Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah kelebihan solat hadiah? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Kami mulakan dengan menyeru agar bersama kita menghayati hadith Abu Hurairah RA bahawa beliau meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila seorang manusia itu mati, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: [1] Sedekah jariah (pemberian yang berkekalan), [2] Ilmu yang bermanfaat buatnya, [3] Doa anak yang soleh, yang memohon keampunan buat dirinya.”
Riwayat Muslim (1631)
Berhubung soalan di atas, kami nyatakan bahawa amalan Solat Sunat Hadiah ini tidak terdapat penganjuran dan pensyariatannya di dalam kitab-kitab muktamad dan muktabar dalam mazhab Syafi‘iyyah dan begitu juga mazhab-mazhab yang lain. Hal ini kerana hadith yang diriwayatkan berkenaannya tidak kuat.
Sebaliknya, amalan ini hanya terdapat dalam beberapa kitab jawi lama dalam kalangan fuqaha al-Syafi‘iyyah seperti Syeikh Muhammad Nawawi Jawi, Syeikh Arsyad Banjar dan lain-lain berpandukan hadith yang tidak diterima dan tidak kuat di sisi majoriti ahli hadith. Imam Muhammad Nawawi Jawi menyebutkan, di antaranya adalah solat dua rakaat untuk manusia yang telah meninggal dunia di dalam kubur. Diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW pernah bersabda: ‘Tidak ada yang lebih berat bagi si mati daripada malam pertama, maka kasihanilah mereka yang meninggal dunia dengan bersedekah. Sesiapa yang tidak menemui apa-apa untuk disedekahkan, maka dia hendaklah solat dua rakaat dan bacalah pada setiap rakaat satu kali surah al-Fatihah, satu kali ayat kursi, satu kali surah al-Takathur dan 10 kali surah al-Ikhlas. Lalu dia hendaklah berdoa sesudah memberi salam dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي صَلَّيْتُ هَذِه الصَّلَاةِ وَتَعْلَمُ مَا أُرِيدُ اللَّهُمَّ ابْعَثْ ثَوَابَهَا إِلَى قَبْرِ فُلَانِ ابْنِ فُلَانٍ
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku telah mendirikan solat ini, sedang Engkau Maha Mengetahui apa yang aku maksudkan. Ya Allah! Kirimkanlah pahalanya ke kubur si Fulan bin Fulan.”
Nescaya Allah SWT mengirimkannya pada saat itu juga seribu malaikat ke kuburnya bersama tiap-tiap malaikat itu adanya pada mereka cahaya dan hadiah serta mereka juga turut berbaik-baik dengan mereka sehingga ditiup akan sangkakala. (Lihat Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in, 1/107)
Selain itu, ia turut disebutkan di dalam beberapa kitab jawi lama yang lain seperti kitab Perukunan Besar yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. (Lihat Kitab Perukunan Besar, hlm. 21)
Setelah dirujuk dengan rekod catatan hadith yang lebih terdahulu, hadith ini juga terdapat di dalam kitab Hadiyyah al-Ahya’ al-Amwat wa ma Yasilu Ilaihim (1/185) karangan tokoh Sufi mutaqaddimin, iaitu Imam Abu al-Hasan Ali bin Ahmad bin Yusuf bin Ja‘far al-Hakkari. Imam al-Zahabi dalam kitabnya pernah menyebutkan bahawa Syeikh al-Hakkari merupakan seorang ahli sufi yang zuhud. Namun begitu, menurut al-Hafiz Ibn ‘Asakir, beliau berpendapat bahawa Syeikh al-Hakkari ini tidak thiqah dalam meriwayatkan hadith. Maka, periwayatan beliau adalah tertolak. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 19/68).
Tambahan pula ibadah solat tidak boleh dilakukan bagi pihak orang lain menurut usul mazhab al-Syafi‘iyyah seperti mana yang ditegaskan oleh Imam Abu al-Hasan al-Mawardi dalam kitab al-Hawi.
Imam al-Mawardi memfatwakan: “Adapun berpuasa untuk orang yang masih hidup, maka tidak dibolehkan menurut ijma‘ sama ada apabila disuruh atau tidak disuruh, sama ada bagi orang yang berkemampuan atau orang yang tidak berkemampuan; berdasarkan zahir firman Allah ta‘ala (yang bermaksud): “Dan tidaklah seorang insan itu beroleh kecuali apa yang dia usahakan sahaja.” (Surah al-Najm: 39). Hal ini juga kerana setiap ibadat yang memerlukan perlakuan anggota semata adalah tidak sah untuk diwakilkan perlaksanaannya oleh orang lain, seperti solat, berbeza dengan Haji; kerana Haji itu rukun-rukunnya turut mempunyai kaitan dengan harta, maka ia tidak memerlukan anggota semata. Maka ia boleh diwakilkan oleh orang lain, sama seperti zakat.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/313).
Lebih-lebih lagi, Solat Sunat Hadiah ke atas jenazah ini juga tidak pernah disebutkan oleh para fuqaha dalam kitab-kitab fiqh mazhab Imam al-Syafi‘i seperti Tuhfah al-Muhtaj, Nihayah al-Muhtaj, Fath al-Wahhab, al-Iqna‘, Fath al-Mu‘in, Syarh al-Muhazzab, Mughni al-Muhtaj dan sebagainya.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami tegaskan bahawa Solat Sunat Hadiah ini tidak pernah dianjurkan mahupun terdapat pensyariatannya di dalam al-Quran, hadith-hadith Nabi Muhammad SAW mahupun amalan para Salafussoleh yang teguh menuruti Sunnah. Oleh itu, sewajarnya ia ditinggalkan dan tidak diamalkan. Terdapat banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan dalam memastikan pahala kebaikan sampai kepada si mati seperti doa anak yang soleh, sedekah jariah dan seumpamanya sebagaimana yang dijelaskan menerusi hadith yang sahih.
Seorang Muslim itu hendaklah berpada dengan amal ibadah yang sahih dan jelas sabit daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Barulah amalan soleh kita diterima baik oleh Allah SWT kelak. Hindarilah amalan-amalan ganjil seperti solat-solat yang tidak berdasarkan/berasaskan dalil yang kuat, kerana ia merupakan perbuatan bidaah yang buruk. Setiap bidaah yang buruk adalah kesesatan.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Dia jualah yang melindungi orang-orang soleh. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik pelindung dan penjamin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ نَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لَا نُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ، أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung kepada-Mu dengan keredhaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan kemaafan-Mu daripada seksaan-Mu. Kami berlindung dengan-Mu daripada kemurkaan-Mu. Tidak terhitung segala pujian buat-Mu. Engkau berhak mendapat pujian sebanyak mana yang Engkau puji Diri-Mu.”
Wallahu a‘lam.