#7215: Penyakit Riya’: Cara Menyembuhnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, mengikut pandangan Imam al-Ghazali, bagaimana kita mengubati penyakit riya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan, Imam al-Ghazali menyebut:

Adapun, untuk mengubati penyakit riya’, ada empat prinsip yang harus diperhatikan.

Prinsip pertama: Mempelajari dan mentaati perintah yang tercantum dalam Al-Qur’an. Allah SWT telah berfirman:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَمِنَ الْأَرْضِ مِثْلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الْأَمْرُ بَيْنَهُنَّ لِتَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا

Maksudnya: “Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.”[1]

(Surah at-Talaq: 12)

Seakan-akan dalam ayat tersebut Allah SWT berfirman:

“Aku telah menciptakan langit dan bumi berikut seluruh yang ada di antara keduanya dalam segala bentuk serta keindahannya. Dan cukup bagimu dengan melihatnya untuk mengetahui bahawa Aku adalah Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui. Sementara kamu, dalam melakukan solat dua rakaat sahaja pun sudah banyak berbuat kesilapan. Kamu tidak puas jika solatmu hanya diawasi oleh Allah SWT, yang mungkin sahaja memberi pujian pada ibadahmu itu. Kamu malah berharap orang-orang memperhatikan solatmu, dan memujinya. Apakah itu berarti kamu setia dan baik kepada-Ku? Kalau kamu berfikiran seperti itu, bererti kamu seorang yang bodoh.”

Prinsip kedua: Ada seseorang yang memiliki permata berharga, yang sebenarnya boleh dijual dengan harga beribu-ribu dinar, namun ia melepaskannya dengan harga satu sen. Bukankah itu kerugian yang besar baginya? Mereka pun pasti akan menganggapnya sebagai orang yang sangat bodoh. Ini juga mencerminkan betapa buruknya selera, sempitnya ilmu, lemah pandangan dan  ceteknya fikiran?

Dengan cara yang sama, kita melihat seseorang yang dipuji setinggi langit oleh masyarakat. Padahal, semua pujian itu tidak ada apa-apa dibandingkan dengan balasan dan pahala dari Allah SWT, dan pujian-Nya bagi amal perbuatan yang dilakukan orang itu. Lebih dari itu, seluruh harta dan kekayaan yang dimiliki oleh alam semesta ini tidak ada nilainya sama sekali dibandingkan dengan harta dan kekayaan Allah SWT. Maka, kerugian besar bagimu apabila kamu membeli benda-benda duniawi yang bernilai itu dengan berkat dari Allah SWT yang tidak ternilai harganya.

Dengan demikian, bukankah ia merupakan kerugian yang nyata apabila kamu melewatkan dirimu dari kemuliaan-kemuliaan yang berharga tersebut hanya dengan perkara-perkara yang hina dan rendah ini? Lalu, jika kamu sulit melepaskan diri dari kemahuan yang buruk, maka kembalilah pada akhirat, nescaya kamu akan diikuti oleh dunia. Bersandarlah pada Tuhanmu yang esa sahaja, nescaya kamu akan diberikan dunia sekaligus akhirat. Hal ini kerana Dialah yang memiliki keduanya. Hal itu sesuai dengan firman-Nya:

مَّن كَانَ يُرِيدُ ثَوَابَ الدُّنْيَا فَعِندَ اللَّهِ ثَوَابُ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا بَصِيرًا ‎

Maksudnya: “Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat.”[2]

(Surah al-Nisa’: 134)

Dan Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعْطِي الدُّنْيَا بِعَمَلِ الْأَخِرَةِ، وَلَا يُعْطِي الْآخِرَةَ بِعَمَلِ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah benar-benar akan memberikan dunia dengan amalan untuk akhirat, dan Dia tidak akan memberikan akhirat kerana amal yang ditujukan untuk dunia.”[3]

Jadi, apabila kamu mengikhlaskan niat dan mencurahkan keinginan untuk tujuan akhirat, nescaya kamu akan mendapatkan akhirat dan dunia secara bersama. Namun, apabila kamu hanya menginginkan dunia, maka akan hilang akhirat itu darimu pada saat yang sama. Dan barangkali kamu tidak akan mendapatkan dunia itu seperti yang kamu inginkan. Jika kamu mendapatkannya, maka ia tidak akan kekal bagimu. Sehingga dengan demikian kamu mengalami kerugian dunia dan akhirat sekaligus. Maka, renungkanlah baik-baik wahai orang yang berakal!

