Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukumnya sekarang anak menjauhkan diri daripada ahli keluarganya? Mohon penjelasan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Bagi menjawab persoalan di atas, kami dahulukan dengan menegaskan bahawa keluarga adalah segalanya buat kita. Tiada yang sekuat dan seutuh tali hubungan kekeluargaan. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua. Demikianlah peribahasa menggambarkan hubungan kekeluargaan dan kekerabatan yang sewajarnya berlaku. Firman Allah SWT:
وَإِذۡ أَخَذۡنَا مِیثَـٰقَ بَنِیۤ إِسۡرَ ٰۤءِیلَ لَا تَعۡبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ وَبِٱلۡوَ ٰلِدَیۡنِ إِحۡسَانࣰا وَذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡیَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَقُولُوا۟ لِلنَّاسِ حُسۡنࣰا وَأَقِیمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ثُمَّ تَوَلَّیۡتُمۡ إِلَّا قَلِیلࣰا مِّنكُمۡ وَأَنتُم مُّعۡرِضُونَ
Maksudnya: “Dan ketika kami mengambil perjanjian daripada Bani Israel: agar mereka tidak menyembah selain Allah dan berbuat baik dengan kedua ibu bapa, serta ahli keluarga terdekat dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin. Dan hendaklah bercakap baik sesama manusia. Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Kemudian, kalian (Bani Israel) berpaling daripada arahan ini kecuali sedikit sahaja dalam kalangan kalian, dan kebanyakkan kalian enggan untuk melaksanakannya.”
(Surah al-Baqarah: 83)
Berbuat baik dengan ahli keluarga adalah suatu kewajiban dan arahan Allah yang Dia redhai dan gesa. Bahkan, Allah SWT mengecam sesiapa yang tidak melakukannya sepertimana zahir ayat di atas. Hukumnya adalah wajib. Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat “وَذِي الْقُرْبى”, beliau menyebutkan, “ahli keluarga” disebutkan bersama dengan “ibu bapa”. Perkataan al-qurba“الْقُرْبَى” bermaksud hubungan kekeluargaan, yang merupakan kata terbitan (masdar) sepertimana perkataan al-Ruj‘a dan al-‘Uqba. Maksud ayat ini adalah: Kami arahkan mereka untuk berbuat baik kepada kaum kerabat dengan menyambung tali perhubungan silaturrahim sesama mereka.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/14).
Memutuskan tali kekeluargaan juga adalah salah satu dosa besar yang menjauhkan seseorang daripada syurga. Jubair bin Mut‘im R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعُ رَحِمٍ
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan tali silaturrahim (hubungan kekeluargaan).”
Riwayat al-Bukhari (5984) dan Muslim (2556)
Imam al-San‘ani ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, ketahuilah bahawa para ulama berbeza pendapat mengenai takrifan (had) hubungan rahim yang wajib disambung dan haram diputuskan. Ada yang berpendapat bahawa ia merujuk kepada hubungan rahim yang haram untuk dinikahi antara kedua-duanya, di mana jika salah seorang daripada mereka adalah lelaki, maka haram baginya menikahi yang lain. Berdasarkan pendapat ini, anak-anak bapa saudara sebelah lelaki (yakni sepupu) dan anak-anak bapa saudara sebelah ibu (yakni sepupu) tidak termasuk. Pendapat ini berhujah berdasarkan kepada larangan menghimpunkan seorang wanita dengan ibu saudara sebelah bapanya atau dengan ibu saudara sebelah ibunya dalam pernikahan, kerana ia akan membawa kepada pemutusan hubungan kekeluargaan.
Ada pula yang berpendapat ia adalah hubungan dengan mereka yang mempunyai hak perwarisan. Dalilnya adalah sabda Rasulullah SAW:
أَدْناكَ أَدْناكَ
Maksudnya: “Orang yang paling dekat seterusnya, dan yang paling dekat seterusnya.”
Riwayat Muslim (2548)
Ada juga yang berpendapat ia adalah sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan kekeluargaan, sama ada mereka mempunyai hak perwarisan ataupun tidak. Kemudian, menyambung hubungan silaturrahim, seperti yang disebut oleh al-Qadhi ‘Iyadh, ada beberapa darjat (tingkatan); yang mana sebahagiannya ada yang lebih tinggi daripada sebahagian yang lain. Tingkatannya yang paling rendah adalah dengan meninggalkan perbuatan tidak mengendahkannya langsung dan menyambungnya pula adalah dengan kata-kata, walaupun hanya dengan memberi salam.
