#7268: Selawat: Muhammadan atau Muhammadin?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah perbezaan selawat/ucapan menggunakan Muhammadan dan Muhammadin.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami dahulukan penulisan jawaban ini dengan memetik titah suci Ilahi Maha Agung, firman-Nya di dalam al-Quran al-Karim:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰۤىِٕكَتَهُۥ یُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِیِّۚ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَیۡهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسۡلِیمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab: 56)

Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW merupakan ibadah yang agung, ia dimulakan oleh Allah SWT sendiri dan diikuti oleh para Malaikat-Nya. Selawat dari Allah adalah puji-pujian dari-Nya buat Nabi SAW, manakala selawat dari Malaikat ada doa mereka buat keagungan dan kebaikan Nabi SAW sentiasa. Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i berkata ketika menafsirkan ayat suci di atas ini: “[إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ] Ibn ‘Abbas berkata: Allah berkehendak untuk merahmati Nabi Muhammad, dan para Malaikat pun mendoakan kebaikan sentiasa buat baginda. Diriwayatkan juga dari Ibn ‘Abbas: Perkataan yusallun bermaksud mendoakan keberkatan. Dikatakan juga: Selawat daripada Allah adalah rahmat-Nya, selawat daripada Malaikat adalah Istighfar daripada mereka buat Rasulullah. Seterusnya dalam ayat berikutnya, [يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ] iaitu: doakanlah rahmat buat baginda Nabi. Manakala [وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا] pula bermaksud: berikanlah salam penghormatan dengan salam yang diajarkan oleh Islam. Abu al-‘Aliyah berkata: Selawat daripada Allah adalah Allah memuji Rasulullah di hadapan para Malaikat. Selawat daripada Malaikat pula adalah mereka sentiasa mendoakan Nabi SAW.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 6/372)

Bagaimanakah Cara Berselawat Ke Atas Rasulullah SAW?

Selawat adalah ibadah. Setiap ibadah wajib menuruti pedoman dan arahan Sunnah Rasulullah SAW kerana demikian merupakan sejelas-jelas kebenaran dan ketepatan. Kita mestilah mengutamakan selawat yang diriwayatkan daripada hadith-hadith Nabi SAW sendiri.

Selawat yang diriwayatkan daripada hadith-hadith Rasulullah SAW adalah Selawat Ibrahimiyyah. Selawat ini telah diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar secara sahih menerusi banyak jalur dengan pelbagai versi dan bentuk lafaz perkataan.

Di sisi pengamalan para ulama al-Syafi‘iyyah, Imam Ibn Hajar al-Haitami menghimpunkan dan menggabungkan semua lafaz Selawat Ibrahimiyyah daripada semua jalur yang diriwayatkan tersebut di dalam kitab al-Durr al-Mandhud. Lafaz Selawat Ibrahimiyyah yang Imam Ibn Hajar al-Haitami gabungkan daripada semua hadith dan athar Salaf adalah seperti berikut:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ أُمَّهَاتِ الْمُؤْمِنِينَ، وَذُرِّيَّتِهِ وَأَهْلِ بَيْتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَّجِيدٌ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ أُمَّهَاتِ الْمُؤْمِنِينَ، وَذُرِّيَّتِهِ وَأَهْلِ بَيْتِهِ،، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَّجِيدٌ، وَكَمَا يَلِيقُ بِعَظِيمِ شَرَفِهِ وَكَمَالِهِ وَرِضَاكَ عَنْهُ، وَمَا تُحِبُّ وَتَرْضَى لَهُ، دَائِمًا أَبَدًا، عَدَدَ مَعْلُوَمَاتِكَ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِكَ، وَرِضَا نَفْسِكَ، وَزِنَةَ عَرْشِكَ، أَفْضَلَ صَلَاةٍ وَأَكْمَلُهَا وَأَتَمُّهَا، كُلَّمَا ذَكَرَكَ وَذَكَرَهُ الذَّاكِرُونَ، وَغَفَلَ عَنْ ذِكْرِكَ وَذِكْرِهِ الْغَافِلُونَ، وَسَلِّمْ تَسْلِيمًا كَذَلِكَ، وَعَلَيْنَا مَعَهُمْ

Maksudnya: “Ya Allah, sampaikanlah selawat ke atas Nabi Muhammad, hamba-Mu, utusan-Mu, Nabi yang Ummi. Dan juga ke atas keluarga Muhammad, para isteri baginda sekalian Ummahatul Mukminin, sekalian zuriat dan ahli al-bait baginda; sepertimana Engkau menyampaikan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan ke atas keluarga Nabi Ibrahim berbanding insan lain dalam alam semesta. Sesungguhnya Engkau Maha Mulia dan Maha Agung. Dan berkatilah Nabi Muhammad, hamba-Mu, utusan-Mu, Nabi yang Ummi. Dan juga ke atas keluarga Muhammad, para isteri baginda sekalian Ummahatul Mukminin, sekalian zuriat dan ahli al-bait baginda; sepertimana Engkau memberkati Nabi Ibrahim dan ke atas keluarga Nabi Ibrahim berbanding insan lain dalam alam semesta. Sesungguhnya Engkau Maha Mulia dan Maha Agung. Sepertimana selayaknya dengan keagungan pangkat baginda, kesempurnaan baginda, keredhaan-Mu terhadap baginda, sebanyak mana yang Engkau cintai dan redhai, selama-lamanya kekal abadi, dengan bilangan perkara yang Engkau ketahui, sebanyak tinta dakwat yang menulis kalimat-Mu, sebanyak mana yang diredhai Diri-Mu, seberat timbangan Arasy Singgahsana-Mu, selawat yang paling utama, sempurna dan lengkap. Sebanyak mana insan mengingati-Mu dan mengingati baginda, jua sebanyak mana manusia yang lalai melupakan-Mu dan melupakan baginda. Dan sampaikan salam sejahtera yang tulus buat baginda dan sejahterakanlah buat kami juga bersama mereka semua.” (Lihat al-Durr al-Mandhud fi al-Solah wa al-Salam ‘ala Sahib al-Maqam al-Mahmud, hlm. 104-105)

