#7299: Perlukah Makmum Masbuq Baca Tahiyyat Akhir Bersama Imam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada sedikit pertanyaan mengenai masbuq. Sekiranya seseorang itu masbuq di rakaat kedua (solat 4 rakaat), dia telah dapat mengikut imam bagi tahiyyat awal dan akhir. Disebabkan itu dia perlu menggantikan 1 rakaat semula kemudian duduk tahiyyat akhir dan baca tahiyyat akhir. Soalannya, adakah dibenarkan membaca tahiyyat akhir sewaktu duduk tahiyyat akhir bersama imam sedangkan individu tersebut masih belum di akhir solat kerana masih perlu mencukupkan 1 lagi rakaat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi menjawab persoalan di atas, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّما جُعِلَ الإمامُ لِيُؤْتَمَّ به، فَإِذا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وإذا رَكَعَ فارْكَعُوا، وإذا قالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَن حَمِدَهُ، فَقُولوا: رَبَّنا ولَكَ الحَمْدُ، وإذا سَجَدَ فاسْجُدُوا، وإذا صَلّى جالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أجْمَعُونَ

Maksudnya: “Dijadikan imam itu untuk diikuti, apabila dia bertakbir, hendaklah kamu bertakbir, apabila dia rukuk, hendaklah kamu rukuk. Dan apabila dia membaca ‘سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’ (Allah mendengar dan menerima pujian orang yang memuji-Nya), maka kamu bacalah ‘رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ’ (Wahai Tuhan kami, segala pujian untuk-Mu), dan apabila dia sujud hendaklah kamu sujud. Jika imam solat sambil duduk, solatlah kamu sambil duduk (hukum ini telah mansukh).”

Riwayat al-Bukhari (734)

Menuruti Imam adalah prinsip utama yang wajib dituruti ketika melaksanakan solat secara berjemaah di belakang Imam. Ia merupakan suatu kewajipan selama kita menjadi makmum. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, maknanya adalah sesungguhnya Imam bagi solat dilantik untuk orang ramai (supaya mereka mengikutinya), iaitu untuk dijadikan contoh dalam solat. (Lihat Minhah al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2/400)

Berhubung soalan di atas, kami nyatakan bahawa makmum dibenarkan untuk turut membaca Tahiyat Akhir meskipun itu bukan tempat yang sebenar untuk dia membacakannya.Dia tetap harus membacanya  atas tujuan untuk mengikut Imam. Ia merupakan arahan Sunnah.

Para ulama mazhab al-Syafi‘iyyah berdalilkan dengan hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّواْ وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّواْ

Maksudnya: “(Rakaat) yang kalian sempat sertai, maka solatlah (iaitu seperti biasa, dan menuruti Imam). Mana rakaat yang terlepas, maka sempurnakanlah selepas itu (selepas imam selesai).”

Riwayat al-Bukhari (908) dan Muslim (602)

Syeikh Muhammad Nawawi Jawi mensyarahkan hadith di atas dengan menyatakan bahawa perkataan “fa atimmu” mengarahkan agar melakukan al-itmam (menyempurnakan), dan menyempurnakan sesuatu itu bermaksud melaksanakannya dari awal semula mengikut turutan yang sewajarnya hingga selesai.” (Lihat Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in, hlm. 119)

Keadaan ini sama sahaja bagi makmum masbuq yang turur membaca doa qunut bersama Imam, sedangkan dia masih berada pada rakaat pertama. Dia hanya turut dan ikut baca kerana mengikuti Imam sahaja, dan dia harus mengulangi semula nanti.

Imam al-Ramli berkata: “Maka hendaklah dia mengulang bacaan doa qunut Subuh ketika tempatnya yang sewajarnya iaitu iktidal rakaat ke-2, kerana bacaan doa qunut sebelumnya hanya dilakukan untuk mengikuti imam sahaja (Manakala dirinya pula belum disunatkan untuk membaca qunut dan dikira belum melaksanakannya).” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/241)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami katakan bahawa dia boleh mengikuti imam membaca tahiyyat akhir kerana imam dijadikan untuk diikuti, namun itu adalah bacaan yang dilakukan kerana tuntutan mengikuti gerak-geri imam sahaja. Dia wajib mengulang semula bacaan tahiyyat akhir ketika di akhir solatnya kelak sesudah menyempurnakan semua rakaat yang berbaki.

Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan kefaqihan (kefahaman yang baik dan kekuatan beramal soleh) dalam beragama. Sesungguhnya Dialah penjaga dan pelindung kita, dan Dialah sebaik-baik pelindung orang-orang yang soleh. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي لَكَ شَكَّارًا، لَكَ ذَكَّارًا، لَكَ رَهَّابًا، لَكَ مِطْوَاعًا، لَكَ مُخْبِتًا، إِلَيْكَ أَوَّاهًا مُنِيبًا

Maksudnya: “Tuhanku, jadikan aku sentiasa bersyukur kepada-Mu, sentiasa mengingati-Mu, sentiasa mencintai-Mu, sentiasa taat kepada-Mu, sentiasa patuh kepada-Mu, sentiasa mengadu dan kembali kepada-Mu.”

Wallahu a’lam.