Prinsip yang ketiga: Janganlah kamu beramal atau berbuat sesuatu demi orang tertentu, di mana orang itu mungkin malah berasa keberatan dan tidak senang kerananya. Sekiranya ia tahu bahwa kamu beramal kerananya, maka tentu ia akan marah kepadamu, benci, serta memandangmu hina dan rendah. Lalu bagaimana boleh seseorang yang berakal itu beramal demi orang yang reaksinya seperti itu?

Oleh kerana itu, beramallah hanya demi Allah SWT yang jika kamu beramal kerana-Nya dan menuju kepada-Nya dengan usahamu, serta hanya mencari keredhaan-Nya dengan hal itu, nescaya Dia akan mencintaimu, memberimu dan memuliakanmu, sehingga membuatmu reda dan tidak perlu terhadap yang lain. Inilah penjelasannya.

Prinsip keempat: Ada seseorang yang tahu rahsia yang mana boleh membuat senang seorang raja, dan membuatnya boleh dekat dengan sang raja. Namun, orang itu memilih untuk sibuk menarik perhatian orang-orang biasa. Orang itu pasti akan dianggap bodoh dan tidak bijaksana. Sebaliknya, bagaimana keadaannya apabila orang itu telah membuat raja tidak berpuas hati, dibandingkan apabila dia membuat orang biasa tidak sepuas hati? Inilah keadaan orang yang riya’. Mengapa ia memilih untuk menyenangkan orang-orang biasa, yang rendah, lemah, dan hina, padahal ia punya kemampuan untuk menyenangkan Maha Raja Yang Menguasai dunia dan akhirat, iaitu Allah SWT?

Apabila berfikiran bodoh, bahawa kamu masih memerlukan keredhaan makhluk di samping keredhaan Allah SWT, maka kamu harus menjaga niatmu agar tetap murni dan ikhlas untuk Allah SWT. Hal ini kerana semua hati manusia itu ada dalam kekuasaan-Nya. Dia boleh mengalihkan hati mereka kepadamu dan membuat mereka simpati kepadamu. Di sisi lain, jika kamu tidak mahu mengikuti jalan ini, dan kamu tetap beramal baik agar disenangi orang lain, maka Allah SWT juga dengan mudah boleh membuatkan hati orang- orang itu jengkel dan tidak suka denganmu. Maka, dengan mengikuti jalan bodoh tersebut, kamu bukan sahaja dibenci oleh Allah SWT, tetapi dibenci oleh manusia. Maka, kamu akan menderita kerugian di dunia dan akhirat!

Diriwayatkan bahawa Hasan al-Basri berkata, “Ada seorang lelaki mengatakan, ‘Demi Allah, aku benar- benar akan menyembah Allah SWT dengan ibadah yang aku akan diingat oleh manusia.’ Ia kemudian menjadi orang yang pertama masuk masjid dan paling akhir keluar. Maka setiap dia dilihat oleh seseorang, dia terus berdiri untuk mengerjakan solat. Dia tidak pernah meninggalkan puasa dan mengikuti halaqah-halaqah zikir. Dan dia terus dalam keadaan demikian sehingga tujuh bulan. Namun, setiap kali dia melalui kerumunan orang, mereka justeru berkata, ‘Dia itu orang yang riya’.’ Dia pun kemudian mencela dirinya dan mengatakan: Aku melihat diriku tidak mendapatkan apa-apa. Mulai saat ini, aku akan benar-benar menjadikan seluruh amalku untuk Allah SWT. Dan dia tidak melebihkan amalnya sedikit pun dari amal yang pernah dilakukan sebelumnya. Hanya, dia mengubah niatnya kepada kebaikan. Dan setelah itu, ketika dia melalui di hadapan orang, mereka mengatakan, ‘Semoga Allah SWT merahmatinya. Sekarang dia telah berbuat kebaikan.”

