#7212: Keadaan Rasa Takut Lebih Utama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah sepatutnya seseorang merasa takut kepada Allah lebih utama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya: Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

(Surah al-Sajdah: 16)

Al-Syaukani berkata: Terdapat pendapat mengatakan maknanya adalah mereka tidak tidur sebelum melakukan solat Isya. Dan pendapat lain mengatakan maknanya adalah mereka orang-orang yang bangun dari tempat tidurnya pada malam hari untuk melakukan solat tahajjud. (Lihat Fath al-Qadir, 4/221)

Ketahuilah, Sesungguhnya bagi seorang hamba yang sihat dan kuat, “rasa takut” itu lebih utama. Dan apabila dia dalam keadaan yang sakit dan lemah, lebih-lebih lagi apabila dia lebih cenderung kepada akhirat, maka “harapan” itu akan jadi lebih utama baginya. Sebagaimana para ulama katakan yang aku telah dengar.

Aku katakan: Dalam sebuah hadith qudsi, Allah SWT berfirman:

أَنَا عِنْدَ الْمُنْكَسِرَةِ قُلُوبُهُمْ مِنْ مَّحَافَتِي

Maksudnya: “Aku berada di sisi orang yang hancur hatinya kerana takut kepada-Ku.”

Riwayat Ahmad dalam al-Zuhd (hlm. 95) dan Abu Nu’aim dalam al-Hilyah (6/177)

Pada situasi seperti itu, harapan lebih sesuai, kerana ketika itu hatinya sedang hancur. Sebaliknya, di saat hati kita sihat dan normal, maka ‘rasa takut” boleh lebih menguasai di hati dan fikiran manusia. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 286-287)

Maka Allah SWT berfirman kepada mereka:

 أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا

Maksudnya: “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita..”

(Surah al-Fussilat: 30)

Al-Syaukani berkata:  أَلَّا تَخَافُوا iaitu terhadap urusan akhirat yang akan kamu hadapi.  وَلَا تَحْزَنُوا  iaitu terhadap urusan dunia yang kamu tinggalkan berupa isteri, anak, dan harta. (Lihat Fath al-Qadir, 4/392)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”