#7292: Tangan dan Kaki Bersaksi di Hadapan Allah SWT pada Hari Akhirat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana yang dimaksudkan dengan tangan-tangan dan kaki-kaki manusia bercakap memberikan kesaksian di hadapan Allah pada Hari Akhirat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, Surah Yasin terbahagi kepada beberapa bahagian yang saling berkaitan antara satu sama lain. Antara intipati penceritaan yang dibawakan adalah berkenaan penentangan kaum Musyrikin dan keangkuhan mereka ketika mencabar agar dipercepatkan azab, dalam keadaan mereka mendustakannya. Ini dapat dilihat gambarannya sebagaimana dalam firman Allah SWT:

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَـٰذَا ٱلْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Maksudnya: “Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): ‘Bilakah datangnya (hari Akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!’”

(Surah Yasin: 48)

Atas dasar bangga diri dan ketidakpercayaan ini, dibawakan beberapa gambaran hari Kiamat agar mereka dapat lihat keadaan mereka kelak, yang sengaja meminta-minta untuk dipercepatkan perhitungan, gambaran yang seakan-akan dilihat sendiri dengan mata kepala mereka. Oleh yang demikian, Allah SWT berfirman di dalam ayat berikutnya:

ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Pada hari ini, Kami mengunci mulut mereka, lalu tangan-tangan mereka yang memberitahu Kami kesalahan mereka dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.”

(Surah Yasin: 65)

Ayat ini menggambarkan keadaan orang Kafir dan Munafiq pada Hari Kiamat kelak, ketika mereka menyangkal apa yang mereka telah lakukan di dunia, dan mereka bersumpah bahawa mereka tidak melakukannya. Maka Allah akan menutup mulut mereka, dan anggota badan mereka akan berbicara memberi kesaksian apa yang telah mereka kerjakan. Ia menegaskan tentang satu situasi luar biasa yang akan berlaku, dengan berpindahnya keupayaan untuk bercakap dari mulut kepada anggota tubuh yang lain seperti tangan dan kaki. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/520; al-Tahrir wa al-Tanwir, 23/49)

Hal ini secara tidak langsung menempelak golongan yang mensyirikkan Allah SWT ini atas sangkaan mereka bahawa Dia tidak akan dapat mengetahui apakah yang telah dilakukan oleh mereka di dunia. Renungkanlah bagaimana Allah SWT berfirman kepada mereka:

وَمَا كُنتُمْ تَسْتَتِرُونَ أَن يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَآ أَبْصَـٰرُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ وَلَـٰكِن ظَنَنتُمْ أَنَّ ٱللَّهَ لَا يَعْلَمُ كَثِيرًۭا مِّمَّا تَعْمَلُونَ (٢٢) وَذَٰلِكُمْ ظَنُّكُمُ ٱلَّذِى ظَنَنتُم بِرَبِّكُمْ أَرْدَىٰكُمْ فَأَصْبَحْتُم مِّنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ

Maksudnya: “Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu). Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!”

(Surah Fussilat: 22-23)

Menurut imam Fakhruddin al-Razi, berkenaan dengan mulut mereka dikunci pada hari Akhirat kelak, terdapat beberapa pandangan. Akan tetapi, pandangan yang paling kuat bahawa Allah SWT membungkam lidah mereka sehingga mereka tidak dapat berbicara dengannya, dan Dia menjadikan anggota tubuh mereka bersuara untuk memberikan kesaksian terhadap mereka. Ini adalah perkara yang mudah dalam kekuasaan Allah. Lidah adalah anggota yang bergerak dengan gerakan tertentu, maka seperti mana ia boleh bergerak dengan cara itu, begitu juga anggota badan lain boleh bergerak dengan cara yang sama. Allah Maha Berkuasa atas segala yang sesuatu.

Pandangan lain ialah, mereka tidak berbicara apa-apa kerana tidak ada sebarang alasan lagi dan keaiban mereka telah tersingkap. Mereka berdiri dengan kepala tertunduk, berdiri dalam keadaan putus asa, tidak dapat mencari alasan untuk meminta maaf atau tiada sebarang ruang untuk bertaubat serta memohon pengampunan. Kesaksian tangan-tangan mereka pula menunjukkan bahawa perkara itu menjadi jelas sehingga tiada ruang untuk penafian, sehinggakan tangan dan mata mereka pun bersaksi. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 26/302)

Adapun bagaimana keadaan sebenar kesaksian anggota tubuh manusia di hadapan Allah SWT, hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui akan segala penciptaan-Nya, dan tidak syak lagi akan perkara ini. Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As telah meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, sabdanya:

كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

Maksudnya: “Allah telah menentukan taqdir setiap makhluk sejak 50 ribu tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi.”

Riwayat Muslim (2653)

Maka tidak timbul lagi sebarang persoalan bagaimana anggota badan itu boleh berbicara, kerana Tuhan yang menciptakan lidah sebagai perantara untuk manusia tuturkan kata-kata, Dia pastinya berkuasa untuk menentukan dan menjadikan anggota tubuh lain bertutur kata. Inilah salah satu hujjah Allah SWT ke atas golongan yang mensyirikkan-Nya agar mereka tidak ada lagi sebarang alasan untuk membela diri. Demikianlah yang dijelaskan oleh Allah di dalam firman-Nya:

قُلْ فَلِلَّهِ ٱلْحُجَّةُ ٱلْبَـٰلِغَةُ ۖ

Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad: ‘Kalau kamu tiada sebarang bukti maka ketahuilah bahawa Allah mempunyai bukti yang jelas dan kukuh’.”

(Surah al-An‘am: 149)

Kami beriman dengan apa yang dinyatakan oleh Allah yang bersifat Maha Berkuasa dan Maha Perkasa, boleh mengarahkan apa sahaja mengikut kehendak-Nya. Firman Allah SWT:

‏ إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ

Maksudnya: “Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.”

(Surah Yasin: 82)

Imam al-Tabari menukilkan perkataan Qatadah. Kata beliau (Qatadah): “Tidak ada di dalam kalam arab yang lebih ringan dan mudah daripada kata-kata Allah. Maka Allah Maha Berkuasa dan amat mudah bagi Allah untuk buat perkara tersebut.” (Lihat Jami’ al-Bayan ʿan Taʾwil al-Qurʾan, 20/556)

Imam al-Razi menyatakan: “Ayat ini membawa makna bahawa penciptaan dan kejadian yang Allah kehendaki tidak hanya berlaku jika ada alat dan sebagainya. Juga tidak memerlukan air mani ayah dan Rahim ibu. Ini dibuktikan bahawa Allah menjadikan ayah kita yang awal iaitu Nabi Adam tanpa ada ayah. Ini membuktikan bahawa Allah menjadikan dan menciptakan sesuatu tanpa perlu ada perantaraan.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 17/201)

Semoga pencerahan ringkas yang kami bawakan menerusi tafsiran para ilmuwan al-Quran ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul, sekaligus menambahkan lagi ilmu serta keimanan kita terhadap Keesaan Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam