#7200: Hukum Syarak dan Hukum Wara’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah ada pertentangan antara hukum wara’ dengan hukum syara’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

(Surah al-Fatihah: 5)

Imam Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat ini menyebut bahawa lafaz ‘إِيَّاكَ’ diletakkan di permulaan ayat dan diulang penggunaannya untuk menekankan bahawa hanya kepada Allah SWT kami menyembah, hanya kepada Allah kami bertawakkal, menyerahkan segala urusan, dan tidak akan sesekali kami bertawakkal melainkan kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/28)

Kami nukilkan di sini beberapa kalam ulama tasawuf berkenaan wara’ seperti berikut:

  • Al-Qusyairi menukilkan bahawa ustaz al-Imam berkata:

أَمَّا الْوَرَع فَإِنَّهُ ترك الشُّبهَات

Maksudnya: “Yang dimaksud wara’ adalah meninggalkan perkara-perkara yang syubhat.”

  • Ibrahim bin Adham berkata:

الْوَرَعُ تَرْكُ كُلِّ شُبْهَةٍ، وَتَرْكُ مَالَا يَعْنِيكَ هُوَ تَرْكُ الْفَضَلَاتِ

Maksudnya: “Yang dimaksud wara’ adalah meninggalkan segala perkara yang syubhah dan yang tidak pasti. Dan meninggalkan apa yang tiada kena mengena denganmu adalah meninggalkan apa yang lebih (daripada yang menjadi keperluan). (Lihat Madarij al-Salikin, 2/24)

  • Al-Syibli berkata:

الْوَرَعُ أَنْ تَتَوَرَّعَ عَنْ كُلِّ مَا سِوَى اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Wara’ ialah usaha untuk menghindarkan diri daripada pelbagai hal yang tidak berkaitan dengan Allah SWT.”

Imam al-Ghazali berkata: Perlu kita ketahui, hukum syara’ itu dasarnya kemudahan dan kemaafan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

بُعِثْتُ بالحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ

Maksudnya: Aku diutuskan untuk membawa agama yang tidak memberatkan serta banyak memaafkan (toleransi).[1]

Adapun hukum wara’, dalam menjalankannya, ia adalah sangat sulit dan harus berhati-hati. Ada peribahasa mengatakan, “Suatu keadaan yang dilazimkan ke atas muttaqin lebih sukar berbanding menghitung sembilan puluh menggunakan jemari.” Dan pada hakikatnya, wara’ dan syara’ itu satu; kerana wara’ adalah sebahagian daripada syara’.

Akan tetapi hukum syara’ itu ada dua: hukum yang meringankan dan membolehkan, dan hukum yang lebih tertib dan lebih berhati-hati. Hukum yang membolehkan dipanggil (asal) hukum syara’, manakala hukum yang menuntut berhati-hati dan lebih baik itu dipanggil hukum wara’, kedua-duanya meski berbeza, hakikatnya adalah satu entiti yang sama. Fahami perkara ini dengan baik.

Perlu diketahui, jalan menuju wara’ memang amat sulit. Jadi orang yang berkeinginan untuk mencapainya harus kuat dan teguh menjalani kesulitan. Jika tidak, tidak akan sempurna wara’-nya, Oleh kerana itu, banyak ahli wara’ pada zaman dahulu pergi ke gunung-gunung Lubnan dan sebagainya. Di sana, mereka cukup makan rumput dan buah-buahan yang tidak begitu lazat, namun bersih dari segala macam syubhat.

Barangsiapa yang tekad niat dan kemahuannya untuk mencapai darjat wara’ yang luhur itu, maka dia wajib menanggung kepayahan dan harus sabar dalam penderitaan. Kemudian, menempuh jalannya demi mendapatkannya.

Jika mereka berada di tengah masyarakat, dan makan makanan mereka, hendaklah berhati-hati, ibarat sedang menghadap bangkai. Tidak menyentuhnya, kecuali dalam keadaan terpaksa, mengambil sekadarnya sebagai kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Dengan demikian, ia dihukumkan semisal dalam keadaan uzur, dan dibolehkan mengambilnya meskipun asal barang itu berstatus syubhat. Kerana, sesungguhnya Allah suka untuk memberi keuzuran dan kemaafan.

Hasan al-Basri rahimahullah berkata,

فَسَدَ السُّوْقُ فَعَلَيْكُمْ بِالْقُوْتِ

Maksudnya: Telah rosak sudah semua pergaulan di pasar kerana khianat dan sebagainya. Maka ambillah untukmu sekadar untuk keperluan untuk hidup sahaja!

Telah diriwayatkan, Wahb ibn al-Ward RA pernah berlapar dalam waktu sehari, dua hari, atau tiga hari, lantas mengambil sepotong roti dan berkata, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku tidak kuat beribadah dan takut menjadi lemah sehingga tidak kuat langsung untuk beribadah. Jikalau tidak kerana aku takut menjadi lemah, aku tidak akan memakan roti ini. Untuk itu, ya Allah, sekiranya terdapat syubhat dalam roti ini atau keharaman, semoga ia tidak menyebabkan aku diseksa kelak.” kemudian beliau membasahi roti itu dan memakannya.

Kedua jalan di atas, iaitu menanggung kesulitan dan kepayahan, dan juga jalan untuk mengambil sekadarnya sebagai penguat diri untuk meneruskan hidup dalam ketaatan, hanya berlaku bagi golongan yang telah mencapai darjat tinggi dalam hal wara’.

Adapun bagi yang belum mencapai darjat tinggi, harus pula berhati-hati dan meneliti seperlunya, dan bagi mereka terdapat pula bahagian wara’ sesuai dengan darjat masing-masing dalam kewarakan.

Sesuai dengan kadar kesulitannya, akan tercapailah segala apa yang dicita-citakan. Allah tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik, dan Allah Maha Mengetahui segala perbuatan mereka. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 226-227)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya:Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Ahmad bin Hanbal di dalam al-Musnad (5/266), ar-Ruyani di dalam al-Musnad (1279), al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (8/216) menerusi hadith Abu Umamah al-Bahili RA.