cepat batal wudu’, kerana sering ingin membuang air, buang angin, dan sebagainya.

Ia juga mengakibatkan kita berada dalam keadaan kurang baik untuk melaksanakan i’tikaf (berdiam diri di dalam masjid), sebab terpaksa harus sering keluar dari masjid.

Banyak makan akan membuatkan kita merasakan kesulitan ketika mengerjakan puasa, kerana tidak terbiasa berlapar.

Padahal, puasa, i’tikaf, dawam al-taharah, dan memanfaatkan waktu mubah untuk beribadah mendatangkan keuntungan dan pahala yang begitu banyak sekali. Akan tetapi, hal itu seringkali diremehkan, terutama orang-orang yang tidak mengetahui nilai agama. Bahkan sebahagian orang berpendapat, agama hanyalah untuk akhirat semata.

Rasulullah SAW bersabda:

أَصْلُ كُلِّ دَاءٍ البَرَدَةُ (يعني التُّخَمةَ) وَأَصْلُ كُلِّ دَوَاءٍ الأَزْمَةُ (يَعْنِي الْحِمْيَةَ)

Maksudnya: Pangkal segala penyakit adalah sikap rakus. Dan pangkal segala ubat adalah berpantang.[2]

Malik ibn Dinar pernah berkata, “Wahai saudara-saudaraku sekalian ahli Basrah, kerana terlalu banyak makanlah, kita terpaksa kerap pergi ke tandas, kerana itu kita malu dengan Tuhan. Oleh yang demikian, aku berharap Allah memberikan kecukupan makan kepadaku hanya cukup untuk menjilatkan lidah pada batu kerikil sehingga aku mati.”

Manakala, keadaan manusia secara umumnya selalu mencari kesenangan dunia, walaupun yang kita cari itu tidak bermanfaat untuk akhirat. Sebab, kita bersifat tamak dan suka menyia-nyiakan waktu hanya untuk makan, makan dan makan sahaja!

  • Terlalu banyak makan pasti akan memberatkan urusan di akhirat kelak. Selain itu, banyak makan akan menyukarkan sakarat al-mawt.

Dalam riwayat ada dinyatakan: “Sakitnya sakarat al-maut itu ditentukan dengan berapa banyak atau sedikitnya kenikmatan dunia yang seseorang itu dapat.” Maka, sesiapa yang banyak menikmati kesenangan dunia, bererti banyak juga dia akan menerima kepayahan di akhirat.

Maksudnya, jika pada masa hidupnya seseorang itu banyak bersenang-lenang, maka tatkala sakarat al-maut kelak, dia akan merasakan sangat sakit, kerana merasa sedih meninggalkan kesenangan dunia itu.

  • Terlalu banyak makan mengakibatkan berkurangnya pahala,

Allah SWT berfirman:

أَذْهَبْتُمْ طَيِّبَاتِكُمْ فِي حَيَاتِكُمُ الدُّنْيَا

Maksudnya: (Dan ingatlah, semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka serta dikatakan kepada mereka): “Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu.”

(Surah al-Ahqaf: 20)

Jika seseorang hanya meneguk kenikmatan dunia, maka kenikmatan akhiratnya akan berkurang.

Dengan makna seperti itu, Allah SWT tatkala menawarkan dunia kepada Rasulullah SAW Dia berfirman kepada: “Ambillah segenap kesenangan dunia ini, dan pahalamu di akhirat tidak akan berkurang sedikit pun.” Hal itu dikhususkan Allah hanya kepada Rasulullah. Hal ini bererti, orang yang bersenang-senang di dunia, akan berkurang pula kenikmatan akhiratnya, kecuali jika Allah melimpahkan kurnia-Nya yang khusus.

Ada satu riwayat menceritakan, Khalid bin al-Walid menjamu ‘Umar bin al-Khattab dengan makanan yang lazat.

Maka, ‘Umar bin al-Khattab berkata, “Makanan lazat ini sekarang kita yang makan. Tetapi, bagaimana pula nasib orang-orang fakir dalam kalangan sahabat Muhajirin yang meninggal dalam keadaan belum pernah kenyang dan berpada dengan makan roti sya’ir (roti kasar)?”

Khalid bin al-Walid menjawab, “Ya Amirul Mu’minin, bagi mereka itu ada syurga, dan kini mereka telah mendapatkan habuannya tersebut.”

Lantas, ‘Umar bin al-Khattab berkata, “Jika mereka telah masuk syurga, dan kita hanya sekadar mendapatkan makanan lazat ini, celakalah kita. Kerana, perbezaan antara mereka dengan kita adalah sangat jauh!”

‘Umar bin al-Khattab juga berpendapat, bahawa jika bermewah-mewahan di dunia, maka kenikmatan akhiratnya akan berkurang.

Diriwayatkan juga, pada suatu hari ‘Umar bin al-Khattab berasa haus. Kemudian, beliau meminta segelas air daripada seseorang, dan orang itu pun memberikan minuman yang dicampur beberapa biji anggur kepada ‘Umar.

Ketika ‘Umar meneguknya, dirasakannya air itu dingin dan sangat manis, sehingga ‘Umar berhenti minum seraya berkata, “Aduhai!”

Ucapan ‘Umar itu membuatkan tuan rumah menyangka airnya kurang manis. Maka, lelaki itu berkata, “Aku telah berusaha membuat air itu manis, wahai Amir al-Mu’minin.”

‘Umar bin al-Khattab menjawab, “Bahkan kerana manisnya itu-lah aku mengaduh! Celaka engkau, seandainya tidak ada akhirat, aku akan bersamamu bersenang-senang di sini.” lanjut Umar dengan merasakan begitu sebak dan sedih.

  • Makan dengan berlebih-lebihan meskipun halal, Allah kelak tetap akan menanyakannya. Dari mana ia mendapatkan yang halal itu, kelak akan dihisab dan dipertanggungjawabkan. (Lihat Minhaj al-’Abidin, 212-220)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

 

Nota Hujung:

[1] Kami belum menemui rekod penisbahan ini kepada Rasulullah atau mana-mana tokoh salaf di dalam mana-mana ensiklopedia rekod Hadith yang sampai kepada kita.

[2] Ibn ‘Adi di dalam al-Kamil (2/83), Murtada al-Zabidi menukilkan di dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin (7/400) daripada riwayat al-Khallal menerusi hadith ‘Aisyah RA:

الأزم دواء والمعدة بيت الداء وعودوا بدنا ما اعتاد

“Berpantang itu ubatnya, makan semua benda adalah punca penyakit. Biasakanlah perut dengan perkara biasa sahaja.”