#7209: Nampak Paha Dalam Kain Ketika Sujud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Solat pakai kain tapi nampak paha melalui kain tu masa sujud. Sah atau tidak solat tersebut? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi menjawab kemusykilan di atas, kami bawakan hadith riwayat Umm al-Mu’minin Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُقْبَلُ صَلَاةُ الحَائِضِ إِلَّا بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Tidak diterima solat seorang wanita berhaid itu (dan juga setiap orang yang hendak bersolat) melainkan dalam keadaan dirinya memakai khimar (tudung, iaitu menutup auratnya).”

Riwayat Abu Daud (641), al-Tirmizi (377), Ahmad di dalam al-Musnad (25167); al-Hakim (836); Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan dan kata: Ia diamalkan oleh fuqaha’ dalam al-Jami‘ (2/215); Imam al-Hakim menilai hadith ini sahih menurut syarat Imam Muslim dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayn (836)

Imam Abu Bakr Syata al-Dimyati menjelaskan maksud hadith di atas: “Yang dimaksudkan dengan “الْحَائِضُ” adalah wanita yang sudah baligh, iaitu wanita yang sudah keluar darah haid. Bukannya wanita yang sedang mengalami haid. Sepertimana kita maklum, solat wanita yang haid itu tertolak; sama ada dia memakai khimar atau pun tidak memakainya.” (Lihat I‘anah al-Talibin fi hilli Alfaz Fath al-Mu‘in, 1/133)

Berhubung soalan di atas, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ashab al-Hawasyi fuqaha muta’akhkhirin di dalam mazhab al-Syafi‘iyyah seperti berikut:

  • Solatnya batal, sepertimana usul yang dinyatakan oleh Imam ‘Ali al-Syibramalisi
  • Solatnya tetap sah, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam ‘Abd al-Hamid al-Syirwani.

Kami cenderung menyatakan bahawa solat tersebut sah. Hal ini kerana aurat masih ditutup, dan aurat hanya boleh dilihat dengan kedekatan yang terlampau dan mengintai lihat dari arah belakang ke dalam pakaian yang menutupinya.

Alasannya, aurat adalah apa yang kelihatan ketika kita sedang berinteraksi, melihat dan bercakap dengan seseorang atau diistilahkan sebagai majlis al-takhatub (majlis perbualan, iaitu pandangan berhadapan secara normal antara dua orang). Peha, lutut hanya akan nampak sekiranya pelihat itu mengintai ke dalam kain. Dalam keadaaan biasa, ia tidak boleh digapai dengan mata kasar.

Al-‘Allamah ‘Abd al-Hamid al-Syirwani al-Daghestani rahimahullah berkata:

“Iaitu dalam keadaan majlis al-takhatub, sepertimana yang digariskan oleh Ibn ‘Ajil, ini termaktub di dalam Hasyiah al-Nasyiri. Aurat yang wajib ditutup ialah aurat yang boleh dilihat ketika majlis perbualan, iaitu pandangan berhadapan secara normal antara dua orang; jika seseorang berada dalam keadaan terlalu dan terlampau dekat sehingga boleh nampak aurat (seperti warna kulit) (maka ia tidak dikira mendedahkan aurat).” (Lihat Hasyiah al-Syirwani ‘ala al-Tuhfah, 2/112)

Manakala, al- ‘Allamah ‘Ali al-Syibramalisi pula berpendapat bahawa aurat wajib dijaga meskipun daripada pandangan arah bawah, yang dilihat dari arah belakang. Imam al-Syibramalisi berkata:

“Namun, tetap wajib untuk berhati-hati ketika sujud, untuk mengelakkan keadaan baju menyingkap tapak kaki (sehingga boleh dilihat dari belakang); hal ini membatalkan solat maka perlu wajib diberi perhatian.” (Lihat Hasyiah al-Syibramallisi ‘ala al-Nihayah, 2/8)

Maka, pihak yang mengatakan solat tersebut batal mengambil nas di atas lantas diqiyaskan dengan bahagian paha yang boleh dilihat daripada arah belakang bagi lelaki sahaja ketika dirinya dalam keadaan bersujud.

Kesimpulannya, berkenaan perkara ini kami tegaskan bahawa, sekiranya aurat tersebut tersingkap sehingga dilihat oleh mata kasar secara langsung, sama ada mata sendiri atau dari sudut pandangan mata orang lain; maka solatnya terbatal. Hal ini kerana auratnya sudah tersingkap dan terdedah.

Namun, sekiranya paha tersebut sudah ditutup, dan hanya boleh dilihat menerusi intaian dan penglihatan secara menyelinap masuk ke dalam lubang/bukaan pakaian, ini tidak dikira mendedahkan aurat dan tidak membatalkan solat. Ia tidak dinamakan sebagai tersingkap atau terdedah. Aurat masih tertutup, hanya sahaja ia mampu dilihat apabila penglihatan memasuki pakaian.

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman yang baik serta kefaqihan dalam beragama kepada kita semua. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى شُكْرِكَ، وَذِكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, bantulah kami untuk mensyukuri nikmat-Mu, sentiasa mengingati-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan cara yang terbaik.”

Riwayat Ahmad (7969)

Wallahu a‘lam.