Kemudian Hasan membaca,

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمَٰنُ وُدًّا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.”[4]

(Surah Maryam: 96)

Hasan kemudian mengatakan, “Allah SWT mencintainya dan menjadikan ia dicintai oleh orang-orang yang beriman.”[5]

Syair:

يَا مُبْتَغِي الحَمْدَ وَالثَّوَابَا …فِي عَمَلٍ تَبْتَغِي مُحَالَا

قَدْ خِيبَ الله ذَا رِيَاءِ…..وَأَبْطَلَ السَعْيَ وَالكَلَالَا

مَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِ….. أَخْلَصُ مِن خُوفِهِ الفِعِالَا

الخُلْدُ وَالنَّارُ فِي يَدَيْهِ…. فِرَائُهُ يُعْطِكَ النَّوَالَا

وَالنَّاسُ لَا يَمْلِكُونَ شَيئًا…..فَكَيْفَ رَاءَيْتَهُمْ ضَلَالا

“Hai yang mencari pujian dan pahala,

            Pada amalan kamu mencari yang mustahil,

Sesungguhnya Allah menghina orang yang mempunyai riya,’

            Yang berusaha atas kebatilan dan berpenat lelah

Siapa yg mengharapkan pertemuan dengan tuhan,

            Dia pasti mengikhlaskan rasa takutnya, dalam bentuk amalan,

Syurga dan neraka di tanganNya,

Maka lihatlah apakah kurniaan Allah kepadamu,

Sedangkan manusia tidak memiliki sesuatu

Bagaimana kamu melihat mereka dalam kesesatan.”

(Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 310-313)

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah, semoga Allah datangkan keikhlasan dalam ibadat kita:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِçنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Nota Hujung:

[1] Firman-Nya, ‘لِتَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ’, maksudnya adalah, agar kamu semua mengetahui bahawa Allah berkuasa atas segala (sesuatu). Allah menurunkan keputusan dan perintah-Nya di semua tempat itu agar manusia mengetahui betapa besar kekuatan dan kekuasaan Allah. Dia juga tidak pernah lemah untuk mengerjakan apa pun, dan tidak ada yang mampu menghalang-Nya. Sungguh, Dia Maha Berkuasa melakukan apa pun yang Dia kehendaki. Firman-Nya, ‘وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا’, maksudnya adalah, agar kamu semua mengetahui, wahai manusia, bahawa pengetahuan Allah meliputi seluruh makhluk. Tidak ada walaupun hanya sebesar atom, yang boleh luput dari pengetahuan-Nya, baik di bumi mahu pun di langit, baik yang kecil maupun yang besar. Allah ingin mengatakan, “Oleh kerana itu, takutlah kepada Allah, wahai orang-orang yang menentang perintah Allah, kerana kamu semua akan mendapatkan seksa. Tidak ada yang mampu mencegah seksa-Nya, dan Dia Maha Kuasa untuk melakukan itu. Dia juga mengetahui semua perbuatan kamu, dan Dia tetap akan memperhitungkan hal itu agar dapat memberikan balasan yang setimpal pada hari semua jiwa mendapatkan balasan dari perbuatannya.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 24/196)

[2] Maksud ayat ini adalah, “Barangsiapa melakukan pekerjaan di dunia – dari golongan munafik – yang menghendaki balasan di dunia, maka Allah akan memberikan balasan perbuatannya itu dengan balasan dunia, serta memberikan balasannya di akhirat dengan balasan akhirat, berupa seksaan yang pedih, kerana Allah Maha Kuasa untuk melakukan semua itu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 6/878)

[3] Lihat Musnad al-Syihab, 1108; al-Zuhd, 549.

[4] Maksudnya adalah, sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mempercayai apa yang dibawa oleh mereka dari Tuhan mereka, lalu mereka mengamalkannya; menghalalkan apa yang dihalalkannya dan mengharamkan apa yang diharamkannya, maka Allah akan menjadikan bagi mereka di dunia rasa kasih sayang yang tumbuh di dalam hati. (Lihat Jami’ al-Bayan, 16/710)

[5] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/140.