#7230: Memotong Rambut sebelum Korban kerana Arahan Ketua

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mohon pencerahan, hukum orang yang ingin melakukan korban adakah dia boleh bercukur atau bergunting? Sekiranya dia anggota (polis/tentera), adakah dia perlu mengikut arahan atasannya untuk bergunting dan bercukur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, apabila bermulanya 1 Zulhijjah, seseorang yang berazam melakukan sembelihan korban, sunat baginya supaya tidak menghilangkan bulunya seperti rambut, janggut, misai dan lain-lain dan kukunya sehingga dilakukan penyembelihan. Oleh itu hendaklah menjaga daripada memotong apa-apa bulu di badannya mahupun kukunya dengan baik. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/236; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/487)

Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai melakukan korban.

Riwayat Muslim (1977)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, sebahagian ulama memahaminya sebagai haram untuk memotong rambut, mencabut bulu-bulu yang ada di badan serta memotong kuku sehinggalah dia selesai melakukan korban. Ini merupakan pendapat Sa‘id bin al-Musayyib, Rabi‘ah, Ahmad, Ishaq, Daud dan sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Manakala Imam al-Syafi‘i dan ashabnya yang lain berpendapat bahawa larangan tersebut adalah makruh tanzih dan bukannya haram. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 13/138.)

Walau bagaimanapun, perintah tersebut bukanlah wajib (yakni tidak boleh menghilangkan apa-apa bulu dan memotong kuku) kerana dia bukanlah dalam keadaan berihram, sebaliknya perintah larangan tersebut difahami sebagai makruh tanzih. Hikmahnya adalah supaya setiap juzuk anggotanya kekal dalam keadaan sempurna agar semuanya dibebaskan daripada api neraka. Dikatakan kerana dia menyerupai orang yang dalam keadaan berihram dari satu sudut (yang diharamkan untuk bergunting, mencukur, memotong kuku dan beberapa larangan lain). (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/487)

Justeru, dapat difahami bahawa hukum kemakruhan menghilangkan bulu dan memotong kuku bagi orang yang melakukan korban terangkat dengan sembelihan haiwan korban.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sunat untuk tidak memotong rambut dan kuku sehinggalah haiwan korbannya disembelih. Maka, hukum memotongnya sebelum korban adalah makruh. Namun begitu, dalam situasi anda, apabila anda menyertai anggota seperti polis, tentera dan seumpamanya, maka anda perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh ketua. Hal ini kerana setiap tempat itu mempunyai etika dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh anggota/pekerja, selagimana ianya tidak bertentangan dengan hukum syarak. Dalam hal ini, bolehlah diberi kefahaman kepada pemerintah atau ketua untuk ditangguhkan sekejap atas alasan untuk meraikan nas hadith dan dengan cara itu kedua-duanya dapat diharmonikan dengan baik. Itulah yang lebih afdhal dan baik.

 Sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.

(Surah Al-Nisa’: 59)

Sebahagian ulama tafsir dalam kupasan mereka terhadap ayat di atas ini menyatakan bahawa ketaatan kepada ulil amri hanyalah terikat dengan ketaatan mereka kepada Allah S.W.T serta Rasul-Nya S.A.W. Justeru, ketaatan kepada arahan para pemerintah adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang makruf sahaja. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

 السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya : Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada maksiat maka tidak wajib dengar dan taat (pada arahan tersebut).

Riwayat Al-Bukhari (2955)

Oleh itu, dalam isu anda kami katakan, ianya perlu untuk anda mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh ketua anda. Kami yakin dan percaya, ketua yang memahami nas al-Quran dan hadith, serta diberi kefahaman boleh berkompromi dalam isu ini bahkan akan memberi sedikit ruang untuk dipatuhi seupaya mungkin perintah Rasulullah SAW.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.

Wallahua`lam.