Hubungan silaturrahim itu berbeza bergantung kepada kemampuan dan keperluan, di mana sebahagiannya adalah wajib dan sebahagiannya lagi adalah sunat. Jika seseorang menyambung sebahagian hubungan silaturrahim tetapi tidak mencapai matlamatnya, dia tidak dianggap sebagai pemutus hubungan silaturrahim. Namun, jika dia gagal melakukan apa yang mampu dan sepatutnya dilakukannya, dia juga tidak dianggap sebagai penyambung hubungan silaturahim. Al-Qurtubi menyebutkan, hubungan silaturrahim yang perlu disambung terbahagi kepada dua; umum dan khusus. Hubungan silaturrahim yang umum ialah hubungan melalui agama, yang wajib disambung dengan sikap saling mengasihi, menasihati, berlaku adil, bersikap jujur, dan melaksanakan hak-hak yang wajib dan yang disunatkan. Manakala hubungan silaturrahim yang khusus (sama seperti mana yang umum tetapi) ditambah dengan memberi nafkah kepada kaum kerabat, mengambil berat tentang keadaan mereka, dan memaafkan kesilapan mereka. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 8/162-163)
Berdasarkan keterangan Imam al-San’ani di atas, kami syorkan kepada saudara: sejauh mana pun kita terasa dengan ahli keluarga terdekat kepada ibu, bapa, adik-beradik; janganlah kita tergamak untuk memulaukan mereka. Paling kurang, wajib ke atas kita memberi salam, bertanya khabar, memberi pertolongan kepada mereka menurut kemampuan. Utamakanlah kemaafan andai hati mahu merasai nikmat kebahagiaan dan kelapangan hidup yang sesungguhnya.
Justeru, kami ingin menasihatkan bahawa menjauhkan diri daripada keluarga tanpa sebarang sebab yang munasabah dan keuzuran yang dibenarkan syarak adalah suatu yang tidak sepatutnya dilakukan dan menjadi kesalahan di sisi syariat Islam. Tidak boleh bagi seseorang menjauhkan diri daripada keluarga, melainkan jika ada kemaslahatan yang nyata untuk agama dan duniawi dirinya untuk melakukan sedemikian. Berbakti dan menyambung silaturrahim dengan keluarga adalah amal ibadat yang amat dituntut dalam syariat Islam.
Ingatlah, bahawa ahli keluargalah merupakan kelompok insan yang paling berhak merasakan kebaikan, kesantunan, kedermawanan dan keluhuran pekerti kita. Maka, perbuatan berhubung dengan keluarga dan melazimi mereka adalah termasuk kesempurnaan akhlak seorang Muslim jua Muslimah yang wajib diamalkan oleh mereka.
Antara asbab yang seseorang itu dimurahkan rezeki dan dipanjangkan usia adalah dengan menyambung silaturrahim. Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Dia jualah yang melindungi orang-orang soleh. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik pelindung dan penjamin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ ألِّفْ بَيْنَ قُلُوبِنا وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِنَا وَاهْدِنَا سُبُلَ السَّلَامِ وَنَجِّنَا مِنَ الظُّلمَاتِ إِلَى النُّورِ وَجَنِّبْنَا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَبَارِكْ لَنَا فِي أَسْمَاعِنَا وَأَبْصَارِنَا وَقُلُوبِنَا وَأَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوابُ الرَّحِيْمُ وَاجْعَلْنَا شَاكِرِينَ لِنِعْمَتِكَ مُثْنِينَ بِهَا قَابِلِيهَا وَأَتِمَّهَا عَلَيْنَا
Maksudnya: “Ya Allah, satukanlah hati kami. Perbaikilah hubungan kami, tunjukilah kami jalan kesejahteraan dan keselamatan. Selamatkanlah kami dari kegelapan, ke arah cahaya. Hindarkan kami daripada perkara keji yang zahir mahupun yang tersembunyi. Berkatilah pendengaran, penglihatan, hati, pasangan, zuriat kami. Terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih. Jadikan kami sentiasa mensyukuri nikmat-Mu, memuji-Mu kerananya sebagai balasan, dan sempurnakan segalanya buat kami.”
Wallahu a‘lam.