Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak tanya mengenai daging korban untuk agihan. Bolehkah kita beri daging mentah kepada jiran-jiran dan fakir miskin atau memang kena dimasak dahulu? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Ibadah Korban disyariatkan untuk memuja Allah dan memberi makan kepada orang-orang susah dalam kalangan kaum Mukminin. Allah SWT berfirman dalam al-Quran al-Majid:
لِّیَشۡهَدُوا۟ مَنَـٰفِعَ لَهُمۡ وَیَذۡكُرُوا۟ ٱسۡمَ ٱللَّهِ فِیۤ أَیَّامࣲ مَّعۡلُومَـٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِیمَةِ ٱلۡأَنۡعَـٰمِۖ فَكُلُوا۟ مِنۡهَا وَأَطۡعِمُوا۟ ٱلۡبَاۤىِٕسَ ٱلۡفَقِیرَ
Maksudnya: “”Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
(Surah al-Hajj: 28)
Bagi menjelaskan ayat di atas, Imam al-Syaukani menyebutkan ayat “فَكُلُوا۟ مِنۡهَا”, arahan di sini hukumnya adalah sunat menurut jumhur ulama. Namun, sebahagian ulama berpendapat arahan ini bermaksud wajib. Di dalam ayat ini terdapat unsur iltifat ‘an al-ghaibah ila al-khitab (yakni peralihan daripada kata ganti nama ketiga kepada kata ganti nama kedua). Seterusnya, dalam ayat “وأطْعِمُوا البائِسَ الفَقِيرَ”, kalimat al-Ba’is bermaksud orang yang mempunyai kesusahan iaitu kesukaran dan kefakiran yang amat dahsyat; kerana itulah disebutkan perkataan fakir selepasnya iaitu untuk makin menjelaskan makna al-Ba’is tersebut. Arahan memberi makan kepada fakir miskin di sini adalah wajib, namun ada yang berpendapat, ia adalah sunat sahaja. (Lihat Fath al-Qadir, 3/531)
Ibadah Korban merupakan ibadat yang agung di sisi Allah SWT dan merupakan tuntutan dan galakan-Nya di dalam al-Quran al-Karim. Allah SWT berfirman:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ
Maksudnya: “Maka solatlah engkau dan sembelihlah korban.”
(Surah al-Kauthar: 2)
Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan: “Para Mufassir Salaf semisal ‘Ikrimah maula Ibn ‘Abbas, ‘Ata’ bin Abu Rabah dan Qatadah bin Di‘amah al-Sadusi menafsirkan ayat ini dengan menyatakan: Tunaikan Solat Sunat Hari Raya pada pagi 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha) dan kemudian sembelihlah haiwan korbanmu.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/559)
Rasulullah SAW juga begitu menganjurkan amalan Korban dan menyatakannya sebagai amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT sepanjang Zulhijjah. Ummul Mukminin Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada suatu pun amalan anak Adam pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) yang lebih dicintai oleh Allah melainkan ibadat menumpahkan darah haiwan ternakan (korban). Semuanya akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya. Darah sembelihan korban itu akan sampai ke hadrat Allah dahulu sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Bersenang-lenanglah kalian dengan ibadat ini.”
