#7231: Adakah Duit Tabung Sedekah, Dikenakan Zakat? 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya soalan, jikalau saya dan keluarga ada buat satu tabung sedekah, seperti Sedekah Subuh, tetapi tabung itu masih kami simpan di rumah sebelum di sedekah pada bila-bila masa, adakah duit dalam tabung sedekah perlu dizakatkan jika cukup haul dan nisab? Terima kasih dato Ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلۡأَحۡبَارِ وَٱلرُّهۡبَانِ لَیَأۡكُلُونَ أَمۡوَ ٰ⁠لَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَیَصُدُّونَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِۗ وَٱلَّذِینَ یَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا یُنفِقُونَهَا فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِیمࣲ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ramai dalam kalangan pendeta Yahudi dan paderi Nasrani itu mereka makan harta orang ramai dengan cara yang batil dan menghalang jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak tanpa menyedekahkannya ke jalan Allah; maka sampaikanlah khabar gembira buat mereka dengan azab seksa neraka yang amat pedih!

(Surah al-Taubah: 34)

Imam al-Ramli mengatakan: “Ini adalah dalil kewajiban zakat pada harta wang yang dimiliki, seterusnya adalah ijma‘ (persepakatan) umat Islam atas pelaksanaannya. Perkataan يَكْنِزُونَ berasal daripada perkataan الْكَنْزُ yang bermaksud: setiap harta yang disimpan sahaja, dan tidak dizakatkan. Allah mengecam perbuatan tersebut. Sesiapa yang menyimpan sahaja harta tanpa menyalurkannya, maka dia telah menafikan hikmat wang diciptakan.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/84)

Allah SWT juga berfirman setelah itu mengecam perbuatan ini dengan azab pedih:

یَوۡمَ یُحۡمَىٰ عَلَیۡهَا فِی نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكۡوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمۡ وَجُنُوبُهُمۡ وَظُهُورُهُمۡۖ هَـٰذَا مَا كَنَزۡتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ فَذُوقُوا۟ مَا كُنتُمۡ تَكۡنِزُونَ

Maksudnya: “(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu maka rasakanlah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

(Surah al-Taubah: 35)

Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ صَاحِبِ ذَهَبٍ، وَلَا فِضَّةٍ، لا يُؤَدِّي مِنْهَا حَقَّهَا إِلَاّ إِذَا كَانَ يَومُ القِيَامَةِ صُفِّحَتْ لَهُ صَفَائِحُ مِنْ نَارٍ، فَأُحْمِيَ عَلَيْهَا في نَارِ جَهَنَّمَ، فَيُكْوَى بِهَا جَنْبُهُ، وَجَبِينُهُ، وَظَهْرُهُ، كُلَّمَا بَرَدَتْ أُعِيدَتْ لَهُ في يَومٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ ألْفَ سَنَةٍ، حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ العِبَادِ فَيَرَى سَبيلَهُ، إمَّا إِلَى الجَنَّةِ، وَإمَّا إِلَى النَّارِ

Maksudnya: “Tidaklah ada ganjaran bagi orang yang memiliki harta emas mahupun perak (simpanan wang) namun tidak menunaikan haknya (zakat), melainkan Allah SWT akan melemparkannya ke dalam api neraka jahanam pada hari kiamat, hingga dahinya, tepinya serta punggungnya dibakar, hinggalah Allah menetapkan keputusan di antara hamba-hamba-Nya di hari yang tempoh lamanya sekitar 50,000 tahun di bumi; kemudian Dia melihat jalannya, baik ke syurga mahupun ke neraka.”

Riwayat al-Bukhari (2371) dan Muslim (987)

Imam al-Nawawi berkata: “Hadith ini merupakan dalil yang begitu jelas bagi zakat harta wang (al-naqdain iaitu emas dan perak, serta yang sama taraf dengannya); tiada sebarang perbezaan pendapat berkenaan kewajibannya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/64)

Wang merupakan harta cair yang boleh digunakan dalam hal pertukaran, ukuran nilai dan tabungan. Wang; dalam bentuk kertas, syiling atau sebagainya, adalah sama dan setaraf dengan emas dan perak sebagai suatu bentuk kekayaan yang memberi kuasa membeli. Wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa serta lain-lain akaun/bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan diwajibkan zakat sekiranya memenuhi syarat-syaratnya.

Nisab zakat wang simpanan adalah bersamaan nilai 85 gram emas yang menyamai lebih kurang RM12,300+, menurut kadar nisab semasa di Wilayah Persekutuan sebagai contoh.

Apabila telah cukup satu haul (setahun) dan simpanan telah menyamai atau melebihi kadar nisab, maka Zakat dikenakan sebanyak 2.5% ke atas jumlah baki akhir simpanan dalam tempoh satu tahun.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya duit tabung sedekah itu disedekahkan ke masjid/surau, maka tidak perlu untuk dizakatkan kerana setiap harta yang bukan di bawah pemilikan individu tertentu dianggap sebagai harta milik umum yang tidak diwajibkan zakat atasnya. Akan tetapi, sekiranya duit sedekah itu digunakan untuk keperluan peribadi, maka ia perlu untuk dizakatkan sekiranya cukup nisab dan haul. Imam al-Nawawi berkata:

إذَا كَانَتْ الْمَاشِيَةُ مَوْقُوفَةً عَلَى جِهَةٍ عَامَّةٍ كَالْفُقَرَاءِ أَوْ الْمَسَاجِدِ أَوْ الْغُزَاةِ أَوْ الْيَتَامَى وَشَبَهِ ذَلِكَ فَلَا زَكَاةَ فِيهَا بِلَا خِلَافٍ , لِأَنَّهُ لَيْسَ لَهَا مَالِكٌ مُعَيَّنٌ

Maksudnya: “Sekiranya binatang ternak yang diwakafkan untuk kepentingan umum seperti (kepada) orang-orang fakir atau masjid atau untuk orang yang berperang atau anak yatim dan yang seumpama dengannya, maka tidak diwajibkan zakat padanya tanpa khilaf. Ini kerana harta tersebut tidak dimiliki oleh individu tertentu.” (Lihat al-Majmu’, 5/313)

Begitu juga, Imam al-Ramli pula menyebut:

وَشَرْطُ وُجُوبِهَا أَيْضًا أَنْ يَكُونَ الْمَالِكُ مُعَيَّنًا ، فَلَا زَكَاةَ فِي الْمَوْقُوفِ عَلَى جِهَةٍ عَامَّة ،ٍ وَتَجِبُ فِي الْمَوْقُوفِ عَلَى مُعَيَّنٍ

Maksudnya: “Dan (antara) syarat diwajibkan zakat juga adalah hendaklah harta tersebut adalah milik individu tertentu. Tidak diwajibkan zakat ke atas harta wakaf yang menjadi milik umum, dan diwajibkan zakat ke atas harta wakaf yang menjadi milik pihak tertentu.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 9/200)

Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat, amal soleh yang diterima serta rezeki yang berkati. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

Kami akhiri dengan doa kepada semua dermawan yang bersedekah, berinfak dan berwakaf:

آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أعْطَيْتَ، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُوراً، وَبَارَكَ لَكَ فِيمَا أَبْقَيْتَ

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas pemberian yang kamu berikan, dan menjadikannya sebagai pembersih dosa-dosa kamu, dan memberkati saki-baki hartamu.”

Wallahu a’lam.