#7248: Melewatkan Solat Sunat Ba‘diyyah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Boleh atau tidak jika saya solat Zuhur pada jam 14:00 (jam 2:00 petang) solat sunat badiah jam 16:00 (lebih kurang jam 4:00 petang)? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan menyatakan bahawa amalan menunaikan Solat Sunat Rawatib sama ada qabliyyah (sebelum Solat Fardhu) atau ba‘diyyah (selepas Solat Fardhu) adalah amalan sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut dan amat digalakkan. Ummul Mukminin Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ ثَابَرَ عَلَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةٍ مِنَ السُّنَّةِ؛ بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ: أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ، وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melazimi amalan Solat Sunat sebanyak 12 rakaat ini, Allah akan membinakan sebuah rumah di dalam syurga untuk dirinya. 4 rakaat sebelum Zohor, 2 rakaat selepas Zohor. 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat sebelum Subuh.”

Riwayat al-Nasa’i (1471); al-Tirmizi (414); Ibn Majah (1140); dan dinilai gharib oleh Imam al-Tirmizi dalam al-Jami‘ (1/439) kerana kewujudan perawi bernama Mughirah bin Ziyad. Namun hadith ini mempunyai sokongan daripada jalur yang lain.

Imam Ibn al-Mulaqqin al-Syafi‘i memberi ulasan ketika mensyarahkan hadith di atas: “Bahawa hikmah pensyariatan solat-solat sunat ini adalah untuk menyempurnakan ibadah fardhu. Sekiranya ada sebarang kekurangan dalam melaksanakan ibadah fardhu, ibadat sunat akan menampungnya sepertimana yang diriwayatkan di dalam Sunan Abu Daud dan lain-lain. Amalan solat sunat ini juga dapat membiasakan diri beribadah sebelum melakukan solat wajib, menghadirkan keaktifan semangat untuk melakukannya, dan persediaan hati yang lebih khusyuk untuknya. Oleh yang demikian, dianjurkan untuk memulakan solat malam (qiyamullail) dengan dua rakaat solat sunat yang ringan. Apabila penulis menggandingkan solat-solat ini dengan solat berjemaah, ia terbina di atas konsep al-sabiq dan al-lahiq (qabliyyah dan ba’diyyah); semua ini bertujuan sebagai pelengkap dan penampung kepada ibadat fardhu.” (Lihat al-I‘lam fi Fawa’id ‘Umdah al-Ahkam, 2/396)

Bahkan kita dituntut untuk mengqadha’kan solat-solat Rawatib ini sekiranya terlepas daripada melaksanakannya pada waktunya. Imam al-Saffarini al-Hanbali berkata menukilkan kalam Imam Ahmad ibn Hanbal yang menyebutkan: “Aku suka jika seseorang menetapkan sesuatu amalan daripada solat atau  lain-lain amalan solat. Jika dia terlepas, dia menggantikannya.ia merupakan solat yang dituruti dengan solat yang lain dan ia mempunyai waktunya, jadi ia tidak gugur apabila terlepas tanpa pengganti, seperti solat fardhu.” (Lihat Kasyf al-Litham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 2/142)

Berhubung soalan di atas, kami nyatakan bahawa waktu solat sunat Ba‘diyyah adalah bermula selepas selesai menunaikan Solat Fardhu tersebut hinggalah habis waktu Solat Fardhu itu. Misalnya, waktu Solat Sunat Ba‘diyyah Zuhur bermula selepas kita selesai menunaikan Solat Fardhu Zohor dan waktu tersebut berakhir ketika mulanya masuk waktu Asar.

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi memfatwakan: Apa-apa yang dilakukan selepas solat fardhu, waktunya bermula sebaik sahaja selesai dari solat fardhu, dan waktunya kekal sehingga tamat waktu solat fardhu, kerana ia mengikut solat fardhu tersebut. (Lihat al-Tahzib fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/225))

Imam Muhyiddin al-Nawawi turut memfatwakan sedemikian  bahawa: “Masuknya waktu solat sunat Ba‘diyyah (selepas solat-solat Fardhu) adalah selepas selesai melaksanakan solat fardhu tersebut dan kekallah waktunya selama waktu tersebut berbaki inilah pendirian mazhab al-Syafi‘i dalam kedua-dua masalah ini (qabliyyah dan ba‘diyyah) dan ini yang diputuskan oleh majoriti ulama al-Syafi‘iyyah.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/11)

Perkara yang senada turut difatwakan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj dan disyarahkan secara lanjut oleh Imam Jalaluddin al-Mahalli turut menegaskan di dalam syarah kitab al-Minhaj: “Waktu solat sunat rawatib qabliyyah dan ba‘diyyah bermula dengan masuknya waktu solat fardhu. kedua-dua tersebut (sebelum dan selepas) berakhir dengan tamatnya waktu solat fardhu. Maka, menunaikan solat sunat qabliyyah dalam waktu fardhu selepasnya dianggap sebagai solat yang dilakukan dalam waktunya. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Amirah ‘ala Kanz al-Raghibin, 1/247)

Kesimpulannya, kami tegaskan bahawa dibolehkan untuk melewatkan atau menunda Solat Sunat Ba‘diyyah selama waktu solat tersebut masih berbaki. Waktu Solat Sunat Ba‘diyyah akan luput apabila masuk waktu solat fardhu yang seterusnya. Namun yang paling afdhal dan utama serta lebih menuruti Sunnah adalah menyegerakan perlaksanaannya, iaitu dengan terus melaksanakan Solat Sunat Ba‘diyyah Zuhur misalnya, selepas berzikir dan berdoa seusai Solat Fardhu Zohor.

Allah SWT berfirman mengarahkan agar bersegera melaksanakan amal soleh, jangan ditunda. Firman-Nya:

 وَسَارِعُوۤا۟ إِلَىٰ مَغۡفِرَةࣲ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِینَ

Maksudnya: “Dan bersegeralah menuju ke arah keampunan daripada Tuhan kalian dan menuju ke arah Syurga yang seluas langit-langit dan bumi; semua itu disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah Ali ‘Imran: 133)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.