Gabungan Selawat Ibrahimiyyah di atas ini dilakukan dengan syor dan cadangan para ulama mazhab seperti Imam al-Rafi‘i dan Imam al-Yafi‘i; yang turut menggabungkan selawat yang diamalkan oleh Imam al-Syafi‘i, tambahan yang dicadangkan al-Qadhi Husain. Ia menjadi Selawat yang paling afdhal secara mutlak sepertimana yang dinaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami kerana menggabungkan riwayat-riwayat hadith dan amalan para Salafussoleh.

Berhubung soalan di atas, sama ada sebutan Muhammadan atau Muhammadin yang lebih tepat; sebutan lafaz Muhammadin [مُحَمَّدٍ] dengan huruf dal yang berbaris kasrah (bawah) adalah lebih sahih dan menepati kaedah Bahasa Arab di dalam bentuk Selawat yang tersebar kerana dari sudut i‘rabnya, ia merupakan kalimat nakirah (perkataan yang diakhiri dengan tanwin) yang berstatus Ism Majrur. Maka, ia hanya menerima baris bawah pada huruf terakhirnya atau lebih dikenali sebagai baris kasrah (baris bawah).

I‘rab yang dicadangkan bagi perkataan Muhammadin adalah:

اسْمٌ مَجْرُورٌ وَعَلَامَةُ جَرِّهِ الْكَسْرَةُ الظَّاهِرَةُ عَلَى آخِرِهِ

Maksudnya: “Ism Majrur; dan petanda bagi majrurnya adalah baris kasrah (baris bawah) yang jelas berada di huruf terakhirnya.

Hal ini kerana, perkataan Muhammadin terletak selepas partikel perkataan ‘ala [عَلَى] yang bermaksud “di atas.” Ia merupakan kata hubung yang akan menyebabkan kalimat selepasnya akan berbaris bawah. Kita memanggilnya sebagai harf jar. Sebarang perkataan selepas harf jar akan berbaris bawah.

Imam Ibn Malik berdendang di dalam Alfiyah beliau:

هَاكَ حُرُوفَ الْجَرِّ وَهْيَ مِنْ إلىَ    حَتَّى خَلَا حَاشَا عَدَا فِي عَنْ عَلَى

“Inilah dia untukmu; senarai kata-kata hubung yang menyebabkan huruf terakhir pada perkataan selepasnya berbaris bawah [huruf al-Jar] iaitu:

  • Min [daripada]
  • Ila [kepada]
  • Hatta [sehingga]
  • Khala [kecuali]
  • Hasya [kecuali]
  • ‘Ada [melainkan]
  • Fi [di, di dalam]
  • ‘An [daripada]
  • ‘Ala [di atas, ke atas].”

Contohnya adalah seperti ayat di bawah:

الْمِنْبَرِ عَلَى قُمْتُ
Mimbar. Di atas. Saya telah berdiri.

Perkataan al-minbari dibaca dengan huruf Ra berbaris bawah (kasrah) kerana terletak selepas perkataan ‘ala (di atas).

Manakala, sebutan Muhammadan lebih kerap disebut di dalam doa selepas azan seperti berikut:

اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ، وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ، آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ، وَالدَّرَجَةَ الرَّفِيعَةَ، وَابْعَثْهُ الْمَقَامَ الْمَحْمُودَ الَّذِى وَعَدْتَهُ، إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan yang mensyariatkan seruan yang sempurna, dan solat yang didirikan. Kurniakanlah kepada Nabi Muhammad SAW, wasilah kedudukan yang tinggi dan terpuji, dan bangkitkanlah baginda pada tempat terpuji yang telah Engkau janjikan. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.”

Kalimat Muhammadan di sini dibaca dalam keadaan berbaris atas (mansub) kerana kalimat Muhammad di sini, di sisi i‘rabnya adalah berstatus maf‘ul bih. Ia merupakan objek yang terkena kesan suatu perbuatan dan pekerjaan.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelaslah bahawa perkataan “Muhammad” sama ada ia dibaca dengan Muhammadin atau Muhammadan adalah  bergantung pada kedudukannya dalam sesebuah ayat itu. Ini kerana baris i‘rab pada huruf terakhir pada perkataan Bahasa Arab berubah berdasarkan kedudukannya dalam sesebuah ayat. Hal ini berkaitan dengan ilmu Nahu dan kemahiran menguasai i‘rab ayat-ayat Bahasa Arab.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ كَتَبْتَ عَلَيَّ شِقْوَةً أَوْ ذَنْبًا فَامْحُهُ، فَإِنَّكَ تَمْحُو مَا تَشَاءُ وَتُثْبِتُ، وَعِنْدَكَ أُمُّ الْكِتَابِ، فَاجْعَلْهُ سَعَادَةً وَمَغْفِرَةً

Maksudnya: “Ya Allah, sekiranya Engkau telah tetapkan aku sebagai celaka atau akan melakukan dosa, maka padamlah ketentuan itu. Sesungguhnya Engkau yang berhak memadam dan mengekalkan segala perkara, dan sisi-Mu jualah Umm al-Kitab itu. Maka, jadikanlah aku tertulis di dalamnya sebagai bahagia dan beroleh keampunan.”

Wallahu a‘lam.