Riwayat al-Tirmizi (1493)
Imam Jalaluddin al-Suyuti mensyarahkan hadith di atas menyatakan: “Imam Ibn al-‘Arabi al-Maliki mengatakan: Ia merupakan amalan paling afdal pada hari Aidiladha kerana hari tersebut memang dikhususkan untuk melaksanakan korban. Apabila sesuatu amalan itu dikhususkan pada hari tertentu, maka ia merupakan amalan yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari tersebut, selepas ibadat-ibadat fardhu seperti solat lima waktu.” (Lihat Qut al-Mutaghazzi ‘ala Jami‘ al-Tirmizi, 1/390)
Berhubung soalan di atas, kami nyatakan bahawa daging korban wajib diberi secara mentah dan bukan dalam keadaan sudah dimasak mengikut pendapat mazhab al-Syafi‘i. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Muhammad bin al-Habib Ahmad al-Syatiri al-Muallif ketika mensyarahkan karya ayahnya, iaitu kitab al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris di mana beliau menyebutkan:
وَ يُجْزِئُ نِيءٌ غَيْرُ تَافِهٍ مِن لَحْمِ المُتَطَوَّعِ بِهَا فَلَا يَكْفِى إِعْطَاؤُهُ مَطْبُوخًا وَ لَا قَدِيدًا
Maksudnya: “Sahnya daging korban itu adalah dengan disedekahkan dalam keadaan mentah, apa yang tidak rosak, daripada daging korban yang sunat. Tidak memadai untuk memberi sedekah daging korban tersebut dalam keadaan sudah dimasak atau sudah dikeringkan (diawet dengan garam).” (Lihat Syarh al-Yaqut al-Nafis, hlm. 828)
Perkara ini adalah bertepatan dengan apa yang difatwakan oleh muktamad para Imam dalam kalangan al-Syafi‘iyyah. Imam al-Khatib al-Syirbini berfatwa sedemikian ketika mensyarahkan kitab Minhaj: “Disyaratkan untuk daging korban supaya diagihkan dalam keadaan mentah; supaya orang yang dapat daging tersebut boleh masak daging tersebut dengan apa sahaja cara menurut kehendaknya termasuk boleh menjualnya dan lain-lain perbuatan seperti yang telah disebutkan di dalam perbahasan al-Kafarat; maka tidak memadai dengan menjadikannya lauk masakan kemudian memanggil orang-orang fakir untuk makan beramai-ramai, kerana hak mereka ke atas daging tersebut adalah untuk mereka memilikinya, bukannya untuk mereka makan daging itu. Begitu juga, bukannya hak mereka untuk mendapat daging tersebut dalam keadaan sudah dimasak, dan bukannya hak mereka untuk memiliki selain bahagian isi daging seperti kulit, lemak, hati, limpa dan yang semisal dengannya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/135)
Imam Ibrahim al-Bajuri turut senada apabila beliau berfatwa dalam hasyiahnya: “Disyaratkan pada daging korban (untuk mengagihkannya) dalam keadaan mentah supaya orang yang mendapatnya boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki pada daging tersebut seperti menjualnya dan lain-lain sepertimana yang dinyatakan di dalam bab Kafarah. Maka tidak memadai jika menjadikan daging itu sebuah makanan yang telah dimasak (menjadi lauk), kemudian memanggil orang-orang fakir untuk memakannya.” (Lihat Hasyiah al-Bajuri ‘ala Fath al-Qarib, 2/594).
Selain itu, Dr. Wahbah al-Zuhaili juga ada menyebutkan dalam kitabnya, al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar (1/413) bahawa wajib mengagihkan daging korban secara mentah (bukan dalam keadaan ia dimasak) dan dia juga boleh memakan sebahagian daripadanya berdasarkan kepada ayat:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Maksudnya: “Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
(Surah al-Hajj: 28)
Walau bagaimanapun, sebahagian fuqaha berpendapat bahawa mengagihkan daging korban mentah adalah disunatkan dan bukannya wajib. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya ketika menafsirkan ayat 28 Surah al-Hajj (seperti mana di atas) bahawa perintah dalam ayat tersebut bermaksud sunat menurut jumhur ulama. Disunatkan bagi lelaki untuk makan daripada daging korban dan akikahnya serta bersedekah dengan sebahagian besar daripadanya, dengan membenarkan sedekah keseluruhannya atau memakan keseluruhannya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 12/44)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa daging korban hendaklah diagihkan kepada fakir miskin dan orang-orang yang berhak secara mentah dan bukannya dalam keadaan sudah dimasak. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat, bahkan selari dengan pendapat muktamad dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Sekalipun begitu, kami tidak menafikan di sana terdapat pendapat sebahagian fuqaha yang menyatakan bahawa mengagihkannya secara mentah adalah sunat dan bukannya wajib. Manakala, daging aqiqah pula lebih afdhal dijamu dalam keadaan sudah dimasak dengan masakan yang manis, dan tidak dipecahkan tulang-belulangnya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Dia jualah yang melindungi orang-orang soleh. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik pelindung dan penjamin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah (amal ibadat dan amal soleh yang telah) kami (laksanakan), sesungguhnya Engkau Maha Mendengar (segala doa permohonan kami) lagi Maha Mengetahui (isi hati dan niat kami).”
(Surah al-Baqarah: 127)
Wallahu a‘lam.